Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Thursday, June 30, 2011

Pub jual air sperma kuda jantan

SEORANG pelayan wanita memegang dulang yang berisi gelas mengandungi air sperma kuda jantan di pub Green Man di Wellington, New Zealand baru-baru ini.

WELLINGTON - Sebuah pub di New Zealand memperkenalkan minuman terbaharu dalam menunya iaitu air sperma kuda berperisa epal, lapor sebuah akhbar semalam.
Pub Green Man di sini menawarkan minuman itu pada harga £12 (RM58) untuk setiap hidangan 30 mililiter.
Bahan mentah minuman itu diambil dari sebuah ladang kuda di sini dengan setiap hidangan mengandungi sekitar 300 juta sperma kuda.
Pemilik bersama pub berkenaan, Steven Drummond berkata, minuman itu yang dihidangkan sejuk, popular dalam kalangan pengunjung lelaki dan wanita.
Dia mendapat idea untuk menggunakan sperma kuda semasa cuba mencipta minuman baharu dalam satu pertandingan makanan tempatan. - Agensi

Anak ular sawa berkepala dua

STEFAN BROGHAMMER memegang seekor anak ular sawa berkepala dua.

BERLIN - Seekor anak ular sawa berkepala dua dilahirkan di Villingen-Schwenningen, selatan Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Ular itu milik Stefan Broghammer yang kini sepanjang 50.8 sentimeter dan berumur setahun.
Menurut Broghammer, haiwan itu merupakan ular yang kedua diketahuinya mempunyai dua kepala.
Ia tidak mempunyai bisa selain dikenali sebagai ular sawa diraja dan popular sebagai haiwan peliharaan. - Agensi

Pejabat Facebook tidak mewah

Kanan: SEBUAH meja dan bangku dalam sebuah bilik untuk pekerja di ibu pejabat Facebook.

MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.
Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.
Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.
Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.
Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.
Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.
Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.
Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.
Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion). - Agensi

Wednesday, June 29, 2011

Eksekutif bank curi RM59.4 juta

GARY FOSTER didakwa membeli sebuah rumah mewah di Englewood Cliffs, New Jersey.

QUEENS - Seorang bekas eksekutif kumpulan perbankan Citigroup, Gary Foster didapati menggelapkan wang sebanyak AS$19.5 juta (RM59.4 juta) dalam tempoh 18 bulan dan menggunakan wang itu untuk membeli sebuah banglo berharga AS$3 juta (RM9.1 juta), membayar AS$1.93 juta (RM5.8 juta) untuk sebuah apartmen dan beberapa kereta mewah.
Sebuah akhbar melaporkan Foster, 35, turut didakwa menggaji seorang pemandu untuk memandu kereta Maserati GranTurismo dan sebuah BMW 550i miliknya selain telah menempah sebuah kereta Ferrari apabila dia ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Ahad lalu.
Sumber-sumber berkata, Foster ditahan semasa dia turun dari sebuah pesawat dari Bangkok di Lapangan Terbang Kennedy, New York
"Defendan menggunakan pengetahuannya tentang operasi Citigroup untuk menggelapkan wang dari dalam bank," kata seorang pendakwa raya, Loretta Lynch semasa mengumumkan dakwaan menipu terhadap Foster yang berkhidmat dengan Citigroup selama 12 tahun sebelum dia meletak jawatan pada Januari lalu.
Foster memperoleh pendapatan AS$100,000 (RM304,700) setahun sebagai pembantu naib presiden di sebuah pejabat perbendaharaan dan kewangan Citigroup di sini yang menguruskan pelaburan bank tersebut.
Pihak berkuasa bagaimanapun mendakwa mulai Mei 2009 hingga Disember tahun lalu, Foster memindahkan AS$19.2 juta daripada beberapa akaun dalaman Citigroup ke dalam akaun peribadinya di bank Chase.
Dia didakwa cuba menutup penipuan itu dengan mewujudkan kontrak pelaburan palsu supaya pemindahan wang itu dilihat tidak melanggar peraturan syarikat. - Agensi

Remaja jadi penggodam diikat jamin

RYAN CLEARY bersama ibunya keluar dari Mahkamah Mahkota Southwark Crown Court, Britain semalam.

