Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Tuesday, May 31, 2011

Jurugambar dedah foto Marilyn Monroe

GAMBAR menunjukkan aktres Marilyn Monroe berbikini di sebuah kolam mandi dipercayai di Los Angeles pada tahun 1950.

LOS ANGELES - Seorang jurugambar di Amerika Syarikat (AS), Anton Fury mendedahkan lapan gambar aktres legenda Marilyn Monroe yang belum pernah disiarkan sebelum ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membeli dua keping sampul surat yang mengandungi negatif filem pada harga cuma AS$2 (RM6) dalam satu jualan garaj di bandar Parsippany, negeri New Jersey pada tahun 1980.
Sekeping sampul surat mengandungi lapan imej termasuk beberapa imej Monroe memakai bikini dan bergaya di tepi kolam mandi, selain gambar aktres berkenaan berbaring di katil bersama seorang lelaki misteri di sisinya.
Sampul surat kedua pula mengandungi 70 negatif filem yang menampilkan aktres Hollywood, mendiang Jayne Mansfield.
"Saya membawanya pulang dan melihatnya di bawah cahaya lampu dan mendapati negatif ini mengandungi gambar Marilyn Monroe," katanya.
Fury merahsiakan penemuannya sehingga minggu lalu apabila dia membawa kedua-dua negatif filem itu kepada seorang peniaga hasil seni, David W. Streets yang juga pakar tentang arkib Monroe.
Streets percaya imej-imej itu tulen dan dirakam di sini pada tahun 1950 ketika Monroe berusia 24 tahun, tetapi tidak tahu siapa yang merakamnya.
Monroe yang popular menerusi filem Gentlemen Prefer Blondes, How to Marry a Millionaire dan The Seven Year Itch dianggap simbol seks Hollywood.
Dia meninggal dunia pada tahun 1962 ketika berusia 36 tahun dipercayai akibat pengambilan ubat penenang berlebihan.

Nenek 74 tahun ahli bina badan

ERNESTINE SHEPHERD tersenarai dalam Guinness Book of Records sebagai ahli bina badan wanita tertua.

BALTIMORE - Walaupun sudah berusia 74 tahun dan bergelar nenek, kekuatan dan stamina Ernestine Shepherd sukar ditandingi oleh wanita muda.
Malah, warga emas itu diiktiraf Guinness Book of Recordssebagai ahli bina badan wanita kompetitif paling tua di dunia.
"Usia hanyalah angka semata-mata," kata Ernestine yang mempunyai perut langsing dan berotot.
Suaminya yang berusia 54 tahun, Collin Shepherd berkata, sejak 18 tahun lalu, isterinya telah menyertai 18 acara marathon dan memenangi dua pertandingan bina badan.
Pasangan tersebut menetap di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) bersama anak lelaki dan seorang cucu yang berusia 14 tahun.
Mengenai rutin hariannya, Ernestine bangun seawal pukul 3 pagi untuk bermeditasi sebelum berjoging sejauh 16 kilometer di sebuah taman.
Dia cuma makan nasi perang, dada ayam dan sayuran bersama segelas putih telur tiga kali sehari untuk kekal bertenaga dan langsing. - Agensi

Lori 'ditelan' lubang besar

SEORANG pegawai melihat lubang besar di jalan raya yang 'menelan' sebuah lori di Changchun, China.

CHANGCHUN - Tindakan sebuah lori melalui jalan raya yang merekah mengundang padah apabila jalan berkenaan tiba-tiba runtuh dan menyebabkan kenderaan itu terbenam ke dalam satu lubang besar.
Kemalangan itu berlaku Changchun, wilayah Jilin di timur laut China kelmarin.
Pemandu dan kelindan lori cedera dalam nahas tersebut, tetapi tiada laporan sama ada mereka parah atau sebaliknya.
Pihak berkuasa yang menyiasat kejadian tersebut mengesyaki lori berkenaan membawa muatan berlebihan semasa kejadian.
Terdapat sekitar 100,000 kematian pada setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di China iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada Amerika Syarikat (AS). Sedangkan AS memiliki empat kali ganda lebih banyak kenderaan berbanding China. .
- Agensi

Monday, May 30, 2011

Karavan terkecil boleh ditunda skuter

KARAVAN terkecil di dunia yang boleh ditunda dengan menggunakan skuter.

