Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

Malaysia Job Portal

jawatan kosong kerajaan

Jobs @ JobStreet.com

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Malaysia Career

Jawatan Kosong Swasta

Jawatan Kosong Majlis Daerah dan Perbandaran di Malaysia

Senarai Entri

Post Terkini

Friday, December 28, 2012

Generasi Google hilang kreativiti


Seorang daripada pereka cipta terkemuka Britain memberi amaran, “generasi Google” yang terlalu bergantung kepada Internet untuk sebarang maklumat berdepan kemungkinan mengalami “kematian otak.”

Pencipta radio wind up (radio berkuasa manual), Trevor Baylis, berkata kanak-kanak semakin hilang daya kreativiti serta kemahiran praktikal kerana terlalu banyak menghabiskan masa di depan skrin komputer. Kata Baylis, 75, dia bimbang generasi pereka cipta akan datang akan hilang dan kebanyakan anak muda hari ini tidak mampu berusaha sendiri untuk melakukan sesuatu.

“Namun, kanak-kanak boleh mengembalikan kemahiran penting itu jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti Meccano,” katanya.

Meccano adalah alat mainan menggunakan pelbagai jenis bahan terpakai, seperti kepingan keluli, skru dan nat.

Ia perlu digabungkan antara satu sama lain bagi membina pelbagai objek. Kata Baylis, kanak-kanak perlu diajar melakukan sesuatu dengan tangan, bukan bergantung kepada telefon bimbit atau komputer. “Memang mereka perlu menggunakan komputer dari semasa ke semasa, tetapi ada terlalu ramai yang menggunakan alat itu secara berlebihan.

“Mereka bergantung kepada carian Google dan ramai kanak-kanak akan menjadi seperti mati otak jika terlalu bergantung kepada Internet kerana mereka tidak mampu melakukan sendiri mengikut cara lama,” katanya. Mengenang semula bagaimana dia menjadi pereka cipta, Baylis berkata, dia bermula seawal usia lima atau enam tahun.

Ketika perang, katanya, dia tidak bersekolah dan sering merayau di kawasan rumahnya di Southhall, Middlesex, untuk mengumpul bahan terbuang. “Satu hari, saya bertemu seorang wanita yang menghadiahkan sekotak besar barang.

“Dalam perjalanan pulang, rasa ingin tahu mendorong saya membuka kotak berkenaan di pertengahan jalan dan mendapati ia adalah satu set besar Meccano,” katanya. - DM

Thursday, December 27, 2012

Landasan kereta api laju terpanjang beroperasi

Sebuah kereta api laju G802 menuju ke Beijing dari Shijiazhuang semalam.

Landasan kereta api laju terpanjang di dunia yang dibina di China mula beroperasi semalam, sekali gus menjadi pencapaian terbaharu sistem rel di negara berkenaan.
Laluan sejauh 2,298 kilometer (km) itu menghubungkan bandar raya ini dan kota metropolitan Guangzhou di selatan China.
Landasan itu membolehkan perjalanan antara kedua-dua kota metropolitan berkenaan dipendekkan kepada hanya lapan jam berbanding 22 jam sebelum ini.
Media tempatan, Televisyen Pusat China, menyiarkan perjalanan kereta api laju pertama dari Stesen Kereta Api Beijing Barat di sini pada pukul 9 pagi semalam.
Tren tersebut bergerak pada purata kelajuan 300 kilometer sejam dan akan berhenti di 35 bandar utama di sepanjang laluan itu termasuk Zhengzhou, Wuhan dan Changsha.
Siap pada 2007, rangkaian landasan kereta api laju China kini berkembang sebagai yang terbesar di dunia.
Agensi berita Xinhua melaporkan China kini mengendalikan laluan kereta api laju sejauh 9,300 km. - AFP

Wednesday, December 26, 2012

NASA rancang asteroid jadi stesen angkasa lepas


Gambar menunjukkan asteroid Eros yang terletak dekat dengan Bumi.
Saintis Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang menjadikan sebuah asteroid seberat 500 tan sebagai stesen angkasa lepas untuk angkasawan-angkasawan yang dalam perjalanan ke planet Marikh.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan kelmarin bahawa projek melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion) itu kini sedang dipertimbangkan oleh Pejabat Sains Dan Teknologi White House, Amerika Syarikat.
Jika projek tersebut diluluskan, asteroid sebesar dua buah bas dua tingkat itu bakal menjadi objek angkasa lepas pertama yang dijadikan stesen angkasa lepas.
Menurut satu laporan oleh saintis-saintis NASA dan Institut Teknologi California, sebuah kapsul penangkap asteroid akan disambungkan pada roket Atlas yang menuju ke arah asteroid tersebut yang terletak antara Bumi dan Bulan.
Sebaik sahaja menghampiri asteroid berkenaan, sebuah sarung berdiameter sekitar 15 meter akan dikeluarkan daripada kapsul tersebut.
Sarung yang disambung dengan menggunakan kabel itu digunakan bagi membalut asteroid tersebut.
Kapsul berkenaan akan menggunakan enjin berisi 300 kilogram bahan api untuk menghentikan putaran asteroid itu dan menarik objek itu ke lokasi tanpa graviti.
Asteroid tersebut yang berada dalam keadaan pegun akan digunakan sebagai pangkalan masa depan untuk misi-misi meneroka angkasa raya.
"Idea mengeksploitasi sumber semula jadi asteroid telah dikemukakan sejak lebih seratus tahun dahulu tetapi hanya baru sekarang, manusia memiliki teknologi untuk menjadikannya sebagai satu realiti," kata laporan NASA. - Agensi

