Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Friday, August 26, 2011

China haramkan lagu Lady Gaga



BEIJING 25 Ogos - China mengharamkan laman web daripada memaparkan 100 lagu daripada artis terkemuka seperti Lady Gaga dan Backstreet Boys, kata kenyataan dalam laman web Kementerian Kebudayaan republik komunis itu.

Kementerian itu berkata, ia bertujuan untuk mengawal 'peraturan' pasaran muzik di Internet, dan lagu-lagu 'yang memudaratkan budaya di negara itu mesti dibersihkan serta dikawal di bawah undang-undang'.

Notis tersebut yang diterbitkan pada 19 Ogos lalu dan dipamerkan dalam laman web kementerian, menyenaraikan lagu nyanyian Lady Gada iaitu The Edge of Glory, Hair, Marry the Night dan Bloody Mary.

Kenyataan itu tidak menjelaskan faktor lagu-lagu terbabit diharamkan namun kebiasaannya China menapis sebarang perkara yang dianggap menyentuh sensitiviti politik.

Lirik terakhir lagu Bloody Mary mengandungi ayat 'Oh liberdade, mi amor' (Oh kebebasan, cintaku), dan lagu Hair dengan lirik 'This is my prayer, That I'll die living just as free as my hair'(Ini doaku, Aku akan hidup dan mati dengan bebas seperti rambutku).

Turut disenarai hitamkan oleh kerajaan China ialah lagu daripada kumpulan terkenal Backstreet Boys; penyanyi R&B, Beyonce; kumpulan muzik dari Kanada, Simple Plan dan kumpulan pop Britain, Take That.

Lagu artis Asia yang diharamkan termasuklah penyanyi Taiwan, Zhang Hui-mei yang sebelum ini menghina kerajaan Beijing selepas menyanyikan lagu kebangsaan Taiwan semasa pelantikan bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian pada 2000.

China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengharamkan Hui-mei buat sementara waktu daripada membuat persembahan di Tanah Besar dan membatalkan semula iklan produknya.

Pihak berkuasa dilaporkan turut mengharamkan beberapa kumpulan muzik dari luar negara untuk membuat persembahan secara langsung di China, atau meneliti terlebih dahulu senarai lagu bagi mengetepikan lagu yang dianggap sensitif.

Sekatan sedemikian semakin ketat dikenakan terhadap persembahan artis dari luar negara selepas penyanyi Iceland, Bjork menjerit 'Tibet!' ketika selesai menyanyikan lagunya, Declare Independence pada pertunjukan Shanghai 2008.

Sejak 2010, China mengkehendaki semua lagu yang dimasukkan dalam laman web muzik supaya mendapat kelulusan terlebih dahulu, sebagai sebahagian langkah untuk menghapuskan kegiatan cetak rompak. - AFP

Thursday, August 25, 2011

Gaji Eto'o RM1.7 juta seminggu


LONDON - Samuel Eto'o bakal menjadi pemain yang menerima gaji termahal di dunia selepas meninggalkan Inter Milan untuk menyertai kelab Rusia, Anzhi Makhachkala.
Penyerang Cameroon berusia 30 tahun itu akan menerima gaji £345,000 (RM1.7 juta) seminggu selepas Anzhi sanggup membelinya dengan harga perpindahan £22 juta (RM108 juta).
"Hari ini (kelmarin) satu perjanjian telah dicapai di antara Anzhi dan Inter berhubung perpindahan Samuel Eto'o.
"Syarat-syarat perpindahan itu telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua kelab tersebut.
"Anzhi melahirkan rasa penghargaannya terhadap pegawai atasan Inter Milan di atas sikap profesional dan usaha keras mereka dalam perbincangan ini.
"Esok pemain itu (Eto'o) akan menjalani ujian perubatan dan kemudian ditawarkan kontrak selama tiga tahun sekiranya melepasi ujian berkenaan.
"Pada Khamis (hari ini), dia akan tiba di kelab barunya ini dan akan menjalani persiapan bagi perlawanan menentang FC Rostov," lapor kenyataan daripada laman web rasmi kelab tersebut.
Anzhi dimiliki oleh jutawan Rusia, Suleyman Kerimov dan turut mempunyai bekas pemain bintang yang lain seperti Roberto Carlos dan Yuri Zhirkov.
Eto'o telah menjaringkan 21 gol dalam 35 perlawanan Serie A bersama Inter musim lepas selain pernah membantu Barcelona menjuarai trofi Liga Juara-Juara pada 2006 dan 2009. - Agensi

Kapsul belon untuk pelancong lihat Bumi

KAPSUL yang bergerak ke lapisan stratosfera Bumi dengan belon.
BENTUK kapsul yang akan dinaiki oleh pelancong.