LONDON - Sebuah karavan sepanjang 2 meter yang dipercayai terkecil di dunia boleh ditarik dengan menggunakan skuter, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, karavan yang dinamakan QTvan dan berharga £5,500 (RM24,965) itu lengkap dengan sebuah katil, kabinet minuman dan sebuah televisyen skrin rata.
Ia yang direka oleh seorang pereka, Yannick Read, sesuai untuk aktiviti perkelahan jarak dekat untuk pengguna motosikal. - Agensi

Budak 10 tahun tangkap buaya

SEEKOR alligator yang ditangkap oleh budak lelaki berusia 10 tahun, Michael Dasher.

ROCKLEDGE - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terkejut melihat seekor buaya jenis alligator sepanjang lebih 1 meter menyambar jorannya ketika dia memancing di sebuah terusan di sini, negeri Florida, Amerika Syarikat.
Jauh sekali melarikan diri, budak lelaki berkenaan, Michael Dasher sebaliknya bergelut dengan buaya tersebut selepas ia naik ke darat.
Dengan bantuan dua rakannya, Dasher mengikat mulut reptilia tersebut sebelum menyeret haiwan itu ke rumahnya yang terletak berdekatan kerana tidak mahu dituduh hanya mereka-reka cerita.
Dia hanya mengalami beberapa kesan calar dan luka kecil pada badannya dalam pergelutan tersebut.
"Cucu saya tidak takut pada apa-apa pun," kata datuknya yang berusia 57 tahun, Benji Cox.
Reptilia itu kemudian dibebaskan pihak berkuasa hidupan liar kerana ia tergolong dalam spesies yang dilindungi di AS dengan mereka yang menangkapnya berdepan denda AS$500 (RM1,512) dan hukuman penjara hingga 60 hari. - Agensi

Perahu layar mudik tanpa nakhoda

PERAHU LAYAR Jagular yang ditemui mudik di dermaga Riverhead, Amerika Syarikat tanpa nakhodanya.

LONG ISLAND - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) masih menyiasat kematian misteri seorang pelaut, Frank Closter selepas perahu layarnya mudik tanpa lelaki itu di dermaga Riverhead di sini negeri Connecticut, lapor sebuah akhbar semalam.
Mayat Closter yang berusia 64 tahun ditemui di perairan 24 kilometer dari tempat dia memulakan pelayaran dekat sini dengan menaiki perahu layarnya yang diberi nama Jagular.
Closter dipercayai terjatuh ke laut, namun misteri Jagular yang berukuran 10.4 meter (m) panjang itu belayar sendiri dan mudik di dermaga itu terus mencetuskan tanda tanya.
Seorang pegawai penyiasat mengatakan bahawa pihaknya menemui cermin mata kepunyaan Closter, dompet dan carta perjala- nan perahu layar itu.
Jurucakap pengawal keselamatan pantai, John Olsen memberitahu kepada akhbar New York Post, tiada sebarang kerosakan dilihat pada Jagular.
"Perahu layar ini belayar tanpa dipandu oleh sesiapa. Kebarangkalian ia mudik sendiri adalah satu dalam sejuta. Kejadian ini sangat pelik," jelas Olsen.
Isteri Closter, Barbara pula memberitahu pegawai penyiasat berkenaan bahawa suaminya mula belayar dari jeti di Haddam dekat sini pada Khamis lalu dan merancang untuk untuk ke Clinton di negeri New Jersey.
Closter dipercayai terjatuh dari perahu layar tersebut semasa melakukan pelayaran.
Pihak koroner Connecticut masih menyiasat punca sebenar kematian Closter, namun mereka tidak mengesyaki ia perbuatan khianat. - Agensi

Friday, May 27, 2011

Anjing betina susukan anak kacukan harimau dan singa

SEEKOR anjing betina menyusukan dua ekor anak kacukan harimau dan singa di Zoo Hidupan Liar Xixiakou, Shandong, China baru-baru ini.