Tuesday, December 25, 2012

Majlis temu janji di Korea Selatan

Seorang lelaki meminta seorang wanita keluar dengannya dalam majlis temu janji di sebuah taman di daerah perniagaan Yeouido, Seoul semalam.

Ribuan lelaki memenuhi sebuah taman di sini semalam untuk mencari pasangan yang sesuai dalam majlis temu janji anjuran pengguna-pengguna laman Facebook.
Bagaimanapun, hanya sejumlah kecil wanita yang datang untuk menghadiri majlis tersebut, lapor agensi berita AFP semalam.
Idea untuk menganjurkan majlis itu bermula pada bulan lalu selepas dua lelaki muda bergurau di laman berkenaan namun ia kemudian diminati lebih 36,000 pengguna Facebook.
Namun, hanya 3.500 orang yang datang pada majlis tersebut kebanyakannya lelaki yang berumur 20-an dan 30-an.
Kebanyakan wanita yang hadir pula membawa teman lelaki untuk menyaksikan majlis tersebut.
Wanita-wanita diminta datang dengan memakai pakaian berwarna merah manakala lelaki diminta berpakaian berwarna putih apabila mereka bertemu di sebuah taman di daerah perniagaan Yeouido di sini.
Kumpulan lelaki dan wanita diminta untuk berdiri menghadap antara satu sama lain sehingga majlis tersebut bermula pada pukul 3 petang dalam cuaca sejuk.
Mereka kemudian diminta berjalan mencari pasangan yang sesuai dan memegang tangan kekasih baharu yang ditemui dalam majlis berkenaan.
Bagaimanapun, bilangan wanita tidak sama dengan jumlah lelaki yang hadir.
"Di mana perginya semua wanita. Saya tidak dapat untuk mencari (pasangan yang sesuai)," kata seorang pemuda, Kim Sung-sik yang merupakan pelajar kolej berusia 23 tahun.
Dia menganggap majlis tersebut mengecewakan kerana kekurangan bilangan wanita.
"Ia sungguh dahsyat. Saya tidak datang ke sini hanya untuk mencium bauk badan lelaki," kata seorang lagi pemuda.
Bagaimanapun, ada sebahagian pemuda yang berjaya mengajak wanita untuk menjadi pasangan mereka dalam majlis tersebut.
Korea Selatan mempunyai hampir 20 juta pengguna Facebook dan Twitter.
Sebanyak 31 juta daripada 50 juta penduduk negara ini merupakan pengguna telefon bimbit. - Agensi

Saturday, December 22, 2012

Rumah berbentuk kapal angkasa lepas

Rumah berbentuk seperti kapal angkasa lepas yang dibina oleh Vinholis di Alto Paraiso De Goias, Brazil.

Seorang pengamal perubatan alternatif, Agusto Vinholis membina sebuah rumah berbentuk seperti kapal angkasa lepas di sini.
Dia percaya rumah tersebut akan dapat melindungi keluarganya daripada kemusnahan akibat hari kiamat yang dipercayainya berlaku semalam.
Hari kiamat tersebut dipercayai berlaku berdasarkan tafsiran kalendar kaum Maya yang berakhir pada 21 Disember 2012.
Bagaimanapun, hari kiamat itu tidak berlaku seperti ramalan sebahagian pihak yang fanatik dengan kalendar tersebut. - Agensi

Wednesday, December 19, 2012

Ikan Air Tawar Berjalan

Ikan kecil yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm ditemui di Surat Thani, selatan Thailand baru-baru ini.

