Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Tuesday, November 30, 2010

Budak lapan tahun menari tarian breakdance

GAMBAR menunjukkan aksi Angelo Baligard yang disiarkan di laman YouTube.

HONOLULU, Hawaii - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari Hawaii menjadi sensasi di Internet kerana dia menari tarian breakdance dengan kepalanya ke bawah manakala kakinya ke atas, lapor sebuah akhbar semalam.
Video penari cilik itu, Angelo Baligad, kini ditonton oleh lebih 336,000 orang di laman YouTube.
Dalam klip video tersebut, budak lelaki itu mendapat tepukan lebih gemuruh daripada penonton berbanding lawannya, Joshua Lee 'Milky' Ayers yang lebih tinggi daripadanya. - Agensi

Telur ayam dua kali lebih besar


GAMBAR menunjukkan telur ayam biasa (kanan) dan telur ayam sepanjang 9 sentimeter (kiri).

CHRISTCHURCH, Britain - Seekor ayam betina bernama Bolt di sini, mengejutkan pemiliknya, Denise Sloan, apabila ia mengeluarkan sebiji telur bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada telur ayam biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
Panjang telur gergasi itu 9 sentimeter (sm) manakala lebarnya adalah 5.7sm.
Sloan yang merupakan seorang petani berusia 52 tahun berkata, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun telah memelihara ayam selama 15 tahun.
"Saya tidak pasti rekod dunia telur ayam tetapi telur ini amat besar," katanya baru-baru ini.
Rekod dunia telur ayam terbesar setakat ini menjadi milik Zhang Yinde iaitu seorang kakitangan Biro Perhutanan Daerah Suiling di China, setelah ayam peliharaannya mengeluarkan telur sepanjang 9.2sm dan lebar 6.3sm dengan berat 201 gram. - Agensi

Friday, November 26, 2010

Wanita tanggal pakaian semasa diperiksa

WAJAH Corinne yang memakai jaket dan mendedahkan seluar dalam dan colinya semasa diperiksa di sebuah lapangan terbang di Los Angeles semalam.

SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penumpang wanita menanggalkan jaket dan seluar jean sehingga mendedahkan singlet dan seluar dalamnya yang nipis untuk mengelak menjalani pemeriksaan mesin imbasan tubuh badan dikenali sebagai mesin bogel di sebuah lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam keadaan separuh bogel di depan orang ramai, wanita itu yang dikenali sebagai Furrygirl melakukan perbuatan tersebut sebagai sindiran terhadap pihak berkuasa AS di Lapangan Terbang Seatac di sini, yang melakukan pemeriksaan imbasan dengan menggunakan mesin pengimbas bogel.
Sebelum ini, pemerintah AS mencetuskan kontroversi dengan mewajibkan orang awam melalui mesin imbasan yang mendedahkan tubuh mereka dalam bentuk hitam putih di skrin sebagai langkah keselamatan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Dalam insiden melucukan pada Ahad lalu, wanita tersebut mahu menanggalkan seluar dalamnya tetapi dia dihalang oleh beberapa anggota keselamatan di lapangan terbang berkenaan.
Ketika disoal mengenai tindakannya, dengan nada sinis dia menjawab: "Saya mahu diri saya telus untuk pemeriksaan keselamatan,"
Wanita itu turut merakamkan aksinya dengan sebuah kamera video yang diletakkan di sudut berhampiran.
Dalam kejadian serupa pada pagi semalam, seorang wanita lain dikenali sebagai Corinne membuka jaketnya sekali gus mendedahkan dia cuma memakai coli dan seluar dalam semasa hendak menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.
"Saya tidak mahu menjalani pemeriksaan imbasan tubuh, saya berharap dengan memakai bikini, mereka dapat melihat apa yang mereka ingin lihat," katanya. - Agensi