BEIJING - Seekor anjing betina menyusukan dua ekor anak kacukan harimau dengan singa di Zoo Hidupan Liar Xixiakou, Shandong, China, lapor sebuah akhbar semalam.
Anak kacukan harimau dan singa itu tidak lagi diberikan minum susu oleh ibu haiwan tersebut selepas beberapa hari ia dilahirkan.
Ibu haiwan itu ialah seekor harimau Manchuria manakala bapa kedua-dua anak tersebut ialah seekor singa.
Kakitangan zoo berkenaan kemudian menjadikan anjing betina yang baru melahirkan anak sebagai ibu angkat untuk kedua-dua anak kacukan berkenaan.
Jurucakap zoo itu, Cong Wen berkata, kedua-dua anak haiwan itu mengalami masalah semasa mula meminum susu anjing tersebut tetapi kini ia sudah serasi dengan gembira minum bersama beberapa anak haiwan berkenaan. - Agensi

Tuntut RM2.28j kerana Ferrari remuk

BADAN kereta Ferrari F30 retak selepas ia merempuh belukar dan pokok di tepi jalan raya di Lexington, Amerika Syarikat.

LEXINGTON - Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) disaman syarikat Motor Insurance bagi menuntut kerugian sebanyak AS$750,000 (RM2.28 juta) kerana menyebabkan sebuah kereta Ferrari miliknya retak dan remuk.
Kereta Ferrari F30 itu yang merupakan sebuah daripada 50 buah yang terdapat di AS remuk selepas ia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Mei 2009.
Semasa kejadian, kereta itu dipandu oleh seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Fred Kingston yang turut dinaiki Penolong Peguam Negeri AS, J, Hamilton Thompson.
Kereta itu kemudian terbabas semasa membelok selekoh menyebabkan ia merempuh belukar dan pokok di tepi jalan raya.
Ferrari tersebut terlibat dalam kemalangan semasa kereta itu dipindahkan dari sebuah garaj di Lexington, Kentucky.
Kepala Kingston dijahit kerana luka manakala Thompson tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas itu.
Kereta itu disimpan dalam garaj FBI kerana ia dicuri dari pengedarnya di Rosemont pada 2003 sebelum ditemui semula pada 2008.
Ferrari itu kini menjadi milik syarikat Motor Insurance selepas ia menyelesaikan bayaran kepada pengedar kereta itu ekoran kehilangannya.
Namun, ia disimpan dalam sebuah garaj sehingga FBI selesai menjalankan siasatan berhubung kehilangan kereta itu.
Kes tuntutan ganti rugi itu akan didengar pada Jun depan di sebuah mahkamah selepas Jabatan Keadilan AS enggan membayar ganti rugi seperti dituntut syarikat Motor Insurance. - Agensi

Kerani juara American Idol 10

HOS, Ryan Seacrest (kanan) mengangkat tangan Scotty McCreery (kiri) yang memenangi pertandingan American Idol di Teater Nokia, Los Angeles, California kelmarin.

LOS ANGELES – Seorang kerani di sebuah pasar raya, Scotty McCreery memenangi program mencari bakat nyanyian, American Idol musim ke-10 dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Nokia Theatre di sini pada malam kelmarin.
Scotty, 17, yang memiliki vokal unik menerima sebanyak 122 juta undi daripada penonton sekali gus menewaskan seorang lagi peserta akhir iaitu Lauren Alaina yang hanya berusia 16 tahun.
“Kemenangan ini tidak pernah berada dalam mimpi terbesar saya. Terus-terang, saya kena berterima kasih kepada Tuhan terlebih dahulu. Dia (Tuhan) yang membuatkan saya berada di sini,” jelas Scotty yang menjadi lelaki keempat berturut-turut memenangi pertandingan tersebut sejak tahun 2008.
Scotty turut memberikan tanda hormat kepada Lauren yang ditemuinya buat kali pertama semasa sesi uji bakat dengan berkata: “Saya dan dia (Lauren) sudah bersama sejak hari pertama dan kami akan kekal bersama.”
Dia yang terkenal dengan menyanyikan lagu berirama country berjaya menarik tumpuan penonton dan juri ketika menyanyikan lagu terbarunya, I Love You This Big.
Scotty juga menyanyikan semula lagu Gone nyanyian asal Montgomery Gentry dan Check Yes or No oleh George Strait.
Remaja yang berasal dari Garner, Carolina Utara itu membawa pulang hadiah sebuah kenderaan tajaan Ford Motor dan kontrak rakaman album bernilai AS$1 juta (RM3 juta) bersama Universal Music Group.
Program yang dihoskan oleh Ryan Seacrest itu menampilkan Jennifer Lopez, Steven Tyler dan Randy Jackson sebagai juri.
Scotty dan Lauren menjadi peserta akhir paling muda di bawah umur 20 tahun sepanjang sejarah pertandingan American Idol.
Penyanyi yang diundang untuk mengadakan persembahan pada malam itu ialah Lady Gaga, Bono, The Edge, Jennifer Lopez, Beyonce, Judas Priest, Kirk Franklin, Jack Black, Tony Bennett, Carrie Underwood dan Tom Jones. – Agensi