HANOI - Beberapa saintis mengenal pasti sebanyak 129 spesies baharu di kawasan Mekong Besar termasuk ikan air tawar seperti keli yang boleh 'berjalan' di darat, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.
Maklumat tersebut terdapat di dalam laporan baharu WWF yang memperincikan penemuan pada 2011 itu.
Kawasan Mekong Besar merangkumi sebahagian Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan wilayah Yunnan di selatan China.
Ikan air tawar itu hidup di beberapa batang sungai di Pulau Phu Quoc, dekat Delta Mekong, dalam wilayah Kien Giang di Vietnam.
Dikenali dengan nama saintifik, Clarias gracilentus, spesies itu mempunyai kebolehan menggunakan sirip-siripnya untuk berdiri tegak dengan haiwan tersebut menggoyang-goyangkan badannya untuk bergerak ke hadapan seperti seekor ular.
Antara spesies baharu yang unik di kawasan berkenaan termasuk ikan terkecil baharu yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm panjang dan katak yang boleh 'menyanyi' di utara Vietnam.
Ikan kecil itu ditemui di Surat Thani, selatan Thailand. - Agensi


Sunday, December 16, 2012

Minyak Wangi M-75

Seorang peniaga menyembur minyak wangi M-75 ke atas tangan pelanggannya.

Jualan minyak wangi sempena nama roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin ke wilayah Israel mendapat sambutan hangat.
Wangian diberi nama M-75 itu ditawarkan untuk pengguna lelaki dan wanita. Diisi di dalam kotak berwarna hitam dan hijau, M-75 dihasil menggunakan bau-bauan oren, lemon dan herba-herba yang terdapat di Gaza.
"Minyak wangi ini menyenangkan dan menarik. Sama seperti peluru berpandu pejuang Palestin iaitu M-75," kata pemilik syarikat kosmetik yang bertanggungjawab mengeluarkan M-75 iaitu Stay Stylish, Shadi Adwan.
Pengarah syarikat pengedar minyak wangi di Gaza, Continental Style, Rajaey Odwan memberitahu, M-75 memberi peluang kepada para pelanggannya untuk menghidu 'bau kemenangan'.
"Saya harap bau minyak wangi ini cukup kuat untuk dihidu hingga ke Tel Aviv dan mengingatkan orang Yahudi tentang kemenangan pejuang Palestin," kata seorang pelanggan, Ahmed Hassan yang membeli 30 botol M-75 untuk dijadikan hadiah kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.
M-75 yang berkapasiti 59 milimeter dijual pada harga RM40 sebotol.
Konflik selama lapan hari antara pejuang Hamas dan Israel itu mengakibatkan lebih lebih 170 orang warga Palestin dan enam orang Israel terbunuh. Serangan itu tamat selepas kedua-dua pihak bersetuju menghentikan serangan selepas gencatan senjata tajaan Mesir berjaya. - Agensi

Friday, December 14, 2012

Jual bola mata palsu

Greiner membakar bola mata semasa menghasilkannya dengan menggunakan penunu gas

Seorang penjual kanta okulus, Gerhard Greiner di sini menjual bola mata kaca palsu kepada orang ramai yang kehilangan mata.
Setiap bola mata palsu itu berharga AS$457 (RM1,395) dan ia mengambil masa satu jam untuk menghasilkannya.
Bola mata itu dimasukkan ke bahagian mata pelanggan yang tidak lagi berfungsi akibat kemalangan atau penyakit.
Ia juga boleh dimasukkan di tempat asal mata menerusi pembedahan. – Reuters


Thursday, December 13, 2012

Pesawat AS tanpa juruterbang ke angkasa lepas

Roket Atlas V yang membawa kapal angkasa lepas X-37B berlepas dari Stesen Tentera Udara di Cape Canaveral, Florida kelmarin.
Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan kapal angkasa kecil futuristik tanpa juruterbang, X-37B untuk kali ketiga ke angkasa lepas.
Kapal angkasa sepanjang 8.9 meter dan berat 5,000 kilogram itu berlepas dari pusat pelancaran Stesen Tentera Udara AS di Cape Canaveral, Florida.
Ia dibawa oleh sebuah roket Atlas V pada pukul 1.03 tengah hari waktu tempatan.
Kapal angkasa itu kemudian akan berpisah dengan roket tersebut.
Misi kapal angkasa itu tidak didedahkan secara terperinci oleh Tentera Udara AS.
Firma United Launch Alliance yang wujud menerusi kerjasama antara Boeing dan Lockheed Martin menyiarkan imej penerbangan itu secara langsung di laman webnya.
Menurut firma tersebut, penerbangan itu adalah bagi menyokong eksperimen angkasa lepas.
Tentera AS pula memberitahu, program kapal angkasa itu adalah untuk memperkenalkan teknologi penerbangan angkasa lepas tanpa angkasawan.
Ia diperkenalkan ekoran penamatan misi kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Bagaimanapun, ramai pakar angkasa lepas percaya kapal angkasa itu yang berupaya kembali semula ke Bumi merupakan sebahagian daripada program perisikan canggih AS atau berpotensi digunakan untuk mengganggu satelit negara-negara seterunya.
Projek X-37B itu dilancarkan NASA pada 1999.
Ujian pertama pesawat itu diadakan pada tahun 2010 dan mengelilingi Bumi selama tujuh bulan.
Dalam ujian kedua, pesawat tersebut mendarat pada Jun lalu selepas berada selama 469 hari dengan mengelilingi Bumi. - Agensi