WICKFORD - Seorang penggodam yang didakwa menggodam sistem komputer Agensi Jenayah Terancang Serius Britain (Soca) pulang ke rumahnya semalam selepas ibunya berjanji tidak akan membenarkan dia melayari Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Penggodam tersebut, Ryan Cleary, yang didakwa orang penting dalam kumpulan penggodam antarabangsa, LulzSec, bertemu semula dengan ibunya, Rita selepas dia dibenarkan ikat jamin oleh hakim sebuah mahkamah setelah tujuh hari ditahan reman polis.
Remaja berusia 19 tahun yang gemar menyendiri itu ditangkap dalam operasi bersama polis Britain dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di rumah ibunya di sini, England pada Isnin lalu kerana disyaki mensabotaj beberapa organisasi kerajaan termasuk Soca.
"Saya berasa amat lega kerana dapat membawa anak saya pulang. Sepanjang tujuh hari dia ditahan, ia merupakan hari paling panjang dalam hidup kami," kata Rita.
"Dia memberitahu saya bahawa dia mungkin gila berada dalam tahanan," tambahnya.
Cleary yang diperintahkan memakai penanda elektronik, berdepan lima dakwaan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Jenayah Britain.
Kumpulan LulzSec pula dikaitkan dengan serangan siber ke atas beberapa laman web termasuk Perkhidmatan Kesihatan Britain (NHS), Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan syarikat permainan komputer Sony serta Nintendo.
- Agensi

Rihanna jatuh di atas pentas

RIHANNA terjatuh di atas pentas di Edmonton, Kanada pada Rabu lalu.

MONTREAL - Penyanyi terkenal, Rihanna terjatuh dalam keadaan memalukan ketika dia membuat persembahan di Edmonton, Kanada pada minggu lalu.
Penyanyi dari Barbados ketika itu sedang menyanyikan lagiLove The Way You Lie semasa dia terjatuh kerana memakai kasut tinggi di hadapan 16,000 peminatnya.
Namun, dia yang berusia 23 tahun itu kembali bangun untuk menghiburkan peminatnya seperti seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atasnya. - Agensi

Motosikal terbang pertama di dunia

SYDNEY - Seorang bekas juruterbang helikopter, Chris Malloy mencipta sebuah motosikal terbang yang pertama di dunia di dalam garaj miliknya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Malloy, 32, mencipta motosikal seberat 270 kilogram itu dengan menggunakan bingkai udara carbon-fiber dan sebuah enjin kereta BMW.
CHRIS MALLOY menguji sebuah motosikal terbang yang diciptanya di Sydney, baru-baru ini.
Motosikal itu yang mengambil masa selama dua setengah tahun untuk dicipta boleh terbang pada ketinggian 3,048 meter dan mampu bergerak pada kelajuan 160.93 kilometer sejam.
Satu tangki minyak penuh akan membolehkan motosikal itu bergerak sejauh 148.05 kilometer selama 45 minit manakala ia mungkin dijual pada harga lebih AS$71,809 (RM218,981) sebuah.
Malloy enggan mendedahkan jumlah kos sebenar untuk menghasilkan motosikal itu tetapi dia menyatakan dia membelanjakan AS$223.51 (RM681.03) seminggu.
Dia berkata, prinsip asas motosikal itu ialah dia bergerak sama seperti sebuah helikopter Chinook dan sebuah motosikal biasa.
Setakat ini, tali diikat pada motosikal itu semasa ujian dilakukan bagi mengelak ia terbang terlalu tinggi. - Agensi

Tuesday, June 28, 2011

Penganggur cari makan di jalanan

SEORANG penghibur, Rodrigo Gonsalez yang memakai kostum seperti penyanyi legenda, Elvis Presley menunggu pelancong bergambar dengannya di Las Vegas pada Khamis lalu.