Bekas peguam akui guna wang adik Sultan Brunei

PUTERA JEFRI BOLKIAH

NEW YORK - Bekas peguam Putera Jefri Bolkiah, Faith Derbyshire memberitahu Mahkamah Tinggi New York kelmarin bahawa dia menggunakan wang AS$5 juta (RM15.6 juta) hasil jualan ladang milik kerabat diraja Brunei itu di Las Vegas untuk membeli sebuah rumah di Pantai Manhattan, Los Angeles.
Wanita tersebut berkata, Putera Jefri, 56, yang merupakan adik Sultan Brunei pernah memberitahunya supaya menggunakan hasil jualan ladang itu untuk membayar gajinya dan suaminya Thomas Derbyshire, 39, yang dianggar sekitar AS$3.1 juta (RM9.6 juta) setahun.
Faith, 30, turut mengaku dia memindahkan AS$100,000 (RM312,700) dari akaun Putera Jefri sebagai bayaran perbelanjaan untuk sebuah hartanah milik kerabat diraja itu.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia pernah menggunakan wang Putera Jefri untuk membeli dua jam tangan jenama Rolex dan seutas jam tangan Cartier dengan nilai keseluruhan AS$16,000 (RM50,032).
Namun, kata Derbyshire, semua jam tangan itu bukan untuk suaminya tetapi untuk keluarga diraja berkenaan.
"Putera Bahar (salah seorang anak lelaki Putera Jefri) meminta saya membeli jam tangan Cartier untuk seorang wanita," ujarnya.
Derbyshire dan suaminya, Thomas Derbyshire, 39, dipecat pada tahun 2006 selepas dua tahun bekerja dengan Putera Jefri.
Putera berkenaan menyaman dua bekas peguamnya itu bagi menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$7 juta (RM21.8 juta) kerana mendakwa mereka menyeleweng wangnya semasa bekerja untuknya.
Perbicaraan disambung semula pada minggu depan. - AP

Thursday, November 25, 2010

Saintis kaji ular terbang

SEEKOR ular Chrysopelea paradisi terbang dari satu kawasan tinggi dalam satu eksperimen di Amerika Syarikat.

WASHINGTON - Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) membiayai projek untuk mengkaji bagaimana beberapa spesies ular pokok di Asia Tenggara boleh terbang di udara, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu dipercayai mempunyai implikasi besar bagi mencipta teknologi untuk membina pesawat kawalan jauh tentera yang dapat meluncur dengan lebih lancar.
Ahli biologi Universiti Virginia Tech, Jake Socha melakukan kajian dengan meneliti rakaman tiga dimensi (3D) bagaimana spesies ular Chrysopelea paradisi terbang ke udara dari kawasan setinggi 15 meter.
"Ular itu sendiri seperti satu sayap yang panjang. Sayap itu sentiasa meliuk dan berubah bentuk," kata Socha.
Menurutnya, pergerakan aneh itu menghasilkan kesan aerodinamik yang membolehkan ular itu meluncur dari pucuk pokok tinggi pada jarak hampir 245 meter.
Ular Chrysopelea paradisi itu didapati menipiskan badannya semasa di udara dan ia meliukkan badannya dari sisi ke sisi pada kelajuan tinggi. - Agensi

Pelakon lucah Jepun ke Jakarta senyap-senyap

JAKARTA - Penerbit syarikat Maxima Pictures, Ody Mulya Hidayat merahsiakan kedatangan bintang porno Jepun, Maria Ozawa (gambar) yang popular dengan gelaran Miyabi ke Indonesia bagi menjalani penggambaran filem Hantu Tanah Kusir di Jakarta dan Puncak, Bogor, Jawa Barat selama 16 hari, lapor akhbar Kompas semalam.
"Saya merahsiakan kehadiran Miyabi kerana mahukan penggambaran berjalan dengan aman, bukan kerana takutkan kontroversi," kata Ody ketika ditemui selepas tayangan media filem Hantu Tanah Kusirdi sini semalam.
"Kami juga tidak mahu Miyabi diganggu," tambahnya.
Walaupun dirahsiakan, kehadiran Miyabi akhirnya dapat juga dihidu oleh para peminatnya.
"Dia (Miyabi) telah berpindah hotel sebanyak empat kali kerana diganggu oleh peminat-peminatnya yang mengetuk pintu kamarnya pada malam hari kerana mahu meminta autograf dan bergambar. Ini tidak sepatutnya berlaku," jelas Ody.
Beliau tetap optimis bahawa Hantu Tanah Kusir yang menampilkan Miyabi akan mendapat sambutan masyarakat.
"Itu strategi kami. Penonton Indonesia akan datang menonton film ini kerana Miyabi masih popular di Indonesia," katanya. - Agensi