Monday, December 10, 2012

Van dijadikan 'restoran' minuman teh

Holmes berdiri di depan vannya yang dijadikan 'restoran' minuman teh di London pada 5 Disember lalu

Seorang wanita sanggup berhenti kerja dalam bidang pengiklanan semata-mata untuk menjual minuman teh dengan menggunakan sebuah van di sini.
Wanita itu, Emilie Holmes membelanjakan sebanyak £10,000 (RM16,035) untuk mengubah suai van Citroen H keluaran 1974 untuk dijadikan 'restoran' teh bergerak.
Holmes tidak membuat pinjaman bank untuk tujuan melakukan pengubahsuaian van itu.
Dia menyiarkan rancangannya untuk membuka perniagaan teh itu di laman Kickstarter di internet.
Laman itu menyediakan kemudahan untuk orang ramai membantu membiayai perniagaan seperti Holmes.
Wanita tersebut berjaya memperoleh £14,000 (RM22,449) dalam tempoh 25 hari.
Holmes memperoleh sumbangan daripada 372 orang di laman tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak perlu membayar balik wang tersebut. - AFP

Sunday, December 9, 2012

Washington lulus pengunaan ganja


Beratus-ratus orang dilihat menghisap ganja di sini selepas penggunaan dadah itu dibenarkan di negeri Washington, Amerika Syarikat (AS).
Pengambilan ganja bukan lagi satu jenayah di Washington berkuat kuasa selepas pukul 12 malam Khamis lalu susulan keputusan satu referendum mengenainya pada bulan lalu.
Negeri berkenaan bersama Colorado menjadi dua negeri pertama AS yang membenarkan pengunaan ganja.
Secara teknikal, undang-undang baharu itu masih melarang pengunaan ganja di tempat awam dengan denda akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan itu. - Agensi

Saturday, December 8, 2012

Latih anjing pandu kereta

Ginny berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta.
Anjing-anjing di New Zealand diajar cara untuk memandu kereta dengan memusingkan stereng, menekan brek dan pedal minyak.

Idea melatih anjing itu dikemukakan oleh agensi pengiklanan DraftFCB dengan kerjasama syarikat kereta Mini dan pihak Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) yang beribu pejabat di Auckland.
Buat masa ini, tiga ekor anjing yang bernama Porter, Monty dan Ginny dilatih selama dua bulan oleh pelatih haiwan, Mark Vette.
Vette melatih haiwan tersebut cara untuk memandu dengan menggunakan sebuah 'kereta beroda' kecil yang mengandungi tempat duduk, stereng dan papan pemuka.
Anjing itu duduk di atas kerusi dengan memakai abah-abah keselamatan, memusingkan stereng, menekan brek dan minyak.
Papan pemuka 'kereta' itu dicipta khas supaya ia mempunyai pedal brek dan minyak.
Anjing-anjing tersebut akan menjalani 'ujian memandu' yang akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen di negara ini pada Isnin ini.
Projek itu bertujuan bagi meningkatkan pengambilan anjing oleh orang ramai dari pusat perlindungan haiwan untuk dipulihara. - Agensi

Thursday, December 6, 2012

Permata unik dipamerkan

Permata akuamarin yang berbentuk seperti tiang dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi, Washington pada hari ini.

Permata akuamarin potongan tunggal terbesar di dunia akan dipamerkan bermula di Muzium Sejarah Semula Jadi di sini mulai hari ini.
Dilombong di Brazil pada tahun 1980-an dan dinamakan sempena dua maharaja pertama negara itu, batu Akuamarin Dom Pedro bakal menjadi kebanggaan muzium tersebut yang merupakan sebahagian daripada Institut Smithsonian di Amerika Syarikat.
"Kualiti kristal asal, saiz dan warna biru hijau serta potongan tersendiri menjadikan ia permata yang jarang sekali ditemui," kata pihak muzium itu menerusi satu kenyataan.
Berbentuk seperti tiang dan direka bentuk oleh pereka barang kemas terkenal Jerman, Bernd Munsteiner, panjang permata itu ialah 35.5 sentimeter manakala beratnya mencecah dua kilogram (10,363 karat).
"Akuamarin Dom Pedro merupakan kombinasi kristal yang amat jernih dan kaya dengan warna serta digarap dengan kemahiran unik seorang tukang permata yang terkemuka," kata kurator koleksi permata muzium berkenaan, Jeffrey Post.
Koleksi permata dan mineral Institut Smithsonian itu merupakan antara yang terbesar di dunia. - AFP


Tuesday, December 4, 2012

Bina helikopter sendiri

Bina helikopter sendiri
Salman (kiri) berbincang dengan pekerjanya dalam rangka kerja menyiapkan Diyala 1.