LAS VEGAS, Amerika Syarikat (AS) - Kegawatan ekonomi yang melanda bandar negeri Nevada memaksa puluhan lelaki dan wanita di sini mencari rezeki dengan melakukan persembahan di jalanan.
Mereka berada di jalan-jalan raya di pusat bandar ini dengan berpakaian seperti selebriti, watak filem popular dan hero kartun.
Sejak setahun lalu, penghibur jalanan itu memakai kostum watak-watak popular seperti Elvis Presley, Homer Simpson, Mad Hatters dan Batman berkeliaran di bandar ini yang popular sebagai kota perjudian dan pelacuran AS.
Para penghibur itu menawarkan peluang kepada pelancong untuk bergambar dengan mereka dan dikenakan sedikit bayaran.
"Pekerjaan ini dapat membantu saya membayar bil dan memberi kenangan manis kepada pelancong," kata seorang penghibur jalanan, Luis Reyes yang bergambar bersama pelancong di pusat bandar ini dengan memakai kostum penyanyi kumpulan rock Kiss, Gene Simmons.
Seorang jurucakap polis, Bill Cassell berkata, penghibur jalanan itu mula berkembang pesat di sini sejak tahun lalu.
Menurutnya, mereka mencuri tumpuan rakyat AS pada bulan lalu selepas seorang lelaki berpakaian Batman terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang pelancong berhampiran sebuah kasino di sini.
Tiada laporan polis dibuat, kata Cassell tetapi rakaman pergaduhan itu yang disiarkan di laman perkongsian video, telah mempopularkan penghibur jalanan di sini. - AP

Cahaya ganjil di langit London

IMEJ YouTube pada Jumaat lalu menunjukkan tiga buah cahaya ganjil berbentuk seperti bola (dalam bulatan) bergerak di langit di bandar raya London.

LONDON - Satu rakaman video yang dirakamkan oleh seorang penduduk menunjukkan beberapa cahaya ganjil berbentuk bulat bergerak dengan laju di langit bandar raya London.
Imej itu menunjukkan cahaya tersebut bergerak di atas bangunan Perbadanan Penyiaran British (BBC) di London Barat.
Rakaman itu boleh dilihat di laman YouTube yang menunjukkan seorang lelaki sedang merakamkan cahaya ganjil tersebut menerusi telefon bimbit berkamera.
Dalam rakaman itu terdapat lima cahaya ganjil yang kecil bergerak dengan laju yang dilihat oleh beberapa orang di tepi bangunan di bandar raya ini.
Rakaman tersebut juga menunjukkan satu cahaya yang tidak dikenali berbentuk sfera yang lebih besar bergerak dengan perlahan dekat dengan lima cahaya kecil itu.
Menurut sebuah akhbar semalam, rakaman itu hanya dimuat naik di laman YouTube pada Jumaat lalu.
Berdasarkan tarikh yang dimuat naik di YouTube, kejadian tersebut mungkin berlaku pada 3 Jun, 10 Jun atau 17 Jun lalu kerana masa lebih seminggu diperlukan oleh laman itu untuk melakukan proses penyiaran selepas rakaman video tersebut dihantar. - Agensi

Lady Gaga disaman RM14.64 juta

LOS ANGELES - Penyanyi yang terkenal dengan gaya pelik, Lady Gaga disaman lebih AS$4.79 juta (RM14.64 juta) selepas dia dituduh menggelapkan dana yang diwujudkan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Penyanyi tersebut menjual gelang tangan getah yang berharga AS$4.95 (RM15.13) bagi mengutip dana untuk mangsa-mangsa tsunami di Jepun.
Namun dia didakwa menggelapkan wang kutipan tersebut yang disumbangkan oleh para peminatnya dengan tidak memberi semua hasil jualan kepada mangsa-mangsa bencana tsunami dan gempa bumi di Jepun.
Sebuah firma guaman di Detroit, Michigan, Amerka Syarikat (AS) telah memfailkan tuntutan ke atas penyanyi itu beberapa jam sebelum dia membuat persembahan untuk membantu mangsa-mangsa tsunami pada hujung minggu lalu.
Alyson Oliver yang memfailkan saman tersebut di sebuah mahkamah persekutuan berkata: "Apabila anda menggunakan kuasa selebriti dan pengaruh sebagai ahli muzik untuk mengambil wang daripada orang ramai dengan menggunakan alasan yang salah, ia merupakan perbuatan yang salah." - Agensi

Monday, June 27, 2011

Imej bandar ganjil di kaki langit

SALAH satu imej ganjil yang menunjukkan beberapa bangunan tinggi di kaki langit bandar Huanshan, China pada awal bulan ini.