Wednesday, November 24, 2010

Belanja kahwin Putera William AS$20 juta

Putera William dan tunangnya Kate Middleton

LONDON 23 Nov. - Belanja majlis perkahwinan Putera William dan tunangnya Kate Middleton yang dijangka diadakan tahun depan dianggarkan mencecah angka AS$20 juta (RM62 juta).
"Ketika semua urusan selesai, majlis perkahwinan itu dijangka menelan belanja pembayar cukai Britain mencecah AS$20 juta," kata seorang sumber kepada laman web PopEater.
"Ini akan menjadikan majlis tersebut lebih besar daripada majlis perkahwinan ibu Putera William, Puteri Diana sebelum ini.
"Anda benar-benar tidak boleh bandingkan majlis ini dengan majlis selebriti lain," tambahnya.
Tambah sumber itu, sekiranya pasangan Brad Pit dan Angelina Jolie mengumumkan akan berkahwin pun, tidak akan dapat menandingi majlis ini.
Middleton, baru-baru ini juga dilaporkan telah mengambil dua orang detektif perempuan untuk mengawal keselamatannya, yang diberi upah sebanyak AS$300,000 (RM930,000) setahun.
"Middleton kini memiliki dua orang detektif yang bertugas mengikut giliran mengawal keselamatannya 24 jam tujuh hari seminggu.
"Mereka berdua ibarat watak dalam siri televisyen terkenal Britain Cagney and Lacey.
''Dua pegawai terbaik daripada pasukan polis yang ditugaskan bukan sahaja untuk melindungi bakal puteri itu, namun mereka turut dilatih untuk serasi dengan Kate," kata sumber itu. - AGENSI

Bekas tunang adik Sultan Brunei beri keterangan

MICHA RAINES

NEW YORK - Micha Raines, bekas tunang Putera Jefri Bolkiah yang merupakan adik Sultan Brunei memberitahu sebuah mahkamah kelmarin bahawa beliau tidak mendapat bantuan kewangan daripada putera itu bagi menyara seorang anak lelaki mereka berusia lima tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Raines, 41, yang juga merupakan bekas pekerja Putera Jefri berkata, walaupun tidak menerima bantuan, beliau jarang mengalami masalah kewangan.
Menurutnya, Putera Jefri berkongsi kekayaan dengannya semasa mereka bersama antara tahun 1996 hingga 2005.
"Saya dibayar gaji (lumayan) ketika saya bekerja untuknya. Apabila kami bertunang, saya diberikan banyak hadiah," kata Raines.
Menurutnya, pada satu ketika, beliau memperoleh AS$45,000 (RM140,265) sebulan.
Wanita itu kini tinggal di sebuah kediaman mewah berharga AS$8.5 juta (RM26.4 juta) di Las Vegas yang dihadiahkan oleh Putera Jefri.
Beliau memberikan keterangan dalam kes saman Putera Jefri terhadap dua bekas peguamnya bagi menuntut ganti rugi lebih AS$7 juta (RM21 juta).
Dua bekas peguamnya itu didakwa menipunya semasa menguruskan hartanya.
Menurut Raines, putera itu mengupah dua peguam tersebut, Thomas Derbyshire dan isterinya Faith Zaman selepas mereka bertemu di London pada musim panas 2004. Sebuah akhbar melaporkan bahawa wajah Raines menyerupai rupa empat patung wanita yang diukir sedang mengadakan hubungan seks dengan patung lelaki mirip Putera Jefri. - Agensi

Tuesday, November 23, 2010

Seni tulisan Cina dilelong RM142.71 juta

GAMBAR menunjukkan skrip seni tulisan Cina yang dilelong RM142.71 juta di Beijing kelmarin.

BEIJING - Satu seni tulisan Cina di atas kain sutera dilelong di Beijing pada harga AS$46 juta (RM142.71 juta), lapor agensi berita Xinhua semalam.
Tulisan Cina itu merupakan salinan hasil kerja Wang Xizhi yang hidup pada 303 hingga 361 Tahun Masihi.
Namun, tulisan Cina yang dilelong kelmarin disalin daripada dinasti Tang yang memerintah pada 618 hingga 907 Tahun Masihi.
Pihak pelelong, China Guardian tidak memberikan maklumat mengenai pembeli seni tulisan Cina itu. - AFP