BARCELONA - Sebuah syarikat Sepanyol mencipta sebuah kapsul yang akan membawa pelancong ke stratosfera Bumi dengan menggunakan belon helium pada 2013, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Stratosfera berada pada ketinggian di antara 12 hingga 50 kilometer dari Bumi.
Syarikat Zero 2 Infinity itu mengenakan tambang sebanyak £90,000 (RM442,734) untuk setiap pelancong yang berada di dalam kapsul tersebut selama lima jam.
Para pelancong akan menikmati pemandangan Bumi. Kapsul tersebut direka supaya mereka boleh memakai baju-T semasa berada di dalamnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Zero 2 Infinity, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, dia mendapat idea untuk melaksanakan projek tersebut sepuluh tahun lalu.
Setakat ini tiga ujian sudah dilakukan pada jarak 32.18 kilometer dari bumi.
Para pelancong akan disajikan makanan semasa mereka berada di dalam kapsul itu. - Agensi

Nelayan tangkap ketam ganjil

RUPA bentuk ketam ganjil yang kini dipelihara di Akuarium Blue Reef, Southsea, Hampshire, Britain.

SOUTHSEA - Seorang nelayan menangkap seekor ketam ganjil yang wajahnya dikatakan mirip makhluk asing dalam filem Predator yang dibintangi pelakon Arnold Schwazenegger pada tahun 1980-an, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketam itu kini ditempatkan di Akuarium Blue Reef di Southsea, Hampshire, Britain selepas haiwan tersebut diserahkan untuk dipamerkan baru-baru ini.
Haiwan tersebut turut dikenali sebagai ketam span dan ia boleh menyamar dan mengelak daripada dilihat menerusi pemandangan mata semasa haiwan tersebut berada di dasar laut.
Ketam itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas ia selesai dikuarantin. - Agensi

Kereta seperti F1 bergerak di jalan raya

FURORE F1 ciptaan Russ Bost sah digunakan di atas jalan raya di Britain.

BENFLEET, Britain - Seorang peminat kereta lumba, Russ Bost (gambar kecil) yang berusia 54 tahun membelanjakan hanya £10,000 (RM49,146) untuk mencipta sebuah kereta seperti Formula Satu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Pada kebiasaannya, kos untuk membina sebuah kereta F1 melibatkan berjuta-juta pound.
Kereta itu juga sah di sisi undang-undang untuk dipandu di atas jalan raya bersama dengan kenderaan lain.
Bost mencipta kereta itu yang mampu bergerak selaju 273.59 kilometer sejam.
Dia menggunakan sebuah enjin motosikal Kawasaki manakala banyak peralatan termasuk gear dan brek diambil daripada kereta Toyota MR2, yang dibelinya pada harga cuma £300 (RM1,474).
Kereta itu diberi nama Furore F1 dan ia mampu memecut dari 0 hingga 96.56 kilometer sejam dalam tempoh tiga saat.
Menurut Bost, semasa memandu kereta itu di bandar, ramai orang yang memerhatikannya.
"Saya kerap ditanya jika kereta itu benar-benar sebuah kereta lumba F1," katanya.
Kereta lumba F1 yang dipandu oleh pelumba Lewis Hamilton dan Jenson Button memerlukan penggunaan minyak 3.78 liter untuk setiap 6.43 kilometer.
Namun, kereta ciptaan Bost itu mampu menggunakan minyak 3.78 liter untuk setiap perjalanan sejauh 48.28 kilometer. - Agensi

Wednesday, August 24, 2011

Lohan saman Pitbull kerana lirik lagu


LOS ANGELES - Artis bermasalah Hollywood, Lindsay Lohan menyaman penyanyi rap, Pitbull kerana dia menggunakan namanya dalam lirik tanpa kebenaran.
Lohan membantah penggunaan namanya dalam lagu popular masa kini, Give Me Everything. Lagu itu dinyanyikan Pitbull dan penyanyi Ne-Yo dan artis wanita, Mayer. Di laman YouTube lagu itu sudah ditonton lebih 109 juta kali.
Lohan menyaman Pitbull kerana terdapat lirik yang menyatakan 'saya dikurung seperti Lindsay Lohan.' Menurut Lohan, penggunaan namanya itu melanggar hak awamnya dan mahu satu sekatan dilakukan ke atas lagu itu daripada disiarkan selain meminta ganti rugi.
Pada awal tahun ini, aktres berusia 25 tahun itu menjalani hukuman tahanan di rumah kerana mencuri seutas rantai leher. - Agensi

Winslet selamatkan ibu bilionair berusia 90 tahun

SEORANG anggota bomba menyembur air ke arah rumah milik Richard Branson di Pulau Necker, Kepulauan Virgin kelmarin.