Thursday, May 26, 2011

Hotel pokok di Sweden

SEBUAH kontena yang dijadikan hotel diletakkan di celah-celah pokok dekat bandar Harads, Sweden.

STOCKHOLM - Hotel pokok untuk dihuni oleh orang ramai terdapat di sebuah kawasan hutan dekat bandar Harads, Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.
Bilik-bilik hotel itu diletakkan pada ketinggian beberapa meter di celah-celah beberapa pokok dan diberi pelbagai nama sepertiThe Bird's Nest dan The Blue Cone.
Katil dan pelbagai kemudahan lain disediakan dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik hotel termasuk tingkap kaca yang besar bagi membolehkan penghuni melihat pemandangan indah hutan.
"Idea hotel itu ialah untuk mencipta sesuatu yang selesa, hotel yang membolehkan orang ramai tinggal dengan harmoni bersama alam semula jadi di atas pokok," kata pencipta hotel tersebut, Kent Lindwall.
Dia mencipta hotel itu bersama dengan isterinya, Britta Jonsson Lindvall pada tahun lalu.
"Setiap bilik direka supaya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan kebanyakan bilik mempunyai dua katil, tempat duduk tetapi tiada televisyen," tambahnya.
Menurutnya, tangga kayu dan tali disediakan bagi membolehkan orang ramai menaiki hotel itu.
Hotel itu dicat dengan bahan yang membolehkan burung melihatnya pada waktu malam bagi mengelak ia dilanggar.
Kadar menginap untuk satu malam di hotel itu ialah AS$633.18 (RM1,937). - Agensi

Bapa beli sekolah RM4.98 juta demi anak

MATT HILL bergambar bersama anak perempuannya di Sekolah Mill di Potterne, Britain baru-baru ini.

POTTERNE, BRITAIN - Seorang bapa, Matt Hill membeli sebuah sekolah swasta di Potterne, Wiltshire pada harga £1 juta (RM4.98 juta) bagi mengelak ia ditutup kerana anak perempuannya bersekolah di sekolah itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Hill, 38, membeli Sekolah Mill itu dengan seorang rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley dan kedua-duanya berasa gembira kerana tawaran pembelian mereka diterima oleh pihak pengurusan sekolah tersebut.
Pemilik sekolah itu sebelum ia dijual, John Rendell mengumumkan pada 9 Mei lalu bahawa sekolah berkenaan akan ditutup pada Julai depan selepas 18 tahun beroperasi.
Sejumlah ibu bapa mula membincangkan usaha untuk memastikan sekolah itu dibuka tetapi usaha untuk membelinya ketika itu dianggap mustahil.
Namun, Hill dan rakan kongsi perniagaannya, Dave Stanley menemui Rendell dan membuat tawaran sebanyak £1 juta untuk membelinya.
Sekolah itu menyediakan pembelajaran untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun.
Hill memberi jaminan bahawa semua kakitangan dan 65 pelajar akan terus kekal berada di sekolah itu. - Agensi

Wednesday, May 25, 2011

Julia Perez berbogel untuk kempen lindungi haiwan di Indonesia

JULIA PEREZ dan kekasihnya, Gaston Castano.

JAKARTA - Pelakon dan penyanyi dangdut seksi, Julia Perez bersama kekasihnya, Gaston Castano bertindak berani dengan mengecat tubuh mereka dalam keadaan berbogel baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Tindakan Julia dan Gaston adalah sebahagian daripada kempen melindungi spesies terancam di Indonesia malah tubuh Julia dilukis dengan 40 gambar binatang yang harus dilindungi.
"Kerjasama itu dilakukan bersama pemerintah melalui tema Save Our Planet yang dibuat di Bali.
"Pada masa itu, saya bersama Gaston berbogel dan tubuh saya dilukis dengan 40 gambar binatang," jelas Julia.
Foto lukisan pada badan mereka akan disiarkan pada Disember ini bertepatan dengan ulang tahun hari AIDS sedunia.
"Foto itu tidak boleh dikeluarkan lagi kerana harus ada permit malah semuanya masih dibincang bersama Menteri Kehutanan," katanya. - Agensi