Tuduhan direka-reka

SEKUMPULAN penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi mendesak hukuman berat dijatuhkan ke atas Ariel dan dua teman wanitanya, Luna Maya dan Cut Tari kerana terlibat dalam kes video seks di hadapan mahkamah di Bandung, semalam. – AFP
BANDUNG 22 Nov. – Peguam bela kepada vokalis Peterpan, Nazriel Ilham atau lebih dikenali sebagai Ariel, Afrian Bondjol menyifatkan dakwaan pendakwa raya dalam perbicaraan anak guamnya di Mahkamah Negeri Bandung hari ini sebagai tuduhan yang direka-reka.
Menurutnya, pendakwa raya tidak sepatutnya menuduh Ariel turut membantu dalam menyebarkan video lucah yang dilakonkannya bersama dua selebriti wanita Indonesia, Cut Tari dan Luna Maya.
“Kalau benar video itu dibuat Ariel, apakah dia mahu menyebarkan dan memalukan dirinya sendiri?,” kata Afrian ketika dihubungi selepas perbicaraan ditangguhkan hari ini.
Perbicaraan kes itu diadakan secara tertutup di Ruang Kresna, kamar utama di Mahkamah Negeri Bandung berikutan hakim berpendapat ia perlu melindungi orang awam daripada maklumat seksual yang ‘tidak sesuai’ disebarkan dalam kes ini.
Afrian berkata, tuduhan yang dinyatakan oleh pihak pendakwa raya adalah kabur.
Pasukan peguam bela mempertikaikan dakwaan pendakwa raya dengan membacakan nota pembelaan yang mempersoalkan tuduhan ke atas Ariel.
“Kami bacakan (nota) pembelaan setebal 20 muka surat,” kata ketua pasukan peguam bela, OC Kagilis sebaik perbicaraan hari ini selesai.
Ariel, 29 akan dibicarakan sekali lagi Isnin depan, yang mana pasukan peguam bela akan menilai hujah pendakwa raya terhadap nota pembelaan itu.
Perbicaraan berlangsung selama 82 minit bermula pukul 8.58 pagi (pukul 9.58 pagi waktu Malaysia) dan berakhir pada pukul 10.20 pagi (pukul 11.20 pagi waktu Malaysia) apabila ia ditangguhkan selepas pasukan peguam bela Ariel membacakan hujah pembelaan terhadap dakwaan pendakwa raya.
Sebaik selesai, Ariel terus diiringi ke kenderaan polis untuk dibawa kembali ke tahanan di Rutan Kebonwaru.
Jika didapati bersalah dia bakal berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun dan denda sehingga enam bilion rupiah (RM2.1 juta) kerana menyebarkan bahan lucah di Internet.
Ariel menyerah diri kepada polis pada 22 Jun lalu ketika media hangat mengaitkannya dengan video seks membabitkan dua selebriti iaitu Luna Maya, 27 dan Cut Tari, 33.
Mereka berdua bagaimanapun tidak didakwa.
Klip video yang disebarkan kepada beratus ribu pengguna Internet, mencetus persoalan tentang keadaan sosial dan tidak bermoral di Indonesia. – AGENSI
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, November 22, 2010

Keluarga Ariel tak hadiri perbicaraan kes video lucah

MAL PUTRAJAYA memegang poster yang memprotes Ariel di Rumah Tahanan Negara Bandung di Pulau Jawa kelmarin.

BANDUNG - Perbicaraan pertama penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel berhubung kes pengedaran klip video lucah yang melibatkan lelaki mirip wajahnya hari ini tidak akan dihadiri oleh keluarganya, lapor akhbar dalam talian, Inilah.com semalam.
"Keluarga tidak akan datang. Sidangnya (perbicaraan Ariel) diadakan secara tertutup," kata kakak Ariel, Nazlien Fahridzal.
Menurut Nazlien, pihak keluarganya menyerahkan kepada kuasa undang-undang untuk menentukan nasib Ariel.
Ariel dituduh mengedarkan klip video rakaman yang menunjukkan dia melakukan hubungan seks dengan pengacara Luna Maya dan Cut Tari.
Luna Maya adalah kekasih penyanyi itu manakala Cut Tari yang sudah bersuami merupakan bekas kekasihnya.
"Ya, pastilah kita berdoa agar Ariel diberi kemudahan saat dia menjalani sidang (perbicaraan) nanti," kata Nazlien.
Penyanyi itu dikatakan sudah bersiap sedia untuk menghadiri perbicaraan yang dijangka dikawal kira-kira 600 anggota keselamatan di sebuah mahkamah di sini.
Menurut seorang penyelaras kumpulan yang menyokong Ariel, Udji, para penyokong berdoa untuk penyanyi itu di Rutan Kebon Waru yang menjadi tempat tahanan selebriti berkenaan.
"Banyak doa yang kami berikan untuk Ariel. Intinya, supaya Ariel diberi kekuatan dari Allah untuk jalani sidang nanti," ujar Udji
Pertemuan singkat antara peminat band Peterpan dengan Ariel di dalam pusat tahanan itu diakui Udji memberikan kesan ke atas jiwa Ariel.
Menurutnya, Ariel semakin bersedia menjalani perbicaraannya hari ini.
"Dia sangat berterima kasih dengan kedatangan dan sokongan kami," ujar Udji.
Sementara itu, hasrat seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mal Putrajaya untuk melakukan protes mengenai penyebaran pita video seks Ariel di bulatan Hotel Indonesia, Jakarta semalam tidak kesampaian kerana dia gagal mendapat permit.
Menurutnya, dia dibawa oleh anggota polis ke pejabat polis Jakarta Pusat untuk disoal siasat.
Kelmarin, dia turut membuat protes di Rumah Tahanan negara Bandung berhubung kes penyebaran video seks Ariel dan perbuatan selebriti tersebut. - Agensi