PULAU NECKER, Kepulauan Virgin - Aktres Britain, Kate Winslet membantu menyelamatkan ibu ketua syarikat penerbangan tambang murah Virgin, Richard Branson apabila vila yang mereka diami di tepi Laut Carribean di sini terbakar setelah disambar petir.
Wanita berusia 90 tahun itu dibawa keluar ke tempat yang lebih selamat. Winslet dan anak-anaknya adalah antara tetamu yang terpaksa melarikan diri apabila kediaman milik Branson itu hangus terbakar.
Rumah agam berharga beberapa juta pound itu dibina di atas pulau ini yang dibeli oleh taikun berkenaan pada harga £60 juta (RM294.21 juta). Ia disambar petir sebelum terbakar awal pagi kelmarin apabila rantau berkenaan dilanda Taufan Irene yang bergerak selaju 144 kilometer sejam.
Api merebak dengan cepa,t sekali gus memaksa penghuninya termasuk Winslet dan dua anaknya bertindak menyelamatkan nyawa mereka.
Menurut Branson, Winslet bertindak seperti seorang wirawati Hollywood sejati apabila ia mengangkat wanita berusia 90 tahun itu dan berjalan keluar dari rumah agam berkenaan yang runtuh sejurus kemudian.
Ketika kejadian, Branson, 61, menginap di sebuah vila lain sekitar beberapa puluh meter daripada rumah agam berkenaan bersama isteri, Joan dan anak lelakinya, Sam.
"Terdapat sekitar 20 orang dalam rumah itu dan mereka semua berjaya keluar dengan selamat," katanya.
Branson yang mengetuai konglomerat Kumpulan Virgin yang terdiri daripada 400 buah syarikat, memiliki anggaran kekayaan berjumlah AS$4.2 bilion (RM12.4 bilion).- Agensi

Tuesday, August 23, 2011

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

 
SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.

TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.
Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.
Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.
Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.
Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.
Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.
Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.
Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.
"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.
Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.
Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.
Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.
Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.
Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.
Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.
Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.
Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.
Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.
Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.
Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.
Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.
Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Patung monyet diguna untuk cegah pandu laju

BEBERAPA patung monyat yang memakai jaket bercahaya diletakkan di sebatang pokok di tepi jalan raya di Changsa, China.

CHANGSA - Polis China menggunakan patung-patung monyet yang dipakaikan dengan jaket pemantul cahaya sebagai usaha untuk menghalang pemandu memandu kenderaan dengan laju, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Patung-patung itu diletakkan di tepi jalan raya di bandar ini.
Beberapa pegawai undang-undang di bandar ini berharap patung yang ganjil itu akan dapat memberi peringatan kepada pemandu supaya jangan melanggar undang-undang.
Salah satu daripada idea unik itu dilaksanakan di sebatang pokok.
Beberapa patung monyet yang memakai jaket tersebut berlonggok di pokok tersebut.
Salah satu patung tersebut dilihat bergayut pada dahan pokok itu. - Agensi

Monday, August 22, 2011

Rekod baharu dunia hula hoop

SERAMAI 2,496 orang memecah rekod dunia bermain dengan gelung plastik di Taipei, Taiwan kelmarin.

TAIPEI - Seramai 2,496 orang berhimpun di sini kelmarin untuk memecahkan rekod dunia bermain gelung plastik atau lebih dikenali sebagai hula hoop.
Orang ramai menggoyangkan gelung plastik masing-masing selama tiga minit di pinggang mereka untuk dicatatkan dalam rekod Guinness World of Record.
Rekod sebelum ini menampilkan penyertaan 2,290 orang pada tahun 2000 yang diadakan di bandar Kaohsiung.
Acara itu dianjurkan oleh syarikat makanan kesihatan untuk meraikan seratus tahun penubuhan Republik China selain memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan banyak senaman. - Agensi

Kolam renang paling padat di dunia

BEBERAPA orang penari menari di depan sejumlah orang yang memenuhi kolam renang gergasi di Daying baru-baru ini.

