Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Friday, January 28, 2011

Badan bertukar biru selepas berenang di tasik

TUBUH seorang lelaki bertukar menjadi biru di Tasik Gippsland, Australia baru-baru ini.

VICTORIA, Australia - Sekumpulan individu yang berenang pada waktu malam di Tasik Gippsland, baru-baru ini terkejut apabila tubuh mereka menjadi biru, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Ia kelihatan seperti kami bermain dengan cat radioaktif," kata seorang jurugambar, Phil Hart yang merakamkan gambar pelik itu apabila dia dan rakannya selesai berenang di sebuah tasik.
Cahaya itu terbentuk oleh satu tindak balas kimia apabila kehidupan mikro organisma yang hidup secara semula jadi di dalam air diganggu.
Kombinasi kebakaran hutan dan banjir dipercayai menyebabkan tahap nutrien di dalam tasik itu bertambah. "Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk melihat fenomena ini," kata Phil. - Agensi

Gorila jantan berjalan seperti manusia

GORILA bernama Ambam berdiri seperti manusia.

KENT, England - Seekor gorila jantan seberat 220 kilogram di taman haiwan Port Lympne yang boleh berjalan seperti manusia telah menarik perhatian ramai, lapor sebuah akhbar semalam.
Gorila yang diberi nama Ambam menjadi sensasi di laman web YouTube.
Pada kebiasaannya gorila berjalan dengan menggunakan kaki dan tangannya.
Rakaman itu menunjukkan Ambam yang berumur 21 tahun berjalan seperti manusia dengan menghayunkan kedua-dua tangan untuk mengimbangi badannya.
Penjaga haiwan itu sejak 16 tahun lalu, Ingrid Naisby memberitahu: "Ia (gorila itu berjalan) adalah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan gorila tetapi Ambam kerap melakukannya dan ia boleh mengimbangi badannya dengan baik." - Agensi

Volkswagen cipta kereta paling jimat minyak

KERETA Volkswagen XL1 dipamerkan kepada orang ramai di Doha, Qatar malam kelmarin.

DOHA - Pengeluar kereta terkemuka Eropah, Volkswagen mempamerkan kereta paling jimat minyak di dunia dalam Pertunjukan Kereta Qatar malam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta itu mampu bergerak sejauh 504 kilometer dengan hanya menggunakan 3.78 liter minyak diesel.
Dikenali sebagai XL1 Super Efficient Vehicle, ia cuma mengeluarkan 38 gram gas karbon dioksida bagi setiap 1.6 kilometer dan bakal menjadi pilihan kepada golongan yang mementingkan alam sekitar.
Kereta itu menggunakan enjin diesel TDI dua silinder bersesaran 800cc yang disambungkan dengan satu motor elektrik.
Kereta kompak dua tempat duduk itu hanya seberat 795 kilogram dan dibina menggunakan polimer gentian karbon yang diperkuatkan.
Ia memiliki kelajuan maksimum 159 kilometer sejam (km/j).
Bakal dijual pada tahun 2013, XL1 hanya sepanjang kurang empat meter, sama panjangnya dengan model Volkswagen Polo dan setinggi 1.18 meter.
Pengerusi Volkswagen, Dr Martin Winterhorn menyatakan XL1 akan mula dijual di Britain dan Jerman pada harga yang berpatutan.
Bagi mengurangkan beratnya, XL1 menggunakan material yang ringan seperti magnesium pada rodanya, brek cakera seramik dan aluminium untuk komponen penyerap hentak, sistem stereng serta angkup brek. - Agensi

Thursday, January 27, 2011

Anak ibu kelahiran Malaysia hebat

GAMBAR fail menunjukkan Estephe (kiri) dan Perrine di Muzium Lourve, Paris, Perancis.