Seorang lelaki Iraq menghabiskan 30 juta dinar (RM78,347) membina helikopter sendiri bagi mengawal sempadan negara.

Hatim Kadim Salman, membina pesawat yang dinamakan Diyala 1 itu dalam bandar Muqdadiyah, kira-kira 96.5 kilometer, utara Baghdad.

Salman, 59, memberitahu, helikopternya amat murah berbanding pesawat Apache Tentera Udara Britain yang menelan kos $20 juta (RM60 juta) untuk setiap unit.

Namun, Diyala 1 hanya memiliki dua bilah kipas berbanding Apache yang dilengkapi empat bilah kipas di atasnya.

Malah, helikopter tempatan itu tidak dilengkapi kelengkapan senjata pesawat tentera udara Britain yang memiliki kemudahan senjata lengkap termasuk peluru berpandu anti kereta kebal dan udara.

Walau masih belum siap sepenuhnya, Salman yakin Diyala 1 mampu menjadi penyumbang kepada keamanan negara. - MailOnline

Kardashian paling dicari di Yahoo!



Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan item yang paling dicari manakala selebriti Kim Kardashian dari AS ialah orang paling dicari di Yahoo! untuk tahun ini, kata enjin carian internet berkenaan semalam.
Perkataan pilihan raya mengungguli senarai pencarian di Yahoo! hasil liputan besar-besaran oleh pihak media di samping perbincangan meluas topik tersebut di platform-platform media sosial.
Perkataan 'pengundian politik' berada di tempat kelapan senarai 10 teratas pencarian Yahoo$21 sepanjang tahun ini.
"Pilihan raya 2012 mendominasi carian di internet dan ia menakjubkan kerana jika sesuatu itu menjadi tajuk berita, orang ramai tentu sudah maklum mengenainya tetapi topik tersebut terus menjadi perkataan utama yang ditaip di laman web Yahoo! sepanjang tahun ini," kata penganalisis trend Yahoo!, Vera Chan dalam satu persidangan video.
Menurutnya, hanya dua laporan berita lain pernah pengungguli senarai tersebut sejak sedekad lalu iaitu laporan kematian Michael Jackson pada 2009 dan tumpahan minyak BP pada 2010.
iPhone 5 berada di tempat kedua senarai berkenaan yang disifatkan oleh Chan sebagai satu keputusan menarik.
Katanya, walaupun iPhone sentiasa berada dalam kedudukan utama senarai carian Yahoo! sejak 2007, ia adalah kali pertama sesuatu model spesifik seperti iPhone 5 menduduki antara tempat teratas senarai itu.
Menurutnya, ia berlaku selepas kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs.
Berada di tempat ketiga senarai yang sama ialah Kardashian yang juga merupakan orang paling dicari di laman web Yahoo!.
Kardashian mengungguli enam wanita popular yang berada dalam 10 teratas senarai tersebut termasuk model Kate Upton, anggota keluarga diraja Britain, Kate Middleton, penyanyi Whitney Houston dan Lindsay Lohan.
Ujar Chan 'kenakalan' Kardashian yang antara lain melibatkan kisah perceraian dengan bekas suaminya, Kris Humphries dan hubungan cinta selebriti itu bersama bintang rap, Kanye West telah membantu mengekalkannya sebagai orang paling dicari menerusi Yahoo! - Reuters


Monday, December 3, 2012

Hotel Ais

Beberapa orang menyiapkan sebuah bangunan hotel ais di Jukkasjarvi pada 16 November lalu

KIRUNA, Sweden - Sebuah hotel baharu ais di Jukkasjarvi yang terletak 12 kilometer dari Lapangan Terbang Kiruna di sini dibina sejak 16 November lalu.
Hotel tersebut dibina pada setiap tahun dengan menampilkan reka bentuk bangunan gaya baharu.
Ia mempunyai beberapa buah bilik yang ditawarkan kepada para pelancong. - Agensi

Sunday, December 2, 2012

Rumah tengah lebuh raya dirobohkan

BEBERAPA buah jentera berat digunakan untuk merobohkan rumah Luo Baogen selepas dia dan isterinya bersetuju untuk menerima pampasan sebanyak AS$41,000.