Penembak upahan paling muda dipenjara seumur hidup

SANTRE SANCHEZ GAYLE

LONDON – Seorang penembak upahan paling muda, Santre Sanchez Gayle yang menembak mati ibu muda, Gulistan Subasi pada Mac tahun lalu dihukum penjara seumur hidup oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Penembak upahan yang berusia 15 tahun semasa kejadian itu berlaku hanya dibayar sebanyak £200 (RM988) untuk membunuh Gulistan di rumah ibunya di Hackney, timur London dengan menggunakan selaras senapang patah.
Dia dikatakan sepatutnya menerima £2,000 (RM9,882) sebagai upah melakukan pembunuhan itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Gayle membawa senapang itu di pintu masuk flat ibu muda tersebut sebelum menembaknya di bahagian dada di pintu rumah tersebut.
Ketika kejadian, ibu muda itu sedang melakukan persediaan untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang anaknya.
Gayle diarah untuk membunuh ibu muda itu oleh Izak Billy, 22, yang juga didapati bersalah melakukan pembunuhan dan dihukum penjara seumur hidup.
Bekas kekasih ibu muda itu, Serdar Ozbek, 28, sebelum ini dituduh mengarahkan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan bersama empat orang lagi.
Bekas kekasih itu dikatakan mengarahkan pembunuhan itu kerana bimbang Subasi akan membawa lari seorang anak lelaki mereka. – Agensi

Monday, May 23, 2011

Rahang jerung terbesar dunia dilelong



RAHANG ikan jerung yang akan dilelong pada 21 Jun depan di Dallas, Amerika Syarikat.

DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Rahang ikan jerung terbesar di dunia dipercayai berusia dua juta tahun akan dilelong di pusat lelongan Heritage di Dallas di sini pada 21 Jun ini, lapor sebuah akhbar semalam. Ia berukuran 2.7 meter (m) panjang dan 3.3m lebar.
Menurut pengarah jabatan sejarah dan alam Heritage, David Herskowitz, bidaan minimum rahang jerung itu adalah sebanyak AS$625,000 (RM1.9 juta) tetapi dijangka dibida sehingga mencecah AS$700,000 (RM2.1 juta).
"Rahang ini memiliki empat gigi. Ia dianggap aneh. Dianggarkan kurang daripada 10 jerung spesies ini yang wujud," kata Herskowitz.
Rahang itu dihasilkan dengan 182 fosil gigi ikan jerung terbesar dunia, Carcharocles megalodon yang pupus kira-kira dua juta lalu.
Ia dihasilkan oleh pemburu fosil, Vito Bertucci yang menghabiskan masa hampir dua dekad mencari gigi untuk diletakkan pada rahang tersebut. - Agensi

Ditahan selepas muat naik video di Facebook

MUKA surat Facebook yang menyokong wanita memandu di Arab Saudi.

RIYADH - Seorang wanita di Arab Saudi telah ditahan pihak berkuasa negara itu semalam selepas dia melancarkan kempen menentang wanita memandu kereta, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita berkenaan, Manal al-Sherif juga memuat naik klip video yang menunjukkan dia sedang memandu kereta di Khobar ke laman sosial Facebook dan YouTube agar wanita lain mengikut perbuatannya.
Dia bersama sekumpulan wanita lain turut mewujudkan muka surat dalam Facebook.
Muka surat itu berjudul 'Ajar saya bagaimana untuk memandu justeru saya boleh melindungi diri saya.'
Dia kini memiliki 11,000 penyokong bagi mendesak kerajaan menggugurkan larangan itu.
Manal yang belajar memandu semasa berusia 30 tahun di New Hampshire, Amerika Syarikat berkata, kebaikan memandu bagi wanita adalah boleh menyelamatkan nyawa, masa dan martabat seorang wanita.
"Ini adalah kempen sukarelawan untuk membantu wanita di negara ini belajar memandu kereta, sekurang-kurangnya pada masa kecemasan," katanya dalam video berkenaan.
Sementara itu, aktivis hak asasi manusia, Maha Taher berkata, Manal telah ditahan oleh polis agama negara itu pada pukul 3.30 pagi semalam. - Agensi