HUANSHAN - Beberapa imej bandar dilihat muncul di langit pada awal bulan ini di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kemunculan 'bandar hantu' di langit itu berlaku selepas hujan lebat dan suasana lembap berlaku di sepanjang Sungai Xin'an di bandar ini.
Imej pelbagai bentuk bangunan dan pokok itu menyebabkan beberapa pakar kebingungan kerana imej bandar yang diperlihatkan itu bukan refleksi imej yang terdapat di bandar ini.
Adalah dipercayai bahawa imej itu mungkin satu ilusi penglihatan yang berlaku akibat cuaca lembap. - Agensi

Lelaki ada 150 peluru penabur dalam badan

BAHAGIAN belakang tubuh Joe Clarke yang mempunyai bintik kemerahan akibat ditembak.

CONSETT, Britain - Seorang lelaki, Joe Clarke, (gambar kecil) 33, mempunyai lebih 150 butir peluru penabur di dalam tubuhnya sejak 2007, lapor sebuah akhbar semalam.
Doktor-doktor tidak dapat mengeluarkan sebutir pun peluru tersebut kerana terdapat sebahagian daripada peluru itu menembusi organ-organ pentingnya.
Clarke ditembak oleh dua lelaki yang melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang patah selepas dia membuka pintu rumahnya di sini pada Disember 2007.
Peluru penabur itu menembusi bahagian tubuh belakangnya, kepala dan leher.
Semasa kejadian, Clarke berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang jirannya yang menyembunyikan dia dalam rumahnya.
Lapan bulan selepas serangan itu yang berlaku akibat perbalahan dengan seorang bekas kekasihnya, lima lelaki didakwa berkonspirasi untuk membunuhnya.
Dia kini menghadapi kesan sampingan akibat tembakan tersebut iaitu rasa sakit pada setiap hari.
"Para kakitangan hospital menyatakan mereka tidak pernah melihat kejadian seperti ini," kata Clarke.
Ketika menggambarkan detik-detik dia ditembak, Clarke menggambarkan dirinya seperti badannya dibakar. - Agensi

Friday, June 24, 2011

Budak tersangkut pada palang tingkat tiga

SEORANG anggota polis cuba untuk menyelamatkan budak perempuan yang tersangkut itu.

BEIJING - Kepala seorang budak perempuan berumur empat tahun tersangkut di celah palang besi di bawah tingkap di tingkat tiga sebuah apartmen di Tengzhou, utara China, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, budak itu tersangkut selama 20 minit sebelum dia diselamatkan oleh beberapa anggota polis.
Pada mulanya, seorang anggota polis itu berdiri di atas alat pendingin hawa dekat dengan budak tersebut selepas dia memanjatnya dengan menggunakan tangga.
Namun, anggota polis itu, Zhao Liancheng gagal untuk menariknya keluar.
Liancheng berkata: "Pihak kami (polis) menghubungi ibu bapa budak itu untuk pulang ke rumah dengan serta- merta."
Ibu bapa budak itu tiba 10 minit kemudian dan beberapa anggota polis memasuki apartmen untuk menarik dia dari tingkap.
Bapa budak itu menyatakan dia dan isterinya keluar rumah untuk bekerja menyebabkan anaknya tinggal berseorangan.
Menurutnya, anaknya bertuah kerana jiran-jiran dapat mengetahui kejadian itu.
Budak itu dipercayai terjatuh selepas dia melihat pemandangan dari tingkap tersebut. - Agensi

Bekas bintang filem lucah bankrap

WAJAH terkini Patricia Kluge.

ABERMARLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas penari gelek, bintang filem lucah dan model bogel yang dikenali sebagai janda 'terkaya dalam sejarah' selepas dia bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang bilionair, telah bertindak mengisytiharkan dirinya muflis, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita berkenaan, Patricia Kluge memperoleh bayaran penyelesaian perceraian berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) selepas dia bercerai dengan suaminya yang merupakan taikun media AS, John Kluge pada tahun 1990.
Pada tahun, 1980-an, Patricia menganjurkan parti-parti mewah untuk golongan diraja, tokoh korporat, selebriti dan tokoh sasterawan di rumahnya.
Patricia yang kini berusia 62 tahun bagaimanapun memohon perintah perlindungan muflis bersama suami ketiganya, William Moses baru-baru ini.
Model berkenaan yang dilahirkan di Baghdad dan pernah membintangi sebuah filem lucah, The Nine Ages Of Nakedness, mengisytiharkan dirinya muflis selepas asetnya merosot selain mengalami kerugian besar dalam perniagaan membuat wain miliknya.
Menurut kertas permohonan muflis yang difailkan di sebuah mahkamah AS, dia dan suaminya, William Moses yang menetap di sini, negeri Virginia, memiliki hutang berjumlah AS$50 juta (RM151.9 juta). - Agensi

Barang kemas RM24.1 juta milik Eva Peron ditemui

SEBAHAGIAN barang kemas milik Eva Peron yang ditemui semula dipamerkan polis di Milan, Itali kelmarin.