Tuesday, November 16, 2010

Pengacara TV wanita tawar Presiden Jerman tidurinya

GAMBAR fail menunjukkan Presiden Jerman, Christian Wulff dan isterinya, Bettina di Istanbul, Turki pada 22 Oktober lalu.

BERLIN - Seorang pengacara televisyen Jerman dan aktivis antinuklear, Charlotte Roche menawarkan diri untuk melakukan hubungan seks dengan Presiden negaranya yang sudah beristeri jika undang-undang kontroversi untuk melanjutkan jangka hayat 17 reaktor nuklear Jerman dimansuhkan, lapor sebuah akhbar.
Pengacara berusia 32 tahun yang pernah menerima anugerah tertinggi kewartawanan Jerman itu berkata, dia bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan Presiden Jerman, Christian Wulff jika beliau berjaya menghalang pelaksanaan undang-undang tersebut.
"Saya menawarkan untuk tidur bersamanya jika dia tidak menandatangani undang-undang itu," kata Roche dalam satu temu bual dengan majalah Der Spiegel.
Wanita itu menyatakan, beliau telah berbincang mengenai perkara ini dengan suaminya yang tidak menghalang tawaran tersebut.
Peruntukan undang-undang untuk memanjangkan hayat 17 buah reaktor nuklear yang berusia lebih 12 tahun itu sepatutnya berakhir pada tahun 2020.
Undang-undang itu diwujudkan oleh pentadbiran terdahulu dan diluluskan oleh dewan rendah Parlimen Jerman, Bundestag seminggu lalu.
Namun, pemerintah memutuskan bahawa undang-undang baru itu tidak memerlukan kelulusan dewan tertinggi, Bundesrat, dan ia hanya memerlukan tandatangan Wulff untuk disahkan sebagai undang-undang.
Roche menjadi popular di Jerman selepas beliau muncul buat kali pertama pada 1988 di televisyen.
Beliau menjadi penganjur tunjuk perasaan bagi menentang pemindahan 123 tan sisa buangan radioaktif dengan menggunakan kereta api di utara Jerman pada minggu lalu. - Agensi

Saintis cipta bintang kecil RM11 bilion

GAMBAR menunjukkan bentuk bintang kecil yang sedang dalam pembinaan di Livermore, California.

LIVERMORE - Saintis-saintis sedang membina sebuah reaktor lakuran lestari pertama di dunia dengan mencipta sebutir bintang kecil di California, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam
Projek bintang kecil berharga AS$3.5 bilion (RM11 bilion) itu dibina oleh Fasiliti Penyalaan Kebangsaan (NIF) bagi menjana tenaga untuk menyelesaikan krisis kekurangan tenaga dunia yang semakin meruncing.
Lakuran merujuk kepada pencantuman dua atau lebih nukleus atom yang menghasilkan banyak tenaga.
Apabila siap pada tahun 2012, bintang kecil itu berpotensi menjana tenaga menyamai 1,135 liter petrol dengan menggunakan cuma 3.7 liter air laut.
Satu siri ujian menunjukkan tenaga yang dibebaskan bintang kecil itu mencecah 1.3 juta mega joule (MJ) sekali gus mencatat rekod dunia.
"Reaktor lakuran juga mesra alam dan bebas pencemaran karbon selain menghasilkan sisa radioaktif yang lebih mudah untuk disimpan berbanding loji nuklear," kata Pengarah NIF, Ed Moses. - Agensi

Monday, November 15, 2010

Laman web tawar upah buat tugasan, kerja rumah AS$2

GAMBAR menunjukkan satu laman web yang menawarkan perkhidmatan untuk menulis esei di Internet.