Gadis Turki berbogel mengaku bukan Muslim

Sila Sahin

BERLIN - Seorang pelakon berketurunan Turki, Sila Sahin yang beraksi dalam keadaan bogel untuk dua belas muka surat majalah Playboy Jerman edisi Mei mengaku dia bukan beragama Islam, lapor sebuah akhbar semalam.
Sila membuat pengakuan itu selepas banyak pihak menganggap dia merupakan gadis Muslim Turki yang pertama berbogel untuk majalah Playboy.
"Ibu bapa saya adalah penduduk Turki dan saya dibesarkan dalam komuniti Islam tetapi saya bukan beragama Islam. Orang ramai membuat andaian bahawa saya beragama Islam.
"Saya tidak faham kenapa masyarakat menggunakan soal agama untuk menentang keputusan saya bergambar dalam majalah Playboy," kata anak tunggal berusia 25 tahun itu.
Aktres itu yang membintangi drama telenovela Jerman, Good Times, Bad Times menjelaskan, bapanya tidak menganuti sebarang agama manakala ibunya seorang wanita Islam yang bertukar kepada agama Kristian.
"Saya sentiasa dipesan supaya tidak keluar rumah, tidak boleh memiliki rakan lelaki, tidak perlu kelihatan menarik dan dilarang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin." jelas Sila kepada akhbar News of the World semalam.
Dia mencetuskan kontroversi apabila bercinta dengan dengan pelakon popular Jerman, Jörn Schlönvoigt, 24, selepas berpisah dengan teman lelakinya yang beragama Islam pada tahun lalu.
Sila yang menjadi wanita berketurunan Turki pertama yang berbogel untuk penerbitan majalah terkenal itu menerima pelbagai ugutan termasuk diberi gelaran pelacur dan wanita murahan Barat menerusi Internet daripada golongan fanatik Islam kerana dia disangka seorang Muslim.
Bosan dengan kawalan kebebasan ibu bapanya, Sila menerima tawaran Playboy yang meminta dia menjalani penggambaran fotografi bogel di Sri Lanka pada Mac lalu.
"Selepas bertahun-tahun mengikuti apa yang disuruh kepada saya, ia (bergambar bogel) merupakan satu bentuk kebebasan," kata Sila.
Namun, tindakannya berbogel itu menyebabkan saudara-mara Islamnya mendakwa ibu Sila tidak membesarkannya dengan menggunakan pendekatan yang betul. Ibunya itu juga enggan berbual dengan Sila ekoran penyiaran gambar bogel tersebut. - Agensi

Saturday, May 21, 2011

Kereta Ferrari disimpan di dalam rumah

KERETA Ferrari F355 milik Jon Ryder disimpan di dalam rumahnya di Sheffield, Britain.

SHEFFIELD, Britain - Seorang pemuda, Jon Ryder menyimpan sebuah kereta Ferrari F355 di dalam rumahnya sejak tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta buatan 1996 yang mempunyai kelajuan sehingga 294.50 kilometer sejam itu dibelinya lebih tiga tahun yang lalu.
Menurut Ryder, apabila berpindah rumah bersama isterinya pada tahun lalu, dia melihat terdapat ruang depan dalam rumahnya yang boleh diubahsuai untuk menjadi garaj menyimpan kereta idamannya itu.
Pintu 'garaj' yang menjadi laluan masuk kereta sport itu terlindung dengan kain langsir dan dia mengambil masa selama sebulan untuk melakukan pengubahsuaian.
Kereta itu berharga £83,000 (RM405,936) semasa dikeluarkan pada tahun 1990-an tetapi kini nilai kenderaan tersebut berkurangan kepada sekitar £35,000 (RM105,437).
"Saya masih tersenyum pada setiap hari kerana memiliki kereta idaman saya," kata Ryder. - Agensi

Masa bertunang gemuk, bila kahwin sudah langsing

BETH WHEELER langsing semasa berkahwin pada Februari lalu.