DAYING, China – Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.
Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.
Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi.
Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.
Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat. – Agensi

Saturday, August 20, 2011

Saham milik firma Bono U2 dalam Facebook bernilai RM2.91 bilion


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Pada tahun lalu, penyanyi kumpulan U2, Bono dilabel sebagai pelabur paling teruk di AS oleh sebuah laman blog kewangan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bagaimanapun, nasib Bono, 51, kini berubah selepas sahamnya dalam syarikat laman jaringan sosial Facebook memperoleh keuntungan empat kali ganda kepada hampir AS$1 bilion (RM2.98 bilion).
Firma pelaburan penyanyi kelahiran Ireland itu, Elevation Partners melabur AS$210 juta (RM627.38 juta) dalam laman web Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada November 2009.
Namun, selepas seorang lagi pelabur menjual sahamnya dalam Facebook sekali gus meningkatkan harga saham laman sosial berkenaan, nilai pegangan Elevation melonjak kepada sekitar AS$975 juta (RM2.91 bilion) atau sebanyak 400 peratus.
Saham Facebook tidak dijual di pasaran awam tetapi diniagakan di Sharepost iaitu pasaran saham sekunder yang membolehkan pemegang saham menjual saham mereka sebelum sesebuah syarikat disenaraikan dalam bursa saham.
Perkembangan tersebut menyebabkan blog yang menggelarkan Bono sebagai pelabur paling teruk terpaksa mencari orang lain untuk memindahkan gelaran itu. Namun, sebelum ini gelaran yang diberikan kepada Bono itu ada justifikasinya.
Elevation yang dinamakan sempena lagu U2 diasaskan pada 2004 oleh bekas ketua pegawai kewangan firma Apple, Fred Anderson dan Roger McNamee iaitu pengasas bersama syarikat Silver Lake Partners yang pernah melabur dalam pengeluar perisian telefon Internet, Skype.
Bono menjadi rakan kongsi Elevation pada 2004, tidak lama selepas ia ditubuhkan, namun syarikat itu memiliki reputasi buruk kerana kerap melakukan pelaburan yang mendatangkan kerugian.
Antara pelaburan paling teruk pernah dibuat oleh Elevation ialah pada 2006 apabila ia melabur dalam syarikat Forbes Media yang memiliki majalah kewangan terkenal, Forbes.
Forbes Media dinilaikan pada AS$750 juta (RM2.23 bilion) ketika Elevation menyuntik dana sekitar AS$300 juta (RM895 juta) ke dalam syarikat media itu.
Namun, tidak lama kemudian Forbes Media terpaksa memberhentikan ramai kakitangannya, membekukan pelan pencen syarikat manakala sektor majalah turut mengalami kerugian. - Agensi

Perkahwinan mewah anak bos F1

PETRA ECCLESTONE dan bakal suaminya, James Stunt.

LONDON - Kehidupan Petra Ecclestone, 23, yang merupakan anak bos perlumbaan kereta Formula satu (F1), Bernie Ecclestone dipenuhi dengan kekayaan, kemewahan dan dia begitu mudah mendapatkan semua barangan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Justeru, tidaklah mengejutkan jika perkahwinan anak Bernie akan kelihatan mewah seperti mana gaya kehidupan keluarga itu. Petra akan mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang merupakan seorang usahawan dari Itali iaitu James Stunt minggu depan.
Bernie dipercayai membelanjakan £1.3 juta (RM6.4 juta) untuk meraikan perkahwinan yang diidamkan oleh Petra.
Menurut akhbar Mirror, perkahwinan mewah itu akan diadakan di Istana Odescalchi di Rom yang pernah menjadi tempat selebriti Tom Cruise dan Katie Holmes melangsungkan perkahwinan.
Penyanyi tersohor, Eric Clapton yang merupakan kawan rapat Bernie dipercayai menerima bayaran sebanyak £240,000 (RM1.1 juta) untuk membuat persembahan menyanyikan lagu pertama sebaik sahaja bakal pengantin itu menari sebagai suami isteri.
Kumpulan Black Eyed Peas dijadualkan akan menghiburkan tetamu di bahagian penyambut tetamu dan mereka dibayar sebanyak £750,000 (RM3.7 juta).
Sewa istana Itali pada abad ke-15 itu menelan kos £310,000 (RM1.5 juta) termasuk penginapan dan katering tetamu dan £40,000 (RM197,358) lagi dibelanjakan untuk acara percikan bunga api pada lewat malam. - Agensi

Friday, August 19, 2011

Ferrari termasuk ke dalam laut

SEBAHAGIAN badan kereta Ferrari termasuk ke dalam laut di Pulau Pag, Croatia baru-baru ini.