SYDNEY - Pelajar-pelajar sekolah tinggi dan universiti di Australia menghantar kerja rumah dan tugasan untuk disiapkan ke India, Pakistan dan Mesir menerusi laman web di Internet dengan upah serendah AS$2 (RM6.21), lapor sebuah akhbar semalam.
Laman web itu menawarkan perkhidmatan untuk menyiapkan esei dalam bahasa Inggeris dan tugasan matematik.
Antara laman web itu ialah canadian essay.comrealassignment writing.com dan dissertation india.commengiklankan harga dan tugasan yang ditawarkan.
Kebanyakan tugasan itu disiapkan oleh siswazah dari India dan Pakistan.
Pihak pengurusan sekolah gagal untuk menghalang pelajar yang menipu dengan menggunakan kemudahan itu kerana ia pada kebiasaannya gagal untuk dikesan dengan perisian plagiat.
Seorang pengasas sebuah laman web yang menempatkan tawaran perniagaan secara kecil-kecilan, Mat Barrie berkata, kerja rumah dan tugasan kerap di hantar ke lamannya, www.freelancer.com.
"Kami memperolehnya (tawaran itu) pada setiap masa," katanya.
"Sebagai pensyarah, saya tidak menyukainya tetapi sebagai pelajar, mereka cuba berusaha mencari jalan untuk menipu," tambahnya.
Menurutnya, terdapat pelajar di India yang memberikan jawapan dengan bayaran cuma beberapa dolar.
Pensyarah itu berkata, beliau pernah melihat soalan matematik dijawab dengan upah hanya AS$2 sahaja.
Akhbar Sunday Telegraph berjaya menghubungi seorang pekerja yang menawarkan perkhidmatan itu, Mohammed Ali Khan, 23, dari Islamabad, Pakistan yang merupakan seorang siswazah.
"Ia merupakan kerja sambilan saya. Saya memperoleh tugasan itu dari seluruh dunia termasuk dari Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK)," katanya.
Ketika ditanya berapa jumlah yang akan dikenakan untuk 1,000 perkataan bagi esei bahasa Inggeris Tahun 12, Mohammed memberi jawapan sebanyak AS$10 (RM31.09).
Menurutnya, beliau mendapat banyak tugas daripada pelajar-pelajar Australia.
Pihak pengurusan akademik berasa bimbang dengan gaya baru penipuan itu.
"Kami mengambil perhatian ini dengan amat serius, tetapi sedihnya, ia bukannya satu kejutan," kata Penolong Dekan University of Western Sydney, Craig Ellis.
Menurutnya, trend terbaru itu mencetuskan kebimbangan kerana ia sukar untuk dikesan disebabkan harga upah yang dikenakan terlalu kecil. - Agensi

Gambar bogel Ratu Cantik Dunia 2010 tersebar

ALEXANDRIA MILLS

LOS ANGELES - Satu-satunya rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berjaya dipilih memenangi Ratu Cantik Dunia 2010, Alexandria Mills kini berdepan dengan skandal apabila gambar bogelnya kini tersebar luas, lapor sebuah akhbar semalam.
Mills yang baru dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Dunia pada bulan lepas di China dikatakan merakam gambarnya dalam keadaan bogel di bilik mandi pada musim panas yang lalu.
Gadis berusia 18 tahun itu telah merakamkan gambarnya duduk di dalam tandas kemudian menghantar rakaman tersebut kepada teman lelakinya ketika itu.
Mills bukan ratu cantik pertama yang berhadapan dengan kontroversi seperti itu di AS.
Seorang gadis, Carrie Prejean terpaksa menerima hakikat gelarannya dilucutkan sebagai Ratu Cantik California setelah gambar-gambar seksi dan satu video seksnya tersebar luas. - Agensi

Thursday, November 11, 2010

Anak kura-kura dua kepala

GAMBAR menunjukkan seekor anak kura-kura yang mempunyai dua kepala di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia, selatan China baru-baru ini.