YEOVIL, Britain - Seorang wanita berusia 36 tahun, Beth Wheeler memiliki berat 139.70 kilogram (kg) semasa bertunang tetapi beratnya cuma 53.50kg empat hari sebelum dia berkahwin pada 20 Februari lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Beth berjaya mencapai sasaran untuk mengurangkan berat badannya sebanyak 76.20kg empat hari sebelum dia berkahwin.
Dia mula menjalani diet dan senaman untuk mengurangkan berat badan pada 2009 dengan mengikuti amalan kumpulan Weight Watchers.
Kumpulan itu yang mengamalkan diet pemakanan menyebabkan berat Beth berkurangan dengan banyak apabila dia menahan memakan makanan yang boleh mengemukkan badannya.
Menceritakan kesukarannya untuk mengurangkan berat badan, Beth berkata: "Ia memang sesuatu yang menyukarkan kerana saya tidak suka bersenam dan saya tidak pernah menjadi peminat gimnasium.
"Saya melakukan (mengurangkan berat badan) dengan mengubah gaya hidup dan pemakanan saya."
Ketua kumpulan itu, Raelene Hope berkata, dia berasa bangga dengan kejayaan Beth mengurangkan berat badannya.- Agensi

Imej menakjubkan di tasik Iceland

IMEJ cahaya yang menajubkan dirakamkan oleh Stephane Vetter di Tasik Jökulsárlón, Iceland dua bulan lalu.

REYKJAVIK - Seorang jurugambar, Stephane Vetter berjaya merakamkan gambar cahaya yang menakjubkan di Tasik Jökulsárlón, Iceland dua bulan lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cahaya itu berlaku akibat partikel yang keluar dari matahari bergerak ke angkasa lepas dan bertemu dengan perisai magnetik Bumi sekali gus mewujudkan satu bulatan di sekitar kawasan magnetik Kutub Utara apabila ia beriteraksi dengan lapisan atas atmosfera. - Agensi

Friday, May 20, 2011

Remaja cipta motosikal Transformers

MOTOSIKAL Uno III Streetbike yang belum berubah bentuk.
BENTUK motosikal Uno III Streetbike selepas berubah bentuk.

MASSACHUSETTS, Amerika Syarikat - Seorang pencipta muda Amerika Syarikat (AS) berusia 17 tahun, Benjamin Gulak melakar sejarah tersendiri apabila mencipta motosikal berkuasa elektrik ala robot dalam filem Transformers bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Motosikal luar biasa itu dihasilkan oleh syarikatnya, BPG Motors dan diberi nama Uno III Streetbike atau U3.
Menurut Gulak, 20, cetusan idea untuk mencipta jentera itu berlaku semasa dia mengikuti bapanya ke Asia atas urusan perniagaan dan mendapati bandar raya Shanghai, Beijing dan Hong Kong mengalami kesesakan jalan raya yang teruk.
Justeru, dia mencipta motosikal yang boleh berubah bentuk dengan bergerak tanpa roda depan yang disimpan di celah dua roda belakang dengan hanya menekan butang.
Motosikal itu sesuai disimpan di dalam bilik dan dibawa masuk ke dalam lif. - Agensi

Bentuk tapak kaki gergasi di sawah padi

PENDUDUK di Sleman digemparkan dengan kemunculan satu bentuk kaki manusia gergasi di Minomartani, Ngaglik, Sleman pada Ahad lalu.

SLEMAN, Indonesia - Satu bentuk tapak kaki manusia gergasi ditemui di satu kawasan sawah padi di sini dengan ukuran seluas 3,000 meter persegi, lapor akhbar Tribunnews.com semalam.
Ia ditemui oleh pemilik sawah itu, Rebo Suwardi pada Ahad lalu pada pukul dua petang.
Menurutnya, bentuk itu disebabkan oleh angin dan sebahagian pokok padinya telah tumbang akibat ditiup angin kuat.
Dia berkata, selepas hujan turun dengan lebat, dia kembali melihat sawah tersebut dan mendapati terdapat bentuk seperti kaki manusia gergasi.
Bagaimanapun, polis di Sleman, Yogyakarta akan melakukan siasatan sama ada bentuk itu dibuat oleh manusia.
Seorang pegawai polis, Irwan Ramaini menyatakan pihaknya masih belum mengetahui siapa yang membuat bentuk tapak kaki manusia itu.
Sebelum ini, beberapa lingkaran misteri yang dikaitkan dengan objek terbang tidak dikenali (UFO) ditemui di kawasan sawah padi Pulau Jawa.
Bentuk lingkaran misteri yang dalam pelbagai bentuk itu pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat. - Agensi

Thursday, May 19, 2011

Sakit jantung sudah wujud pada zaman firaun

GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan salah satu mumia yang diimbas dengan menggunakan komputer di Muzium Kaherah Mesir pada 10 Mei lalu.