BEIJING - Pihak berkuasa China telah merobohkan rumah lima tingkat yang terletak di tengah-tengah sebuah lebuh raya baharu dan menjadi kontroversi baru-baru ini.
Ketua kampung Xiayangzhang, Chen Xuecai memberitahu AFP bahawa rumah itu diroboh semalam selepas pemiliknya yang juga seorang penternak itik, Luo Baogen setuju untuk menerima pampasan sebanyak AS$41,000 (RM124,615).
Luo menjadi satu-satunya pemilik rumah yang enggan keluar dari kawasan yang telah diratakan untuk dijadikan lebuh raya di wilayah Zhejiang itu.
Luo baru sahaja menyiapkan rumahnya dengan kos AS$95,000 (RM288,743) sebelum kerajaan menawarkan pampasan sebanyak AS$35,000 (RM106,379) supaya berpindah,
Tidak jelas kenapa Luo menerima tawaran tersebut. Menurut Chen, Luo sudah penat dengan perhatian media dan menerima tawaran itu secara sukarela.
Pihak berkuasa China biasanya memberi tekanan kepada pemilik tanah atau rumah supaya bersetuju menerima pampasan dalam usaha meneruskan pembangunan. - AFP

Saturday, December 1, 2012

Kereta Batman dilelong tahun depan

Kereta asal Batman akan dilelong pada 19 Januari depan. - AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat - Kereta asal Batman, Batmobile yang muncul dalam siri televisyen adi wira itu pada tahun 1966 dijangka dilelong pada 19 Januari tahun depan, kata Rumah lelongan Barrett-Jackson kelmarin.
Menurut Barrett-Jackson, kenderaan tersebut pernah muncul dalam beberapa siri televisyen Batman serta filem yang dibintangi aktor Adam West.
"Kereta Batmobile 1966 merupakan antara kereta terkenal dalam sejarah Hollywood dan ia menjadi ikon sebenar Batmobile sehingga kini," kata pengerusi Barrett-Jackson, Craig Jackson dalam satu kenyataan.
Menurut rumah lelongan itu, kereta Batmobile yang direka George Barris merupakan ilham daripada sebuah kereta konsep Lincoln Futura pada tahun 1955.
Kereta itu mempunyai beberapa gajet istimewa termasuk Batphone, Bat Eye Switch dan Bat Smoke.
Ia akan dilelong di Scottsdale, Arizona.
Jackson yang juga ketua pegawai eksekutif Barrett-Jackson dilaporkan berkata, lelongan kereta itu mampu mencecah jutaan dolar. - AFP

Friday, November 30, 2012

'Universiti ketawa' akan dibina di India

Beberapa orang ketawa dalam sesi 'kelab ketawa' di Greater Noida, pinggir New Delhi pada 25 Ogos lalu. Gambar kecil Kataria.

Seorang guru yoga, Madan Kataria akan membina sebuah 'universiti ketawa' di bandar Bangalore, selatan India.
Universiti tersebut akan didirikan di sebuah kawasan yang didermakan oleh seorang kontraktor bangunan.
Seorang taikun turut mendermakan sebanyak AS$250,000 (RM761,366) untuk tujuan pembinaan universiti itu.
"Dalam tempoh tiga bulan, kami akan memulakan kerja-kerja pembinaan dan menjelang tahun 2013, kami akan mengendalikan universiti itu.
"Kami mahu membina sebuah ibu pejabat untuk komuniti yoga ketawa di seluruh dunia," katanya.
Beberapa kajian mendapati ketawa boleh mengeluarkan endorfin iaitu bahan kimia dalam otak yang baik untuk kesihatan.
"Ketawa merupakan perkara paling sihat yang boleh anda lakukan. Ia merupakan ubat yang terbaik," katanya.
Kataria berusia 58 tahun dan dia menjadi inspirasi penubuhan ribuan 'kelab ketawa' di India dan seluruh dunia termasuk di Beirut dan Berlin.
Dia juga mengendalikan sesi ketawa di sekolah, penjara, hospital dan rumah untuk orang tua.
Beberapa tahun lalu, Kataria yang juga seorang doktor perubatan pernah memberitahu di hadapan sebuah jawatankuasa Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) bahawa senaman yoga ketawa boleh membantu negara itu mengurangkan kos penjagaan kesihatan.
Dia mengendalikan Institut Yoga Ketawa yang bukan berasaskan keuntungan di Mumbai.
Menurutnya, seseorang itu perlu ketawa dengan kuat selama 15 hingga 20 minit sehari untuk memperoleh faedah kesihatan.
Seorang doktor di Klinik Mayo di AS, Amit Sood berkata, ketawa boleh mengurangkan tekanan dan memperbaiki proses penghadaman. - AFP

Pemuda tarik trak dengan telinga


Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di Rustavi, Georgia semalam.

RUSTAVI, Georgia - Seorang pemuda berusia 32 tahun, Lasha Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di sini semalam.
Dia berjaya menarik trak seberat 8,250 kilogram itu sejauh 21.50 meter.
Pemuda tersebut berjaya mencipta rekod Guinness World Records ekoran usahanya itu. - Reuters



Thursday, November 29, 2012

Menara condong sejak tahun 1960-an di China

Beberapa pelajar bermain bola keranjang di tepi 
Menara Wanshousi yang condong di Xi'an, wilayah Shaanxi kelmarin.