HONG KONG – Dua orang murid kembar berusia 10 tahun, Estephe dan Perrine Corlin memperoleh keputusan semua A dalam kertas Matematik peperiksaan Sijil Awam Antarabangsa Pendidikan Menengah yang biasanya diambil oleh pelajar 16 tahun.
Murid lelaki dan perempuan itu, Estephe serta Perrine merupakan anak Rosalind Corlin yang pernah menjadi anggota skuad renang Malaysia.
Ketika mewakili Malaysia, nama ibu kembar ialah Roslind Wong.
Dua anak itu adalah hasil perkahwinannya dengan seorang ahli perniagaan dari Perancis.
Corlin berkata, kejayaan anaknya adalah hasil daripada jadual ketat yang direka khas untuk kejayaan yang meniru gaya Amy Chua, penulis buku berbangsa Cina-Amerika bertajuk Battle Hymn of the Tiger Mother.
Corlin menegaskan anak kembarnya itu menikmati rutin harian yang bermula pada pukul 5.30 pagi menerusi latihan berenang selama 90 minit.
Kedua-dua anak itu akan menghabiskan masa selama setengah jam untuk menelaah subjek Matematik atau Fizik sebelum pergi ke sekolah pada pukul 8.30 pagi.
“Anak-anak saya akan menyambung semula latihan berenang pada pukul 5 petang. Mereka membuat kerja rumah atau menelaah selama 45 minit pada hari biasa dan tempoh itu akan lebih panjang pada hujung minggu,” kata Corlin.
Corlin berhenti kerja daripada industri kewangan kerana mahu memberi tumpuan terhadap keluarganya.
Dia memberitahu anak kembarnya itu sangat kompetitif serta mahu cemerlang dalam hidup. – AFP

Hilton, Lohan ditawar RM3.05 juta

PARIS HILTON

NEW YORK - Dua pelakon Hollywood yang sering menimbulkan kontroversi, Paris Hilton dan Lindsay Lohan ditawarkan AS$1 juta (RM3.05 juta) untuk bertarung dalam satu perlawanan tinju, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Menurut seorang promoter perlawanan tinju. Damon Feldman, kesemua hasil daripada perlawanan itu nanti akan disalurkan untuk pertubuhan kebajikan antidadah dan arak.
Sebelum ini, Feldman menganjurkan satu perlawanan tinju untuk ayah Lohan, Michael, sambil menyatakan perlawanan tinju itu nanti lebih untuk keseronokan serta berniat baik.
Katanya, Hilton dan Lohan akan menggunakan sarung tangan tinju yang bersaiz besar selain mendedahkan kedua-dua selebriti itu pernah mempelajari sukan tinju sebelum ini.
"Michael boleh membantu melatih Lindsay kerana dia tidak pernah ditewaskan dalam Tinju Selebriti dan kami memanggilnya pertarungan gadis bermasalah Hollywood," katanya.
Lohan dan Hilton sering menjadi perhatian kerana kesilapan yang mereka lakukan sehingga dihukum penjara. - Agensi

Suami dapatkan perlindungan polis kerana isteri kuat seks

BERLIN, Jerman - Seorang lelaki Turki yang menetap di Jerman mendapatkan perlindungan polis kerana isterinya yang kerap meminta melakukan hubungan seks, kata polis semalam.
Menurut polis, lelaki itu datang ke sebuah balai polis di barat daya Jerman pada Selasa lalu.
Lelaki itu berkata, dia telah tidur selama empat tahun di sofa untuk mengelak daripada tuntutan daripada isteri yang mahu melakukan seks.
Isterinya itu telah dikahwini selama 18 tahun.
Dia mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinannya itu.
"Sekarang, dia bercadang untuk bercerai dengan isterinya itu dan keluar dari rumah dengan harapan dia pergi ke tempat kerja dalam keadaan yang cergas sepenuhnya.
"Ketika itu, tindakannya mahu keluar dari rumah mustahil dilakukan kerana isterinya sering datang ke ruang tamu meminta dia melaksanakan tugas perkahwinan (seks) sehingga membuatkan dia meminta pertolongan polis untuk mendapatkan tidur pada waktu malam," menurut polis. - AFP

Wednesday, January 26, 2011

Enam patung wanita silikon jadi teman

DAVE HOCKEY bersama salah satu daripada enam patung wanita silikon yang dibelinya untuk dijadikan hobi.