PARIS - Seorang puteri Mesir yang hidup di antara 1580 dan 1550 Sebelum Tahun Masihi merupakan manusia pertama dalam sejarah diketahui menghidap penyakit jantung koronari.
Penyakit itu dikesan menerusi imbasan komputer yang memberikan imej terperinci ke atas mumia Puteri Ahmose-Meryet-Amon yang meninggal dunia semasa berumur dalam lingkungan 40-an.
Menurut Persatuan Kardiologi Eropah, puteri itu didapati mempunyai aterosklerosis atau satu pengumpulan bahan lemak di dua dari tiga saluran koronari.
"Pada hari ini, dia mungkin memerlukan pembedahan pintasan jantung," kata ketua analisis mumia itu, Gregory Thomas yang juga Pengarah Pendidikan Nuklear Kardiologi di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat menerusi telefon.
Menurutnya, dia berasa terkejut dengan jumlah pengumpulan lemak yang ditemui itu.
Separuh daripada mumia yang dikaji itu menunjukkan terdapat tanda-tanda pengapuran dalam saluran arteri yang menunjukkan tanda aterosklerosis.
Purata kematian mumia itu ialah kira-kira 45 tahun. - AFP

Detik-detik cemas wanita mahu bunuh diri

LEHER wanita itu sempat ditarik daripada jatuh oleh seorang pegawai tempatan.

CHANGCHUN - Ratusan orang berkumpul untuk melihat detik-detik cemas seorang wanita yang memakai baju pengantin berwarna putih duduk di tepi tingkap apartmennya di sini kerana mahu membunuh diri kelmarin.
Wanita berusia 22 tahun itu cuba terjun dari tingkap di tingkat tujuh tetapi dia sempat diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan.
Dia dipercayai mahu membunuh diri selepas teman lelakinya selama empat tahun memutuskan hubungan selepas mereka merancang untuk berkahwin.
Namun, wanita itu akhirnya diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan, Guo Zhong Fan yang pantas memegang leher, bahu dan gaun wanita tersebut.
Seorang lagi lelaki kemudian memanjat keluar dari satu lagi tingkap untuk menolak kaki wanita itu bagi membantu menyelamatkan mangsa. - Agensi

Kawan rosakkan kereta Lamborghini RM1.1 juta

KERETA Lamborghini Murcielago yang remuk teruk dalam kemalangan di Sydney pada Ahad lalu.

SYDNEY - Seorang remaja berusia 22 tahun dilaporkan memandu sebuah kereta sport Lamborghini Murcielago bernilai AS$363,657 (RM1.1 juta) milik kawannya yang melanggar sebuah teksi, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memandu kereta itu pada pagi Ahad lalu sebelum hilang kawalan di sebatang jalan raya di Sydney, Australia. Lebih malang lagi, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah teksi yang mengakibatkan kedua-dua buah kereta mengalami kerosakan teruk.
Pemandu teksi itu merupakan wanita berusia 51 tahun dan dia terperangkap di dalam kenderaan lebih sejam sebelum diselamatkan dengan sebelah kakinya patah.
Pemilik kereta Lamborghini Murcielago yang berusia 30 tahun itu mungkin berdepan masalah untuk menuntut kerugian daripada syarikat insurans kerana kereta tersebut tidak diinsuranskan kepada pemandu berusia bawah 25 tahun.
Dia memberi pinjam kepada rakannya itu namun keretanya kini sukar untuk dikenali pasti kerana remuk teruk.
"Saya menganggap pemandu kereta itu berada (dirawat) dalam ambulans kedua. Sukar dipercayai dia masih boleh berjalan tanpa sebarang kecederaan," kata seorang saksi, Daisy Buckle.
Seorang lagi penumpang kereta sport itu yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dada.
Kereta sport Lamborghini Murcielago didedahkan kepada umum pada tahun 2002.
Pembuat kereta dari Itali itu menggunakan enjin bersesaran 6.2 liter V12.
Pihak polis sedang menyiasat kemalangan itu dan akan mendakwa pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya.
Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol. - Agensi