XI'AN, China - Menara Wanshousi di sini yang terletak berdekatan sebuah sekolah di sini condong sejak tahun 1960-an.
Ia dibina sejak zaman dinasti Ming yang memerintah pada tahun 1368 hingga 1644.
Bagaimanapun, beberapa rangka besi dipasang bagi menyokong menara itu bagi mengelak ia tumbang.
- Reuters

Pemuda Mesir miliki lengan terbesar dunia

Moustafa mengangkat kedua-dua lengannya.

MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.
Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter.
Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .
Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.
"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.
"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.
Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.
Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.
Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.
Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari.
Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.
Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.
Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.
Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.
Moustafa memenuhi undangan itu.
Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.
Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.
Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.
Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.
Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya.
Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP

Tuesday, November 27, 2012

Satu petak tempat letak kereta dijual RM509,190

Beberapa buah kereta berada di petak parkir di sebuah bangunan kediaman di Hong Kong semalam.

HONG KONG - Satu petak tempat letak kereta individu dijual pada harga AS$166,666 (RM509,190) di Hong Kong, menurut beberapa laporan semalam.
Petak itu kini menjadi salah satu cara untuk para pelabur memperoleh keuntungan dengan menjualnya pada harga yang tinggi.
Pada minggu lalu, seorang hartawan Hong Kong, Li Ka-shing menjual 514 petak tempat meletak kereta dan memperoleh sebanyak AS$77 juta (RM235.24 juta), menurut akhbar South China Morning Post dan The Standard.
Petak tempat meletak kereta di Hong Kong boleh disewa pada harga AS$490.30 (RM1,497) hingga AS$606.43 (RM1,852) sebulan. - AFP

Sunday, November 25, 2012

Cermin mata pintar buat si buta

Cermin mata pintar buat si buta


Cermin mata pintar buat si buta
Cermin mata yang dilengkapi kamera khas akan melalui beberapa proses ujian bermula Januari depan.

Tongkat dan anjing mungkin tidak lagi digunakan menjelang 2015 kelak dengan adanya cermin mata khas buat orang buta.

Menurut pakar Universiti Oxford, Dr Stephen Hicks, alat bantuan melihat itu direka untuk menghalang seseorang yang berada dalam peringkat permulaan buta menjadi buta kekal.

"Beberapa kamera stereoskopik kecil dimasukkan ke dalam lapisan cermin berkenaan kemudian pemakainya dapat melihat dengan jelas apa sahaja objek di hadapan," Hicks yang juga pencipta alat bantuan melihat ini.

Bagaimanapun, Hicks berkata, alat bantuan khas itu perlu menjalani beberapa ujian bermula Januari depan melibatkan 160 sukarelawan bermasalah penglihatan di Oxford dan London.

Beliau menambah, selain membantu seseorang yang buta melihat dengan jelas, kos untuk memiliki sepasangan cermin mata itu jauh lebih murah iaitu £600 (RM2,943) berbanding kos melahit anjing pemandu mencecah £30,000 (RM147,157) .

Saturday, November 24, 2012

Jackie Chan bersara



Jackie Chan membuat pengumuman akan bersara daripada melakonkan filem aksi dalam masa terdekat.

Menurut aktor berusia 58 tahun ini, faktor usia menyebabkan dia perlu berehat daripada melakukan semua itu.

"Sudah sampai masanya untuk saya berhenti daripada melakonkan filem aksi lasak. Saya bukan muda lagi dan keupayaan saya tidak setanding dulu.

"Bagaimana pun, filem terbaru saya, CZI2 (Chinese Zodiac 12) adalah filem aksi saya yang terakhir," katanya.

Dalam pada itu, Chan kini sedang sibuk menjalani promosi filem tersebut yang akan ditayangkan 18 Disember ini di seluruh Asia.

Lebih 140 buah kenderaan berlanggar di Texas

Beberapa buah trak turut terlibat dalam perlanggaran itu.

BEAUMONT, Texas - Dua orang mati dan lebih 80 cedera apabila dianggarkan 140 hingga 150 buah kenderaan termasuk trak berlanggar di sebuah lebuh raya di Texas kerana kabus tebal kelmarin.
"Ia merupakan malapetaka. Saya mendapati kereta berada di atas kereta," kata seorang timbalan syerif di daerah Jefferson, Rod Carroll.
Kemalangan itu berlaku di Lebuh Raya Antara Negeri 10, 128 kilometer ke timur Houston. - Agensi

Friday, November 23, 2012

Bangunan kediaman di tengah jalan raya

Sebuah kereta berhenti di depan kediaman setinggi lima tingkat di Kampung Xiazhangyang di Wenling semalam.