ZAGREB, Croatia – Seorang pemilik kereta mewah Ferrari yang selesai menikmati hidangan di sebuah restoran terkejut apabila melihat sebahagian badan kenderaannya itu berada di dalam laut, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kejadian itu berlaku disebabkan brek sebuah van Renault berwarna putih tidak berfungsi menyebabkan ia berundur dan melanggar kereta Ferrari 360 Spider itu yang berharga £120,000 (RM591,273).
Sebahagian badan kereta itu terjatuh ke dalam laut selepas dilanggar dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Pemandu Ferrari itu meletakkan keretanya di tepi pelabuhan kerana dia mahu makan di sebuah restoran berdekatan.
Seorang komposer, Tibor Szirovicza, 29, sempat merakamkan gambar kejadian yang memalukan itu yang berlaku di Pulau Pag.
Namun, pemandu Ferrari tersebut memiliki sebuah trak tunda dan mengarahkan salah sebuah trak penunda miliknya untuk menunda kereta miliknya itu. – Agensi

Kereta Lexus tersekat di atas simen

SEBUAH kereta Lexus GS tersekat di atas simen basah di sebuah jalan raya di Houston pada Rabu lalu.

HOUSTON, Amerika Syarikat (AS) – Seorang pemandu wanita terpaksa diselamatkan selepas kereta mewah jenis Lexus GS berharga AS$70,000 (RM208,963) yang dipandunya tersekat di atas simen basah, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian itu berlaku pada Rabu lalu apabila wanita berkenaan cuba membuat pusingan U dan memasuki jalan yang sedang dibaiki di sini.
Dalam gambar yang disiarkan di Internet, pemandu wanita itu masih berada di dalam kenderaannya semasa insiden tersebut berlaku.
Seorang pengguna Internet menyatakan, pemandu tersebut mungkin sedang menunggu simen itu kering sebelum dia keluar dari kenderaannya kerana tidak mahu kasutnya rosak.
Namun, seorang saksi memberitahu, polis tiba di tempat kejadian selepas dihubungi pekerja-pekerja membaiki jalan.
Menurutnya, anggota polis mengarahkan wanita itu supaya berada di dalam keretanya kerana faktor keselamatan.
“Kereta itu ditarik keluar oleh sebuah trak tunda sekitar 20 minit selepas kereta tersebut tersekat manakala jalan berkenaan dibaiki semula 15 minit kemudian,” kata saksi tersebut. – Agensi

Wednesday, August 17, 2011

Tonton tv pendek nyawa


LONDON: Menonton televisyen selama enam jam sehari boleh mengurangkan jangka hayat selama lima tahun.

Kajian yuang dilakukan di Australia dan disiarkan dalam Jurnal Perubatan Sukan di Britain menunjukkan, setiap satu jam masa dihabiskan untuk menonton televisyen selepas usia 25 tahun boleh mengurangkan jangka hayat selama 22 minit.

Menurut seorang daripada penyelidik terbabit, Dr Lennert Veerman dari Universiti Queensland berkata: “Kesan menonton televisyen untuk jangka masa lama adalah sama dengan kesan terhadap merokok dan obesiti.

“Ketika kadar merokok sudah berkurangan, menonton televisyen tidak menunjukkan perkembangan itu. Ia memberi kesan besar terhadap populasi,” katanya.

Tahun lalu, satu kajian yang dilakukan di Australia mendapati tempoh sejam yang dihabiskan untuk menonton televisyen membawa kepada 8 peratus peningkatan terhadap ancaman mati awal.

“Kami menggunakan kajian itu dan menterjemahkannya kepada kesan jangka hayat di Australia berdasarkan berapa lama kita menghabiskan masa menonton televisyen.

Penduduk Australia menghabiskan masa kira-kira dua jam untuk menonton televisyen.

Kesannya, jangka hayat mereka berkurangan 1.8 tahun bagi lelaki dan 1.5 tahun untuk wanita, menurut kajian itu. - Agensi

Laman web untuk lelaki tua cari gadis

SEORANG wartawan membaca laman web SeekingArrangement.com di Washington, DC pada 9 Ogos lalu.