MILAN – Sejumlah barang kemas bernilai lebih £5 juta (RM24.1 juta) yang pernah dimiliki Wanita Pertama Argentina, Eva Peron ditemui semula oleh polis Itali.
Pendedahan itu dibuat polis dalam satu sidang akhbar kelmarin di sini.
Semua barang kemas itu, termasuk sebuah tiara bernilai £3.5 juta (RM16.9 juta) yang dihadiahkan kepada Eva oleh keluarga diraja Belanda, dua bentuk cincin dan sepasang anting-anting ditemui di sebuah hotel di sini dalam satu serbuan pihak berkuasa.
Barang kemas itu dicuri sekumpulan penjenayah Serbia daripada sebuah butik di bandar Valencia, Sepanyol pada Disember 2009.
Pada tahun lalu, polis Sepanyol menangkap enam anggota geng penjenayah berkenaan tetapi gagal menemui barang kemas berkenaan.
Namun, hasil soal siasat terhadap tahanan-tahanan tersebut, polis Sepanyol memberikan maklumat mengenai seorang konconya kepada polis di sini, Itali.
Selepas membuat intipan selama beberapa bulan, penjenayah berkenaan ditangkap di sebuah hotel di sini dengan polis turut menemui semula barang kemas tersebut.
Eva yang merupakan isteri bekas Presiden Argentina Juan Peron lebih dikenali dengan gelaran Evita.
Wanita itu menjalani kehidupan penuh mewah dan glamor yang kemudian diadaptasikan ke layar perak menerusi filem berjudul, Evita dengan wataknya dilakonkan oleh Madonna.
Peron memerintah Argentina pada awal 1950-an sebelum hidup dalam buangan pada 1955, tiga tahun selepas Eva meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat kanser. – Agensi

Thursday, June 23, 2011

Kucing kebal selepas dihumban dari tingkat 12

KUCING betina yang masih hidup selepas jatuh dari tingkat 12 bangunan flat di Oldbury, Britain.

OLDBURY, Britain - Seekor kucing betina masih hidup walaupun dihumban dari tingkat 12 sebuah flat pada ketinggian lebih 36.57 meter, lapor sebuah akhbar semalam.
Kucing itu terbaring dengan mulut berdarah semasa anggota-anggota sebuah agensi perlindungan haiwan tiba untuk memberi rawatan selepas dihubungi seorang penduduk bagi memberitahu mengenai kejadian berkenaan .Beberapa penduduk di tingkat tiga dilaporkan mendengar bunyi haiwan itu jatuh.
Seorang pegawai agensi perlindungan haiwan itu, Susie Bailey berkata, dia percaya kucing tersebut jatuh dari tingkat 12 flat berkenaan pada 5 Jun lalu.
Namun, kucing berusia tujuh bulan itu semakin pulih tanpa mengalami sebarang kecederaan serius selepas ia jatuh sekali gus mengejutkan pegawai-pegawai agensi perlindungan haiwan.
Kucing itu dirawat di sebuah hospital haiwan di Birmingham.
Haiwan itu memakai kolar di leher yang menunjukkan ia mempunyai tuan. - Agensi

Porsche 911 jadi sasaran latihan menembak

KERETRA Porsche 911 dipenuhi dengan kesan tembakan di Jamaica Plain, Massachusetts baru-baru ini.