OTTAWA, Kanada - Seorang lelaki berusia 57 tahun, Dave Hockey membelanjakan wang sebanyak AS$25,600 (RM78,246) untuk mengembara ke seluruh dunia dengan enam patung wanita silikon, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membawa patung silikon itu ke beberapa lokasi menarik di Stonehenge, Britain, Grand Canyon dan Niagara Falls di Amerika Syarikat (AS).
Bapa dua anak itu berkata: "Isteri saya memahami ia (patung-patung itu) merupakan satu hobi."
Hockey juga kini menghasilkan filem dokumentari pengembaraannya selama tujuh minggu dari rumahnya di Nova Scotia, Kanada ke San Diego, AS untuk berjumpa dengan pemilik patung lain.
Semasa pengembaraan itu, dia juga membawa patung silikon yang cantik Bianca yang dibeli dengan harga AS$ 3,246 (RM9,921) yang pernah muncul dalam filem Lars and the Real Doll. Patung itu turut dibawa untuk aktiviti terjun udara, menaiki kuda dan menjadi pembonceng motosikal Harley Davidson.
"Saya membeli patung pertama pada November 2006 kerana ia kelihatan menarik dan cantik. Lelaki yang menyatakan patung tidak cantik sebenarnya pembohong," katanya.
Dia sanggup berkelakuan sopan di depan patung wanitanya dengan mengungkapkan kata-kata meminta berjalan di depan patungnya selain membeli kasut dan aksesori lain untuk mencantikkan patung tersebut.
Beberapa patung itu seberat lebih 40.91 kilogram dan dia memerlukan sebuah kerusi roda untuk membawanya memasuki hotel dan di kawasan tarikan pelancongan.
Hockey kini dalam proses terakhir untuk menyunting dokumentari yang dihasilkannya itu tetapi dia berharap akan dapat menyiapkannya dalam masa enam minggu lagi. - Agensi

Jutawan rugi RM4.67 juta dalam tempoh beberapa jam

MIKE ASHLEY

NEWCASTLE - Jutawan yang juga pemilik kelab bola sepak Newcastle United, Mike Ashley rugi hampir £1 juta (RM4.8 juta) dalam masa beberapa jam, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Sebuah akhbar Britain melaporkan Ashley, 47, kerugian besar gara-gara berjudi buah dadu di sebuah kasino tempatan.
Insiden memalukan itu berlaku baru-baru ini ketika dia keluar bersuka ria dengan ditemani pengurus kelab bola sepak liga perdana Inggeris itu, Alan Pardew.
"Dia (Ashley) bertaruh besar, sehingga beribu-ribu dan kadangkala mencecah puluhan ribu di meja judi dadu itu," kata seorang saksi.
"Mereka meninggalkan kasino itu sekitar pukul 4 pagi waktu tempatan dan ketika itu, Ashley telah kerugian £970,000 (RM4.67 juta) tetapi dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kecewa," tambahnya.
Ashley yang merupakan seorang usahawan produk sukan dilaporkan memiliki kekayaan mencecah £700 juta (RM3.3 bilion). - Agensi

Jet Li jadi warga Singapura

JET LI

SINGAPURA - Bintang kung fu kelahiran Beijing, China yang terkenal, Jet Li semalam mengesahkan bahawa dia telah menjadi warganegara Singapura.
Li mengambil keputusan untuk menetap di Singapura kerana aspek keselamatan dan sistem pendidikan negara itu yang memberi penekanan terhadap pengajaran Bahasa Inggeris dan Mandarin kepada para pelajarnya.
Menurut Li, dia mahu anak-anaknya menerima pendidikan bahasa Inggeris dan Cina di negara tersebut.
Li yang membintangi banyak filem Hollywood termasuk The Expendables dan The Mummy: Tomb of the Dragon Em perormenyatakan keputusannya itu turut dipengaruhi oleh ketiadaan paparazi di negara itu.
"Anak-anak saya akan menerima pendidikan dua bahasa yang baik selain kestabilan sosial negara ini.
"Mereka (anak-anaknya) juga tidak akan diganggu oleh para wartawan," kata Li dalam bahasa Mandarin.
Li yang berada di Singapura untuk menyertai persidangan dermawan menyatakan rasa terkejut ekoran minat orang ramai berhubung penghijrahannya dari Amerika Syarikat (AS) ke Singapura.
"Melucukan kerana saya telah memegang pasport AS dan tinggal di sana selama 20 tahun, tiada siapa yang bercakap mengenainya. Sekarang, bila saya datang ke Singapura, semua orang ingin tahu kenapa saya datang ke sini," katanya.
Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa bintang filem itu membeli sebuah rumah berharga AS$14 juta (RM42.7 juta) di Singapura.
Li tidak menyatakan sama ada dia menggugurkan ke rakyatan AS dan China tetapi undang-undang Singapura membenarkan rakyatnya memiliki dua kerakyatan.
Li mengikut jejak langkah aktres popular China, Gong Li yang menjadi warganegara Singapura pada 2008. - AFP