WASHINGTON - Satu laman web, SeekingArrangement.com mengatur janji temu untuk golongan lelaki kaya mencari pasangan.
Ia merupakan salah satu daripada laman web yang memaparkan golongan lelaki tua untuk mencari gadis yang lebih muda.
Laman itu mendedahkan akaun bank si lelaki tua dan elaun bulanan yang boleh diberikannya kepada seorang wanita.
Lelaki yang berminat akan membuka akaun dengan bayaran AS$50 (RM149) dan tambahan sebanyak AS$1,000 (RM2,981) setahun.
"Orang ramai bertemu, mereka berunding dan berasa serasi. Jika kedua-dua mereka tidak menyukai di antara satu sama lain, tiada apa-apa perkara yang akan berlaku," kata pengasas laman itu, Brandon Wade. - AFP

Paderi gay pertama Malaysia kahwin di New York



KUALA LUMPUR - Paderi gay pertama di Malaysia, Ouyang Wen Feng (gambar) akan berkahwin pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini.
Paderi berusia 41 tahun itu menyatakan, dia mahu melihat lebih banyak toleransi wujud di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Wen Feng mengasaskan bersama sebuah gereja gay di ibu kota Malaysia, di sini pada 2007 yang dikecam oleh kumpulan-kumpulan Islam konservatif.
Hubungan homoseks bertentangan dengan undang-undang Malaysia dan pengamalnya boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta disebat.
Paderi itu berkata, dia akan berkahwin dengan kekasihnya dari Amerika Syarikat, Phineas Newborn III, 47, yang merupakan seorang penerbit pementasan Broadway dalam satu majlis di New York, Amerika Syarikat (AS).
Negeri New York merupakan negeri keenam di AS yang membenarkan perkahwinan gay pada bulan lalu.
"Kami merancang untuk mendaftarkan perkahwinan kami pada Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos ini, ia penuh bermakna buat saya," kata Wen Feng. - Reuters

Tuesday, August 16, 2011

Pemohon suaka politik duduk rumah RM9.7 juta

RUMAH yang didiami keluarga Saeed Khaliif bernilai RM9.7 juta.

LONDON - Sebuah keluarga yang memohon suaka politik telah berpindah ke kediaman bernilai £2 juta (RM9.7 juta) yang merupakan salah satu kawasan kejiranan paling eksklusif atas perbelanjaan pembayar cukai rakyat Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketua keluarga itu yang merupakan seorang penganggur Saeed Khaliif (gambar), 49, menerima hampir £8,000 (RM38,838) untuk membayar sewa rumahnya selama sebulan.
Ia merupakan bayaran elaun perumahan yang antara paling mahal yang pernah dikeluarkan.
Dia juga yang merupakan pelarian Somalia diminta untuk berpindah ke kediaman yang dilengkapi enam bilik tidur di West Hampstead, barat laut London itu dengan isterinya, Sayida dan anak-anaknya selepas menyatakan bahawa penginapannya sebelum ini tidak memuaskan.
Rumah lama mereka yang terletak di Coventry turut mempunyai enam bilik tidur tetapi dengan kadar bayaran £1,000 (RM4,853) sebulan.
Kediaman baharu pasangan itu mempunyai sebuah bilik tidur utama, dapur konsep moden dan ruang tamu yang besar.
Ia terletak berdekatan dengan rumah pelawak terkenal, Stephen Fry dan pelakon, Emma Thompson. - Agensi

Monday, August 15, 2011

Topi keledar unik




ASTANA - Sebuah firma di Kazakhstan menghasilkan topi keledar yang mempunyai imej hiasan seperti buah tembikai dan otak manusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Rekaan aneh itu juga mengandungi imej kepala botak dan bola tenis serta potongan rambut.
Kesemua rekaan tersebut diilhamkan oleh syarikat itu yang ingin menjadikan idea tersebut suatu realiti.
"Kami cuba melakukan sesuatu sekadar untuk hiburan. Namun, buat masa kini kami telah mempunyai cadangan untuk meminta hak pengeluaran di Amerika Syarikat dan Jepun," kata pereka topi keledar itu, Renat Abdrakhmanov. - Agensi

Resipi kari ayam ditemui dalam buku tahun 1786

SYLVIA SIBLEY memegang buku yang mengandungi resipi untuk membuat kari ayam India.

PLYMOUTH, Britain - Seorang moyang berusia 73 tahun, Sylvia Sibley menemui resipi membuat kari ayam dalam sebuah buku yang bertarikh 1796, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia menemui buku itu dalam laci dapur lama semasa dia membersihkan rumah ibunya.
Dalam buku itu, tukang masak Hannah Glasse menjelaskan bagaimana untuk membuat masakan kari mengikut cara masakan penduduk India.
Ketua Eksekutif Chef untuk syarikat News International, Raj Sharman mencuba resipi itu.
Sharman berkata: "Ia amat-amat sedap."
Buku itu ditulis oleh Glasse semasa George II merupakan Raja England.
Dalam buku itu terdapat juga resipi kari arnab, kari ayam dan cara untuk membuat penawar penyakit anjing gila. - Agensi

Rumah paling mahal di Britain

RUMAH yang pernah didiami anak George II, Frederick dijual pada harga RM684 juta.