Sebuah bangunan kediaman setinggi lima tingkat berada di tengah sebatang jalan raya yang baharu di Kampung Xiazhangyang di sini.
Bangunan itu tidak diruntuhkan kerana Luo Baogen dan isterinya enggan berpindah disebabkan ganti rugi yang ditawarkan pemerintah masih rendah.
Dia dan isterinya tinggal di salah satu tingkat bangunan tersebut.
Menurut laporan media, semua jiran pasangan tersebut sudah berpindah.
Beberapa buah kenderaan yang melalui jalan tersebut akan bergerak bahagian depan dan belakang bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, jalan raya tersebut masih belum dibuka secara rasmi. - Agensi

Thursday, November 22, 2012

Polis guna Facebook cari kaki pecah rumah



Polis Kuala Lumpur mencari 16 lelaki pelbagai keturunan bagi membantu siasatan kira-kira 200 kes pecah rumah yang berlaku di ibu negara dalam tempoh tiga tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain terlibat dalam kes-kes pecah rumah, ada dalam kalangan mereka yang dicari itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes-kes dadah.
“Jenayah pecah rumah boleh disifatkan menjadi kerja harian sebahagian daripada orang yang dicari itu malah ada antara mereka itu mempunyai 14 kes jenayah pecah rumah,” kata beliau pada sidang akhbar di Balai Polis Jalan Travers di sini.
Menurut beliau, kesemua orang yang dicari itu bergerak secara bersendirian dan ada sebahagian daripada mereka tinggal di luar Kuala Lumpur tetapi menjadikan rumah-rumah di ibu negara sebagai sasaran jenayah.
Chin Wah memberitahu, wajah-wajah penjenayah ini turut dimuat naik ke laman rasmi Facebook Polis Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai mereka yang dicari.

Datuk popular selepas peraga fesyen wanita

Gambar butik Yuekou menunjukkan Xianping memperagakan koleksi fesyen cucu perempuannya di Guangzhou, selatan China.

Seorang datuk di China menjadi popular sekelip mata selepas gambar-gambarnya memperagakan pakaian wanita disiar di Internet, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Pada mulanya, lelaki berusia 72 tahun itu, Liu Xianping, bergambar dengan memakai pakaian koleksi butik atas talian Yuekou milik cucu perempuannya sebagai bahan jenaka.
Namun, selepas cucunya memuat naik gambar-gambar itu di Internet, mereka tidak menyangka imej tersebut menjadi popular dalam masa semalaman.
Gambar-gambar itu kemudian menjadi bahan publisiti yang berjaya, sekali gus meningkatkan jualan koleksi butik Yuekou sebanyak lima kali ganda.
Butik tersebut beribu pejabat di sini dalam wilayah Guangdong, selatan China.
Menurut akhbar tempatan, China Newsweek, wanita berkenaan memberitahu bahawa idea untuk memperagakan fesyen wanita itu datang daripada datuknya.
"Dia mengambil sehelai pakaian dan mencubanya untuk memberi tunjuk ajar mengenai suai dan padan," kata cucu perempuan Xianping.
"Kami anggap aksinya lucu dan terus merakamnya," tambah wanita itu. - Agensi

Wednesday, November 21, 2012

Dituduh rancang culik 100 wanita

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya saudara lelaki anggota polis Gilberto Valle, disoal oleh media pada 25 Oktober lalu.

NEW YORK - Seorang anggota polis di sini, mengaku tidak bersalah di atas tuduhan merancang untuk menculik, memasak serta memakan sehingga 100 orang wanita.
"Saya tidak bersalah," kata anggota polis tersebut, Gilberto Valle kepada hakim Mahkamah Persekutuan Manhattan apabila ditanya mengenai tuduhan itu.
Dia juga didakwa menceroboh pangkalan data komputer polis bagi mendapatkan maklumat tentang wanita yang akan dijadikan mangsanya.
Valle yang berusia 28 tahun didakwa merancang jenayah tersebut bersama seorang rakan yang tidak dikenali dengan menggunakan klorofom untuk membuatkan mangsa pengsan.
Mereka kemudian akan membawa mangsa-mangsa pulang ke rumahnya dan merancang untuk memasak mayat mereka yang dikerat-kerat di dalam oven atau dipanggang.
Dia didakwa bertukar-tukar e-mel mengenai konspirasi itu dengan konconya dan menceroboh masuk pangkalan data polis untuk mengumpul maklumat mangsa-mangsanya.
Hasil carian dalam komputer milik Valle mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 100 fail wanita yang lengkap dengan nama, gambar, maklumat peribadi termasuk alamat.
Peguam Valle berkata, tiada seorangpun wanita menjadi mangsa dan ia sekadar satu fantasi.
Semalam, peguam Valle, Julia Gatto merayu supaya anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun hakim Paul Gardephe menegaskan, permohonan sama pernah ditolak sebanyak dua kali oleh dua orang hakim lain sebelum ini dan permintaan itu sukar untuk ditunaikan. - AFP