BEIJING - Seekor anak kura-kura dilahirkan dengan mempunyai dua kepala di sebuah taman hidupan liar di Hefeia, selatan China, lapor sebuah akhbar semalam.
"Kedua-dua kepala kura-kura itu berfungsi dengan sepenuhnya dan ia makan berasingan dan kelihatan amat gembira," kata seorang penjaga di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia.
Menurut para penjaga haiwan itu, satu sahaja masalah yang dihadapi oleh kura-kura tersebut apabila ia dilihat tidak sehaluan semasa mahu memutuskan arah perjalanan. - Agensi

Proton Inspira kini boleh dimiliki

Orang ramai tertarik melihat model kereta Inspira di bilik pameran Proton Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA 10 Nov. - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan model terbaharu kereta keluarannya, Proton Inspira yang diasaskan daripada model Mitsubishi Lancer.
Proton Inspira mula dijual di semua bilik pameran Proton pada harga RM78,999 bagi model 1.8 transmisi manual, RM84,999 bagi 1.8 transmisi penghantaran berubah berterusan (CVT) automatik dan RM91,999 bagi model 2.0 CVT automatik.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, produk terbaharu Proton didatangkan dengan dua varian enjin itu dilengkapkan dengan enjin berteknologi Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control (MIVEC).
"Sehingga hari ini, sebanyak 1,800 buah Proton Inspira telah ditempah dengan purata tempahan 100 buah sehari sejak ia diperkenalkan kepada umum 14 Oktober lalu," katanya selepas Majlis Pelancaran Proton Inspira di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.
Pada majlis itu juga seramai 11 pemilik pertama model terbaru itu menerima kunci masing-masing.
Model tersebut didatangkan dalam empat warna iaitu Plum Red, Solid White, Genetic Silverdan Tranquility Black.
Kelebihan Inspira adalah ia dilengkapi dengan CVT dan mod penukaran gear secara manual enam kelajuan dengan sistem transmisi automatik INVECS-III (sistem kawalan elektronik kenderaan pintar dan inovasi).
Bagi model standard iaitu 1.8L manual, ia dilengkapi Sistem Membrek Anti Kunci (ABS), Edaran Tenaga Membrek Elektronik (EBD), beg udara berkembar, imobilizer dan sensor undur.
Varian Eksekutif ditambah dengan mod sport tanpa paddle shift, sementara model Premium 2.0 liter CVT dilengkapi dengan mod sport, paddle shift, auto cruise, pendingin hawa automatik, sensor automatik lampu dan pengelap cermin, kit badan, empat duduk kemasan kulit dan sistem navigasi.
Bagi pelanggan yang menempah sebelum 15 November, mereka akan menerima pakej servis istimewa secara percuma selama dua tahun atau 50,000 kilometer, termasuk tiada bayaran upah dan alat ganti percuma bernilai RM1,658.

Wednesday, November 10, 2010

Saintis cipta letupan Big Bang

GAMBAR menunjukkan mesin Large Hadron Collider.

GENEVA, Switzerland - Sekumpulan saintis mencipta letupan mini Big Bang yang menunjukkan detik-detik permulaan alam semesta yang wujud hampir 14 bilion tahun lalu dengan menggunakan mesin penghentam partikel, Large Hadron Collider bernilai AS$6.4 bilion (RM19.79 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.
Letupan itu berskala kecil tetapi menghasilkan suhu 10,000,000,000,000 darjah Celsius, satu juta kali lebih panas daripada pusat matahari.
Seorang saintis Britain, David Evans yang merupakan salah seorang daripada 1,000 anggota eksperimen itu berkata: "Kami teruja dengan pencapaian itu. Perlanggaran partikel menjana suhu dan ketumpatan paling tinggi yang pernah dicapai dalam satu eksperimen."
Eksperimen itu dibuat di dalam sebuah terowong bawah tanah di sempadan Switzerland dengan Perancis pada Isnin lalu.
Ia dilakukan bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai alam semesta selepas letupan Big Bangatau letupan besar berlaku 13.7 bilion tahun lalu. - Agensi

Trend baling bantal dalam pesawat

GAMBAR menunjukkan beberapa penumpang membaling bantal dalam pesawat syarikat Continental pada ketinggian 10,972 meter.