OXFORD - Sebuah rumah lama di Britain dipercayai telah dijual kepada seorang hartawan dari Rusia dengan harga kira-kira £140 juta (RM684 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah Park Place yang berusia 300 tahun itu terletak di kawasan luar bandar berkeluasan 80.93 hektar di Oxfordshire.
Harga itu mengatasi rumah paling mahal di Britain sebelum ini iaitu £136 juta (RM664 juta) yang dijual di One Hyde Park, Knightsbridge, tengah London, awal tahun ini.
Terdapat sejarah unik mengenai rumah itu kerana ia pernah didiami oleh anakanda lelaki sulung George II yang pernah memerintah England.
Anak lelaki George II itu, Frederick (gambar) memegang gelaran Putera Wales.
Namun, baginda mangkat semasa berusia 44 tahun sebelum sempat menjadi Raja England.
Rumah itu kemudian dijual oleh balu Frederick, Augusta kepada seorang pegawai tentera England yang dikenali sebagai Jeneral Conway. - Agensi

Saturday, August 13, 2011

Wanita selamat jalani pemindahan muka


WASHINGTON 12 Ogos - Doktor menyiarkan pertama kali semalam, gambar seorang wanita Amerika Syarikat (AS) yang menjalani rawatan pemindahan muka dua bulan lalu ekoran kecederaan teruk setelah diserang seekor cimpanzi yang mengamuk, milik kawannya.

Charla Nash, yang buta serta kehilangan kedua-dua tangannya dalam serangan tersebut, kelihatan terbaring di atas katil hospital, melalui gambar yang diedar oleh Hospital Brigham and Women di Boston, Massachusetts.

"Saya kini mampu melakukan perkara-perkara yang ingin dilakukan sebelum ini.

"Saya akan boleh menghidu semula dan makan secara normal serta tidak lagi cacat. Saya akan mempunyai bibir dan bercakap dengan jelas. Saya juga akan mampu mencium memeluk orang yang disayangi. Saya sangat bersyukur dengan penderma dan keluarganya," katanya.

Dalam serangan tersebut, Nash kehilangan kedua-dua matanya, hidung, rahang atas dan bibir serta kebanyakan tisu lembut di mukanya, kata doktor.

Identiti penderma dirahsiakan atas permintaan keluarganya.

Pemindahan muka secara penuh kali pertama dilakukan di Sepanyol, dan doktor hospital Vall d'Hebron di Barcelona memaparkan hasil kerja mereka kepada umum pada Julai 2010.

Pemindahan muka secara tidak penuh kali pertama berjaya dilakukan di Perancis pada 2005 ke atas Isabelle Dinoier, seorang wanita berusia 38 tahun yang mengalami kecederaan teruk diserang anjingnya.

Sejak itu, berpuluh-puluh pembedahan pemindahan muka telah dilakukan di China, AS dan Sepanyol. - AFP

Friday, August 12, 2011

Bekas kapal perang jadi hotel

BENTUK kapal perang Kiev.

BEIJING - Sebuah kapal pengangkut pesawat milik Kesatuan Soviet yang kini sudah dibubarkan dan menjadi sebahagian Rusia, Kiev kini diubah suai menjadi sebuah hotel mewah di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut akhbar South China Morning Post, kapal itu yang tidak lagi digunakan untuk berperang dijual kepada sebuah syarikat China pada 1996.
Ia kemudian dijadikan pameran untuk satu taman tema tentera di Tianjin.
Namun, pemilik kapal itu, Taman Pesawat Binhai memutuskan untuk menjadikan ia sebagai sebuah hotel dengan kos ubah suai sebanyak £9.6 juta (RM 46.79 juta).

Penari bogel ditangkap kerana merompak

KERETA yang dinaiki Lee Grace E. Dougherty (gambar kecil) dan dua beradiknya terbabas di sebuah lebuh raya di Walsenburg, Colorado kelmarin.