JAMAICA PLAIN, Massachusetts - Seorang pemilik kereta mewah Porsche 911 mengambil keputusan membiarkan keretanya yang berharga AS$80,615 (RM244,300) menjadi sasaran latihan menembak.
Beliau bertindak demikian kerana bosan dengan kerosakan enjin kereta tersebut yang kerap berlaku.
Kereta itu diberikan kepada sebuah persatuan yang dikenali sebagai Comm2A yang terletak di Jamaica Plain, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Hasilnya, kereta yang berwarna perak itu menerima 10,000 tembakan peluru dari 140 pucuk senjata api.
Ia diletakkan di kawasan latihan menembak dan menjadi sasaran latihan oleh ahli persatuan terbabit.
Tembakan yang datang dari beberapa mesingan dan senjata automatik menyebabkan rupa sebenar bentuk Porsche tersebut sukar dikenali.
Sebelum ini, pemilik yang tidak mahu dikenali itu dikatakan telah membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membaiki masalah enjin dan sistem penyejukan kereta tersebut. - Agensi

Identiti penggodam didedahkan

RUMAH yang diduduki oleh Ryan Cleary bersama ibunya di Wickford, Britain.

WICKFORD, Britain - Identiti individu yang disyaki mengetuai ketua kumpulan penggodam komputer global, LulzSec didedahkan semalam sebagai pelajar pintar berusia 19 tahun, Ryan Cleary.
Sebuah akhbar melaporkan dia dipercayai mendalangi operasi pencerobohan siber tersebut dengan menggunakan dua buah komputer di bilik tidurnya di banglo milik ibunya di sini.
Ryan ditangkap dalam operasi bersama oleh polis Scotland Yard dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di kediaman ibunya, Rita, 45, yang berharga £330,000 (RM219,545) kelmarin.
"Kemungkinan besar bandar ini merupakan pusat pergerakan untuk menggodam rangkaian komputer milik kerajaan-kerajaan di dunia," kata seorang pakar komputer kelmarin
Pelajar itu kini direman di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Penipuan Britain di sebuah balai polis di pusat bandar London.
Ibunya yang merupakan seorang jururawat memberitahu, Ryan banyak menghabiskan masa di sisi komputernya.
Jelas Rita, anaknya mempunyai sejarah sakit mental dan menghidap agorafobia iaitu penyakit dihantui perasaan takut ketika berada di tempat terbuka tetapi dia seorang yang amat pintar.
Sumber-sumber polis berkata, sejumlah maklumat dan data dirampas daripada sebuah komputer miliknya.
Pihak berkuasa percaya Ryan merupakan 'orang penting' LulzSec, yang mendakwa bertanggungjawab mencuri nama, alamat, data bank dan kata laluan 77 juta pelanggan rangkaian permainan Internet, Sony Playstation.
Selain Sony dan satu lagi firma permainan video, Nintendo, LulzSec turut menceroboh rangkaian komputer Agensi Jenayah Berat Terancang Britain, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Senat Amerika Syarikat (AS).
LulzSec merupakan kumpulan serpihan geng penggodam Anonymous yang melancarkan serangan siber ke atas firma MasterCard dan PayPal pada tahun lalu.- Agensi

Wednesday, June 22, 2011

Bapa rayu anak kembar dimatikan

SABA (kiri) dan Farah Shakeel.

PATNA, India - Tidak tahan melihat penderitaan anak kembar siamnya yang melekat di kepala, seorang bapa dari India memohon supaya membenarkan anaknya mati jika tiada bantuan kewangan untuk membolehkan mereka menjalani rawatan.
Saba dan Farah Shakeel, 15, menderita sakit kepala yang teruk, sakit sendi dan kesukaran untuk bertutur sepanjang mereka membesar.
Dua gadis itu sebelum ini pernah menerima bantuan hasil campur tangan daripada Putera Mahkota Abu Dhabi tetapi bapa mereka Mohammed yang bekerja di gerai teh di Patna kini tidak lagi mampu membiayai kos rawatan anaknya yang tinggi.
Pasukan pakar kembar siam yang diketuai oleh Benjamin Carson dari Amerika Syarikat mendapati kembar tersebut berkongsi saluran darah utama di otak dan mempunyai dua buah ginjal. - Agensi

Remaja ketua penggodam ditangkap

MANGSA terkini kumpulan Lulz Security ialah laman web Agensi Jenayah Organisasi Serius yang digodam kelmarin.