PHOENIX - Berpuluh-puluh penumpang membaling bantal dalam sebuah pesawat komersial dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Phoenix ke Lapangan Terbang Paine Field, Washington pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan itu yang merupakan anggota-anggota forum penerbangan mengambil bahagian dalam penjelajahan ke enam buah bandar menerusi syarikat penerbangan Continental, United dan U.S Air.
Mereka diundang oleh bos-bos penerbangan itu untuk memberi komen mengenai layanan dan perkhidmatan syarikat itu.
Seorang penumpang dalam laman sebuah laman web menyatakan membaling bantal menjadi lebih seronok pada ketinggian 10,972 meter.
Sebelum ini, beberapa penumpang mambaling bantal dalam pesawat Lufthansa dari Jerman pada Ogos lalu. - Agensi

Tuesday, November 9, 2010

Bintang filem lucah akui pita video seks Woods palsu

DEVON JAMES

NEW YORK - Bintang golf, Tiger Woods menarik nafas lega kerana nasibnya bakal berubah apabila seorang bintang porno, Devon James mengaku bahawa satu rakaman video seks yang menunjukkan dia bersamanya adalah palsu, lapor sebuah akhbar semalam.
Devon atau dikenali sebagai Melinda Janette sebelum ini mendakwa memiliki pita video seks berdurasi 62 minit yang menunjukkan dia melakukan hubungan seks dengan Woods.
Harga satu video rakaman seks itu yang boleh dibeli dengan menggunakan kredit kad atau PayPal turut diturunkan harga kepada AS$19.99 (RM61.72) dari AS$25.95 (RM80.13).
Pada bulan Jun lalu, bekas suami Devon memberitahu dalam sebuah laman web gosip bahawa satu perjanjian ditandatangani dengan sebuah syarikat penerbitan cakera video digital (DVD) bagi menjual rakaman tersebut.
Mereka menjangkakan jualan rakaman itu boleh mencecah sehingga AS$5 juta (RM15.44 juta)
Mereka turut mendakwa bahawa peguam Woods pernah menelefon dan mengugut untuk menyaman ekoran pendedahan rakaman berkenaan.
Namun, peguam bintang golf itu menafikan dakwaan mereka.
Sebelum ini, Woods tidak pernah menafikan mempunyai hubungan sulit dengan Devon yang merupakan seorang pelacur.
Devon mengaku bertemu dengan pemain golf itu ketika berumur 19 tahun. - Agensi

Monday, November 8, 2010

Hari Wukuf 15 November

JEMAAH haji mengelilingi Kaabah di Mekah, Arab Saudi kelmarin.

RIYADH - Mengerjakan haji di Mekah, Arab Saudi akan bermula pada 14 November selepas pihak berkuasa memutuskan tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha ialah 16 November selepas anak bulan kelihatan di negara itu.
Menurut agensi berita AFP, lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia sudah berkumpul di Mekah dan Madinah di barat Arab Saudi bagi mengerjakan haji.
Beberapa pegawai menganggarkan kira-kira dua juta penganut Islam akan mengerjakan haji tahun ini.
Menurut agensi berita Bernama, Mahkamah Agung di Riyadh, Arab Saudi mengumumkan bahawa hari wukuf ialah pada 15 November bersamaan 9 Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha bagi negara itu adalah pada 16 November.
Menurut Saudi Press Agency, yang dilaporkan oleh akhbar Saudi Gazette, 1 Zulhijjah ialah semalam.
Sementara itu, Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal, berkata. semua projek besar yang dilaksanakan tahun ini di tanah suci telah mencapai kejayaan besar bagi memberi manfaat kepada rakyat dan golongan ekspatriat.
Katanya, antara projek penting adalah pengenalan perkhidmatan tren baru, pembinaan Jambatan Jamarat, projek saliran air hujan dan banjir serta projek perkhidmatan ambulans udara oleh Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah.
Putera Khalid berkata, banyak projek telah dilaksanakan di Mekah bagi menangani masalah hujan dan banjir serta persediaan telah dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Walaupun perkhidmatan tren baru itu beroperasi pada kapasiti 30 peratus sahaja namum ia memberi kesan besar kepada sistem pengangkutan bagi jemaah haji, katanya, yang juga pengerusi Suruhanjaya Tinggi Bagi Pemantauan Pengangkutan Jemaah Haji.
Semasa tinjauan itu, Putera Khaled menaiki tren di Stesen No.1 di Arafat sehingga ke Stesen Jamarat di Mina.
Sejumlah 780,000 jemaah dijangka menggunakan sistem tren tersebut. Kira-kira 44,000 jemaah haji akan menaiki bas setiap jam dan masa perjalanan antara Arafat dan Muzdalifa akan dipendekkan dari lima jam kepada 20 minit sahaja, kata baginda.
Dalam pada itu, jemaah haji akan menikmati akses Internet tanpa wayar secara percuma di kawasan tempat suci apabila syarikat Mobily menyediakan perkhidmatan WiFi percuma kepada semua pelanggan telekom. - Agensi