PUEBLO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penari bogel, Lee Grace E. Dougherty dipindahkan ke penjara dari sebuah hospital di sini selepas dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dalam satu rompakan kelmarin.
Penari seksi berusia 29 tahun itu ialah anggota geng penjenayah Dougherty yang amat dikehendaki oleh polis AS kerana melakukan beberapa rompakan bersenjata api.
Selain Lee, geng Dougherty dianggotai oleh dua adik lelakinya iaitu Dylan, 26, dan Ryan, 21.
Lee ditangkap setelah dia cedera ditembak polis di salah satu kakinya selepas keretanya terbabas kerana dia mengacukan senjata api ke arah anggota polis.
Dua adiknya turut cedera apabila kereta Subaru Impreza yang mereka naiki bersama Lee naiki terbabas di sebuah lebuh raya dekat sini, negeri Colorado semasa dikejar polis sejauh 32 kilometer.
Kereta mereka terbabas selepas polis menembak salah satu tayar kenderaan mereka dalam adegan mengejar.
Sebelum itu, trio berkenaan merompak sebuah bank di negeri Georgia pada 2 Ogos lalu dengan melarikan sejumlah wang.
Dalam rompakan itu, kumpulan berkenaan menggunakan senjata api.
Polis telah menemui dua raifal AK-47 dan sepucuk pistol MAC-11 di lokasi kejadian.
Seorang anggota polis pada mulanya mengesan kereta yang dinaiki penjenayah tersebut di sebuah stesen minyak menyebabkan adegan mengejar itu berlaku dekat Walsenburg - Agensi

Anak jutawan, budak 11 tahun didakwa merompak

BUDAK lelaki berusia 11 tahun yang dihadapkan ke sebuah mahkamah di Mahkamah Majistret Highbury, London kelmarin.

LONDON - Seorang anak perempuan jutawan dan pembantu guru didakwa di mahkamah kelmarin atas dakwaan merompak dalam rusuhan yang berlaku di London, lapor sebuah akhbar semalam.
Rusuhan yang berlaku sejak Sabtu lalu sebelum berakhir pada Rabu lalu itu berlaku selepas seorang lelaki berkulit hitam yang dianggap tidak mempunyai kesalahan ditembak mati oleh polis pada minggu lalu.
Seorang budak lelaki berusia 11 tahun dan sejumlah lagi golongan profesional juga berdepan dakwaan serupa semasa didakwa di sebuah mahkamah di London.
Budak lelaki itu didakwa mencuri tong sampah semasa golongan muda merusuh di Romford, Essex pada malam Isnin lalu.
Pendakwa raya Steven Davis berkata, polis melihat dia mendekati tingkap yang telah dipecahkan.
Menurutnya, dia kemudian tunduk masuk dan mengambil tong sampah dan melarikan diri.
Apabila ditangkap polis, budak lelaki itu berkata, dia mahu menghantar tong sampah itu kepada seseorang.
Turut didakwa bersama puluhan orang lagi kelmarin ialah Laura Johnson yang berusia 19 tahun yang merupakan anak seorang jutawan.
Dia ditangkap dalam sebuah kereta yang dipenuhi dengan barang-barang elektrik yang dicuri, rokok dan minuman keras yang bernilai £5,500 (RM26,637).
Polis menyatakan, dia sedang memandu dari kedai di Charlton, tenggara London.
Laura ditangkap pada malam Isnin lalu bersama Alexander Elliott-Joahill, 18 dan seorang lagi berusia 17 tahun.
Mereka didakwa menutup muka masing-masing daripada dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Seorang lagi pelajar, David Attoh berusia 18 tahun merupakan antara yang dibebaskan walaupun dia mengaku mencuri dua helai baju T.
Majistret menerima ceritanya bahawa dia menemui baju itu di sebatang jalan raya di Hackney.
Seorang suspek, David Benjamin, 25, mendakwa dia mencuri gogal yang digunakan semasa meluncur salji bagi melindungi matanya daripada terkena serpihan kaca yang berterbangan di Ealing.
Seorang lagi remaja yang didakwa merompak menggunakan penampilannya di sebuah mahkamah di Croydon untuk mengadu mengenai elaun kebajikan.
Remaja itu, Aaron Samuels, 19, menjerit ke arah hakim dan berkata: "Saya tidak penah mendapat wang untuk elaun kebajikan rumah."
Seorang pembantu guru yang bertanggungjawab ke atas masalah yang dihadapi pelajar, Alex Bailey, 31, mengaku melakukan rompakan semasa rusuhan berlaku.
Dia kini dipenjarakan sementara menunggu hukumannya dijatuhkan.
- Agensi