Tuesday, January 25, 2011

Laman Facebook Presiden Perancis digodam

LAMAN Facebook milik Nicolas Sarkozy

PARIS - Beberapa penggodam komputer berjaya menceroboh muka surat Facebook milik Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan menghantar mesej bahawa beliau akan berundur pada tahun depan, lapor sebuah akhbar semalam.
Mesej itu bermakna lebih 350,000 rakan Facebook Sarkozy telah menerima mesej palsu berhubung peletakan jawatannya itu.
Mesej itu turut disebarkan kepada beribu-ribu pengguna Facebook sekali gus menggemparkan orang ramai yang keliru tentang kesahihannya.
Dalam mesej berkenaan, Sarkozy kononnya dilaporkan menulis:"Rakan-rakan seperjuangan sekelian, ekoran situasi luar biasa yang menimpa negara kita (Perancis), Saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding semula pada pilihan raya 2012."
Mesej itu turut mengandungi pautan kepada satu lagi muka surat Facebook bertajuk Selamat Tinggal Kepada Nicolas Sarkozy yang mengundang orang ramai supaya berhimpun di luar restoran Le Fouquet, Paris pada 6 Mei 2012 untuk meraikan pengunduran beliau.
Namun, semalam, presiden berusia 55 tahun itu menggantikan mesej palsu tersebut dengan mesej sebenar untuk memohon maaf di atas kelemahan keselamatan yang berlaku sehingga muka surat Facebook tersebut digodam. - Agensi

Doktor gigi guna pakaian seksi

DR. MARIE-CATHERINE KLARKOWSKI (kiri) bersama kakitangannya yang memakai pakaian seksi untuk merawat pesakitnya di klinik Relax & Smile di Munich, Jerman baru-baru ini.

MUNICH - Seorang doktor gigi wanita dan beberapa kakitangannya memakai pakaian seksi dengan tujuan untuk menenteramkan para pesakit yang mengunjungi kliniknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Doktor gigi itu, Marie-Catherine Klarkowski berkata, melalui cara itu, para pesakit akan dapat melupakan seketika perasaan akan berasa sakit semasa dirawat.
Sejak dia dan kakitangannya memakai pakaian seksi itu, bilangan pesakit ke kliniknya, Relax & Smile di sini semakin meningkat.
Namun, peningkatan pesakit itu terdiri daripada lelaki.
Menurut doktor gigi tersebut, dia mendapat idea pakaian seksi itu dalam majlis Oktoberfest selepas melihat golongan lelaki merenung wanita yang memakai skirt tradisional yang ketat.
- Agensi

Bekas petinju cipta meja pool gergasi

STEVE WIENECKE bermain di atas meja pool gergasi ciptaannya di Fredericktown, Amerika Syarikat baru-baru ini.

FREDERICKTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas petinju dalam kurungan, Steve Wienecke mencipta meja permainan pool gergasi dengan ukuran empat kali lebih besar daripada meja biasa, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Meja pool yang dikatakan terbesar di dunia itu dibina oleh Wienecke di belakang rumahnya.
Ia dibina dengan menggunakan sejumlah batu yang diangkut dengan lima buah trak selain menghabiskan masa selama 250 jam untuk menyiapkannya.
Menurutnya, peraturan bermain adalah mengikut peraturan pool.
"Pada 1985, saya bermain untuk liga pool tempatan dan saya memikirkan bermain pool di atas meja akan menjadi lebih kemas," katanya pada sebuah majalah Rural Missouri.
Wienecke berkata, dia memperoleh wang untuk membina meja gergasi itu menerusi derma yang diberikan oleh beberapa ahli perniagaan tempatan. - Agensi

Monday, January 24, 2011

Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama

SEJUMLAH naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.

SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.
Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.
Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.
"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.
Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.
"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.
"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.
Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.
Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.
Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.
Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.
"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.
Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.
Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.
"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.
Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.
"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.
Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.
Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.
"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.
"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.
Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.
Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.
Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.
"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP

Ibu dipenjara kerana laku seks dengan rakan anak

CATHLEEN MILLER

CHICAGO RIDGE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ibu, Cathleen Miller, 40, dihukum penjara selama 10 tahun kerana kesalahan melakukan seks dengan beberapa remaja lelaki yang merupakan rakan anak perempuannya, lapor beberapa akhbar kelmarin.
Menurut seorang peguam bela, Robert Olson, Miller mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan seks dan serangan seks semasa sesi perbicaraan di sini.
Seorang pihak pendakwa, Andy Conklin berkata, wanita itu menerima hukuman penjara 10 tahun kerana kesalahan merogol dan penyalahgunaan seks.
Menurut pendakwa raya, dia mencabul tiga budak lelaki.
Budak lelaki yang terlibat berusia di antara 14 dan 15 tahun.
Pihak pendakwa raya menyatakan dia menawarkan arak dan dadah untuk melakukan seks dengan dua orang mangsanya pada Februari dan Jun tahun lepas di rumahnya.
Skandal seks itu terdedah apabila salah seorang mangsa lelaki menghantar mesej di laman sosial Facebook kepada anak perempuan sulung Miller bagi meminta maaf kerana perbuatan itu.
Keluarga mangsa itu yang terlihat mesej itu kemudian memberitahu pihak polis.
Miller yang bekerja sebagai seorang setiausaha menyatakan budak lelaki itu yang membawa arak dan dadah ke rumahnya. - Agensi

Guru culik anak murid kerana rugi bermain saham

DHAKA - Seorang guru persendirian ditahan kerana menculik seorang budak perempuan sebelum menuntut tebusan bagi mengatasi kerugian yang dialaminya ekoran kejatuhan indeks Bursa Saham Dhaka di Bangladesh baru-baru ini, kata polis semalam.
Menurut seorang pegawai polis, Sukanta Chakrabarty, anggota-anggpta perisikan polis menemui budak berusia lapan tahun itu dan menahan guru tersebut, Abdul Majid kelmarin di Pulau Kutubia, 100 kilometer ke selatan bandar pelabuhan Chittagong.
"Abdul Majid menculik muridnya sebagai cubaan untuk mengembalikan kerugian yang dialaminya dalam bursa saham. Dia kerugian sebanyak AS$7,145 (RM21,863) dalam perniagaan saham dan menuntut jumlah yang sama daripada keluarga mangsa," tambahnya.
Bursa Saham Dhaka mengalami kejatuhan teruk sejak awal Disember 2010.
Ia telah kerugian sebanyak 30 peratus sejak mencatat rekod tertinggi dengan 8,918.51 mata pada 5 Disember lalu.
Bangladesh mempunyai lebih 3.3 juta peniaga saham dengan 80 peratus daripadanya merupakan pelabur kecil dan pelabur baru. - AFP

Friday, January 21, 2011

Wanita tunjukkan ciri kewanitaan mudah naik pangkat

RICHMOND, Amerika Syarikat (AS) - Satu kajian yang dilakukan para penyelidik Universiti George Mason di Virginia mendapati wanita yang menunjukkan ciri-ciri kewanitaan mudah dinaikkan pangkat, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu melibatkan personaliti 80 orang remaja lelaki dan wanita selepas lapan tahun mereka belajar dalam bidang sarjana pentadbiran perniagaan di universiti tersebut.
Para penyelidik itu mendapati wanita yang lebih bersifat kewanitaan mudah dinaikkan pangkat berbanding wanita yang bersikap agresif.
Menurut kajian itu, pengurus wanita yang mengawal diri mereka dengan baik lebih mudah dinaikkan pangkat.
Kajian itu diterbitkan oleh jurnal British Psychological Society. - Agensi

BlackBerry sekat porno di Indonesia

JAKARTA - Firma pengeluar telefon BlackBerry dari Kanada, Research in Motion (RIM) semalam mula menyekat akses untuk ke laman web pornografi.
Jika firma itu tidak berbuat sedemikian lesen operasi telefon itu yang menguntungkan di Indonesia mungkin akan ditarik balik.
Menurut kenyataan dalam akaun laman sosial Twitter, Menteri Komunikasi, Tifatul Sembiring bersyukur kerana RIM telah mengikut undang-undang dan peraturan di Indonesia.
Katanya, pornografi telah disekat dan menyatakan firma tersebut boleh meneruskan perniagaan mengikut lunas undang-undang.
Pengguna telefon Blackberry di Indonesia berjumlah lebih dua juta orang. - AFP

Thursday, January 20, 2011

Kitab al-Quran 500 tahun dipamerkan di Internet

KITAB al-Quran berusia sekitar 500 tahun disimpan dalam Perpustakaan John Rylands di Manchester, Britain.