WICKFORD, Britain - Polis menangkap seorang remaja di sini, England kerana disyaki menjadi ketua kumpulan penggodam antarabangsa, Lulz Security, yang bertanggungjawab melakukan serangan siber terhadap Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS) dan Scotland Yard, lapor sebuah akhbar semalam.
Remaja tempatan berusia 19 tahun itu ditangkap dalam satu operasi bersama melibatkan polis Britain dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga dari AS.
Suspek kini disoal siasat di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Penipuan Britain di sebuah balai polis di pusat bandar London.
"Tangkapan ini susulan siasatan terhadap pencerobohan rangkaian komputer sebilangan organisasi perniagaan dan agensi perisikan oleh kumpulan penggodam sama (Lulz Security)," kata seorang jurucakap Scotland Yard.
Lulz Security mendakwa bertanggungjawab menceroboh sistem komputer beberapa organisasi utama termasuk Agensi Jenayah Berat Terancang Britain, Senat Amerika Syarikat (AS) dan CIA selain firma permainan video Nintendo dan Sony.
Dalam satu mesej di Internet pada Ahad lalu, kumpulan itu mengisytiharkan perang serta-merta dan berterusan terhadap kerajaan dan syarikat keselamatan komputer di serata dunia.
Lulz Security menggesa pengikutnya supaya menceroboh dan merosakkan laman web kerajaan dengan keutamaan untuk mencuri dan mendedahkan maklumat sulit kerajaan termasuk e-mel dan dokumen.
Sasaran utama kumpulan itu adalah bank dan organisasi utama yang lain.
Laman web Agensi Jenayah Organisasi Serius merupakan sasaran terkini kumpulan pengodam tersebut kelmarin. - Agensi

Tuesday, June 21, 2011

Pakar pukau bantu penari tiang menggoda

BEBERAPA penari tiang di kelab Cleopatra's Lounge, Huddersfield, Britain.

HUDDERSFIELD, Britain - Seorang pakar pukau, Grant Saunders dipanggil untuk membantu penari-penari tiang menggoda pelanggan, lapor sebuah akhbar semalam.
Menerusi kepakaran pakar pukau itu, pelanggan-pelanggan akan memberikan lebih banyak wang kepada mereka selepas persembahan erotik berakhir.
Khidmat Saunders digunakan pemilik kelab tarian Cleopatra's Lounge di sini untuk membantu meningkatkan pendapatan premis itu yang merosot sejak kebelakangan ini.
"Penari-penari di sini akan menggunakan teknik yang dikenali sebagai 'berlabuh'. Minda bawah sedar pelanggan akan dibuka semasa melihat paha mereka (penari bogel)," kata Saunders, 34.
"Para pelanggan akan mengikut permintaan penari itu ketika dia bercakap dengan dan menyentuh bahu atau lutut mereka," tambah pakar berkenaan.
Namun, dia menyangkal teknik tersebut akan menyebabkan pelanggan dipukau sepenuhnya seperti yang biasa dilakukan pada sesi hipnotis lain.
"Teknik ini cuma membantu mereka untuk menjadi jurujual yang lebih baik," katanya. - Agensi

Perkahwinan pasangan lesbian pertama di Nepal

COURTNEY MITCHELL (kanan) menyarungkan cincin perkahwinan kepada pasangan lesbiannya, Sarah Welton dalam majlis perkahwinan sesama jantina di sebuah kuil Hindu di Katmandu, Nepal semalam.

KATMANDU - Seorang peguam wanita dan profesor wanita dari salah sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS) merupakan pasangan lesbian yang pertama berkahwin di Nepal semalam.
Nepal baru-baru ini telah mengiktiraf hak-hak lelaki homoseksual dan menggubal undang-undang untuk menamatkan diskriminasi seksual.
Pasangan itu, Courtney Mitchell, 41, dan Sarah Welton, 48, dari Denver, Colorodo diraikan dalam persandingan tradisi Hindu di kuil Dakshinkali yang terletak di selatan Katmandu, ibu negara Himalaya.
Ahli Parlimen Nepal, Sunilbabu Pant, seorang aktivis hak gay berkata, ia merupakan perkahwinan awam pertama daripada pasangan lesbian di negara konservatif.
Di Nepal, perkahwinan sejenis tidak menyalahi undang-undang. - AP

Monday, June 20, 2011

Jet hipersonik paling laju

GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan lakaran artis pesawat hipersonik yang dirancang pembinaan oleh syarikat aeroangkasa, EADS.