LONDON - Satu manuskrip antara naskhah al-Quran paling penting dan jarang dilihat di dunia akan dipamerkan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Kitab suci tulisan tangan itu yang dianggarkan berusia sekitar 500 tahun, amat berharga dan rapuh sehinggakan para ilmuwan tidak dapat meletakkannya untuk dipamerkan.
Setiap helaian daripada 470 muka surat kitab itu yang berukuran 88x60 sentimeter, menyamai saiz skrin televisyen plasma besar dan ia disimpang di Perpustakaan John Rylands, Universiti Manchester, Britain.
Kini, pakar-pakar di perpustakaan berkenaan menggunakan teknologi digital untuk merakamkan setiap muka surat dan menyiarkan kitab suci itu di Internet bagi membolehkan para ilmuwan dan pelajar mengkajinya.
Kitab al-Quran itu dipercayai berasal dari perpustakaan Kansuh al-Ghuri, Kaherah, Mesir dan disimpan pada zaman dinastik terakhir Mamluk.
Ia dibeli oleh pihak pengurusan Perpustakaan John Rylands pada 1901 sebagai sebahagian daripada koleksi artifak Earls of Crawford. - Agensi

Wednesday, January 19, 2011

Sekolah miliki ramai pasangan kembar

SEPULUH pasangan kembar dan satu pasangan kembar tiga bergambar di Sekolah Tinggi Pears di bandar Richardson, Texas, Amerika Syarikat.

DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah sekolah di sini mempunyai sepuluh pasangan pelajar kembar berusia 16 tahun dan satu pasangan pelajar kembar tiga berumur 17 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Penolong Pengetua Sekolah Tinggi Pears di sini, Chakosa Powell, pelajar kembar itu berasal dari bandar Richardson, Texas, AS.
"Saya berpendapat, perkara terbaik mempunyai ramai pasangan kembar ialah mereka mengambil berat antara satu sama lain. Mereka (para pelajar itu) keluar bersama dan menjadi rakan," katanya.
Bagaimanapun katanya, mungkin terdapat sesuatu yang berlaku di bandar Richardson sehingga menyebabkan ramai kembar dilahirkan 16 tahun lalu.
"Ramai keluarga mendapat anak kembar pada tahun yang sama malah dilahirkan hampir dalam bulan sama. Ia sesuatu yang mengagumkan," katanya.
Pihak pengurusan sekolah itu berharap Guinness Book of Records akan mengiktiraf rekod baru bilangan pasangan kembar tersebut kerana sebelum ini hanya terdapat tujuh pasangan kembar direkodkan di sebuah sekolah di New York. - Agensi

Tuesday, January 18, 2011

Saintis cipta 'cecair perisai'

GAMBAR atas menunjukkan fiber Kevlar dalam pembuatan jaket kalis peluru mempunyai kesan hentakan peluru yang sedikit kerana dicampur dengan 'cecair perisai'.

LONDON - Sekumpulan saintis mencipta sejenis bahan rahsia yang menyerap kekuatan peluru bagi melindungi tubuh askar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bahan rahsia itu membolehkan jaket kalis peluru akan menjadi lebih ringan sekali gus memberikan lebih banyak perlindungan kepada askar di medan pertempuran.
Kekuatan bahan rahsia itu dipamerkan dalam satu pameran pertahanan di sini baru-baru ini.
Teknologi itu yang digelar sebagai 'cecair perisai' dicipta oleh sekumpulan saintis dan jurutera di syarikat pertahanan keselamatan Britain, BAE.
Jurucakap BAE, Stewart Penney berkata: "Teknologi itu boleh dijelaskan melalui cara mengacau air dengan sebatang sudu."
Menurutnya, dalam air, anda akan berasa sedikit tentangan ke atas sudu sama seperti dengan 'cecair perisai' itu yang menyebabkan seseorang akan berasa sedikit tekanan.
- Agensi

Pemilik Bugatti isi minyak RM932

SEORANG pemilik kereta Bugatti Veyron mengisi minyak di stesen minyak Texaco, Chelsea baru-baru ini.

LONDON - Seorang pemandu kenderaan mewah jenama Bugatti Veyron mengisi minyak sebanyak £192 (RM932) di sebuah stesen minyak termahal di Britain, Texaco, lapor sebuah akhbar semalam.
Stesen itu mengenakan bayaran 159.9 pence (RM7.74) untuk setiap satu liter minyak.
Dia kelihatan mengisi minyak kereta buatan Perancis itu di Chelsea.
Kereta itu memerlukan sebanyak satu liter minyak untuknya bergerak sejauh 3.2 kilometer.
Harga minyak di Britain semakin meningkat kerana ia mengikut pasaran semasa. - Agensi

Friday, January 14, 2011

Lady Gaga dijangka peroleh RM305 juta tahun ini

LADY GAGA

NEW YORK - Penyanyi yang gemar berpakaian pelik, Lady Gaga, 24, dijangka memperoleh pendapatan AS$100 juta (RM305 juta) tahun ini mengikut anggaran yang dibuat oleh majalah bisnes Forbes, lapor sebuah akhbar semalam.
Lady Gaga yang nama sebenarnya Stefani Germanotta dan terkenal dengan lagu Poker Face itu memperoleh pendapatan sebanyak AS$64 juta (RM195 juta) sebelum ini.
Majalah itu juga mengatakan, Gaga akan terlibat dengan jadual jelajah konsert yang ketat menerusi 41 persembahan dalam tempoh enam bulan selain mempromosi album terbarunya Born This Way.
Album terbaru Lady Gaga itu dijangka berada di pasaran pada Mei depan.
Lady Gaga turut memperoleh pendapatan sampingan lain menerusi perjanjian produk dan kerjasama dengan syarikat VirginMobile serta Polaroid. - Agensi

Polis diberi pinjam kereta Lotus

SEORANG anggota polis, Angus Nairn berdiri dekat kereta polis Lotus Evora di sebuah lebuh raya di Midlands, Britain baru-baru ini.

LONDON - Polis di wilayah Midlands diberi pinjam sebuah kereta Lotus Evora yang berharga £50,000 (RM240,526) dan boleh memecut dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam (km/j) berdasarkan meter kelajuan dalam tempoh kurang lima saat, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta itu diberi pinjam selama dua minggu untuk pasukan polis yang meronda di lebuh raya di Midlands Barat.
Seorang anggota polis, Angus Nairn berkata: "Ia merupakan sebuah kereta yang laju dan kami berharap untuk membuktikan akan terdapat satu halangan yang berkesan bagi sesiapa yang memikirkan mahu memandu dengan laju atau cuba memandu lebih laju daripada kami."
Menurutnya, kereta itu mempunyai prestasi yang mengagumkan.
Kereta keluaran syarikat Lotus yang kini dimiliki oleh syarikat Proton dari Malaysia itu menggunakan enjin 3.5 liter V6. - Agensi

Thursday, January 13, 2011

Tunggu bilionair beli Monaco mini bernilai RM3.3 bilion

LAKARAN artis menunjukkan bandar raya mini Monaco terapung bernilai RM3.3 bilion.

LONDON - Beberapa pereka kapal layar mengemukakan pelan untuk membina kapal layar yang mengandungi replika bandar raya mini Monaco yang terapung di laut, lapor sebuah akhbar semalam.
Kos pembinaan bandar mini itu ialah £700 juta (RM3.35 bilion) yang mengandungi replika trek lumba, Hotel de Paris, Cafe de Paris, Hotel Loews dan kasino Monte Carlo selain kolam renang serta gelanggang tenis.
Ia merupakan idea firma Yacht Island Design yang beribu pejabat di Derbyshire, Britain.
Pengarah syarikat itu, Rob McPherson berkata, reka bentuk itu bertemakan sebuah kapal layar unik dan menggambarkan gaya hidup dan prinsip canggih.
Reka bentuk bandar terapung itu sudah siap dan firma itu menunggu seorang bilionair untuk melabur dan memilikinya supaya ia menjadi realiti. - Agensi