LE BOURGET - Syarikat aeroangkasa, EADS yang membina pesawat Airbus semalam mendedahkan rancangan untuk membina pesawat penumpang hipersonik yang mengambil masa cuma dua setengah jam penerbangan dari Paris ke Tokyo.
Ketua Pegawai Teknikal EADS, Jean Botti berkata, pesawat tersebut mirip jet supersonik Concorde yang pernah digunakan oleh syarikat Air France.
Pesawat itu kini sedang dimajukan dengan kerjasama Jepun.
Ia dianggarkan boleh membawa di antara 50 hingga 100 penumpang.
Pembinaan pesawat itu dikenali sebagai projek pengangkutan kelajuan tinggi sifar pencemaran.
Bagaimanapun, Ketua EADS, Louis Gallois berkata, ia mengambil masa di antara 30 hingga 40 tahun untuk membina pesawat tersebut. - Reuters

Friday, June 17, 2011

Kenderaan tenggelam kerana pemandu percaya GPS

GAMBAR menunjukkan kenderaan utiliti sukan ditarik keluar dari dalam tasik.

WASHINGTON - Sebuah kenderaan utiliti sukan tenggelam di dalam sebuah tasik dekat Taman Mercer Slough di sini kelmarin selepas seorang daripada tiga wanita yang memandu kenderaan itu mengikut laluan yang ditunjukkan menerusi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
Kejadian itu berlaku pada awal pagi semasa mereka tersesat dalam perjalanan untuk kembali ke sebuah hotel.
Pemandu kenderaan tersebut menyangka dia memandu di atas jalan raya semasa mengikuti arah panduan menerusi GPS.
Namun, kenderaan itu bergerak memasuki sebuah tasik.
Ketiga-tiga wanita itu menggigil selepas mereka berjaya keluar dari kenderaan tersebut yang kemudian tenggelam ke dalam tasik berkenaan.
Sebuah trak tunda tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi namun kenderaan tersebut sudah tenggelam ke dalam tasik.
Ia kemudian ditarik keluar dari tasik tersebut dengan menggunakan trak penunda itu. - Agensi

Perodua lancar Myvi baharu

AMINAR RASHID (kiri) menerangkan sesuatu kepada Muhyiddin pada majlis pelancaran Myvi terbaharu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Meneruskan momentum kejayaan model Myvi yang merupakan kereta nombor satu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) kini memperkenalkan Myvi baharu di pasaran.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kereta bersaiz kompak dengan ruang dalaman yang luas itu masih menekankan konsep gaya dan kemudahan seperti Myvi sebelum ini tetapi kemudahannya ditambah baik dari segi rupa yang lebih segar, ciri-ciri keselamatan dan pengendalian fungsi terkini.
“Mengikut jejak langkah model Myvi, model terbaharu ini dilihat sebagai kereta rakyat kerana reka bentuknya yang inovatif, teknologi kejuruteraan dengan menggunakan material berkualiti tinggi dan harga jualan yang berpatutan.
“Boleh dikatakan model Myvi baharu ini memberikan nilai yang tinggi kepada pembeli,” katanya selepas majlis pelancaran model terkini Perodua di sini semalam.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Thursday, June 16, 2011

Anak anjing disidai seperti pakaian

SEEKOR anjing disepit pada penyidai pakaian 
di sebuah rumah di Calamba, Filipina baru-baru ini.

CALAMBA, Filipina - Seorang pemuda, Jerzon Senador dari sini bakal berdepan dakwaan melakukan kekejaman pada haiwan selepas dia menyidai seekor anak anjing pada penyidai pakaian, lapor sebuah akhbar semalam.
Senador menggunakan beberapa penyepit pakaian untuk menyidai haiwan itu sebelum dia merakamkan beberapa gambar anak anjing tersebut.
Dia kemudian menyiarkan beberapa gambar haiwan itu yang disepit pada penyidai pakaian di laman Facebook baru-baru ini.
Namun, pemuda tersebut meminta maaf selepas pengguna-pengguna Facebook menyuarakan kemarahan mereka.
Senador menyatakan dia melakukan perbuatan itu setelah diselubungi kebosanan.
Lebih 3,000 pengguna laman itu menyertai kempen bagi meminta Senador dihukum ekoran perbuatan tersebut.
Persatuan Kebajikan Haiwan Filipina telah melancarkan siasatan berhubung kejadian itu. - Agensi