Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Sunday, March 31, 2013

Arca 4,000 gula-gula getah

Arca 4,000 gula-gula getah
Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan teliti bagi mendapatkan bentuk geometri bangunan.

Seorang guru sanggup meluangkan masa tiga bulan untuk menyiapkan struktur bangunan geometri dengan menggunakan 4,000 keping gula-gula getah.

Jeremy Laffon, 34, dari Marseilles, Perancis membina struktur kompleks geometri berukuran dua meter lebar dan hampir tiga meter panjang sebelum diruntuhkan secara perlahan.

“Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan penuh teliti. Saya menggunakan air liur dan gam sebagai pelekat untuk mencantumkan kepingan gula-gula getah ini,” katanya menurut laporan DailyMail

Menurutnya, ia merupakan arca simbol kekecewaan yang mana pembinaannya dilakukan bertujuan untuk melihat arca tersebut runtuh dengan perlahan dan penuh berseni.

“Ilham untuk membuat arca ini tercetus selepas saya dijemput untuk mengajar di sebuah sekolah seni yang penuh dengan pelajar. Saya mencari alternatif untuk memuatkan kesemua pelajar tersebut ke dalam satu kelas dan dari situ timbul idea tentang formula ruang dan kepadatan,” katanya.

Menurutnya, beliau terpesona dengan pembinaan sebuah rumah kad dan memutuskan untuk mewujudkan arca yang sama dengan menggunakan bahan yang belum pernah digunakan sebelum ini.

“Gula-gula getah adalah tidak stabil dan satu usaha sukar untuk membuat struktur binaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kepuasan hanya dapat dicapai tatkala melihat keseluruhan struktur binaan itu runtuh secara perlahan.

Wednesday, March 27, 2013

Pelajar 17 tahun jadi jutawan


Seorang pelajar sekolah di sini, Nick D’Aloisio yang berusia 17 tahun menjual satu aplikasi bagi membolehkan teks berita dapat dibaca menerusi telefon bimbit kepada syarikat Yahoo! dalam urus niaga yang dianggarkan sebuah akhbar bernilai sehingga AS$60 juta (RM184.1 juta).
Aplikasi itu akan membolehkan D’Aloisio menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia.
Ia dicipta pada November 2012.
Syarikat Yahoo! tidak mendedahkan perjanjian urus niaga itu tetapi akhbar London Evening Standard menyatakan Yahoo! akan membayar antara AS$30 juta (RM92.05) hingga AS$60 juta (RM184.1 juta).
Menurut syarikat itu menerusi satu kenyataan bahawa ia teruja untuk memiliki Summly yang memudahkan maklumat diperoleh dengan pantas, mudah dan ringkas.
Ketika berusia 15 tahun, D’Aloisio mencipta aplikasi Summly di rumahnya di sini.
Syarikat Yahoo! menyatakan, D’Aloisio dan pasukan Summly akan menyertai syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.
D’Aloisio membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan: “@Summly telah menandatangani satu perjanjian untuk dimiliki Yahoo!
“Teruja untuk memulakan babak baharu Summly!
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya.”
Akhbar London Evening Standard menyatakan, D’Aloisio pada mulanya mencipta aplikasi itu sebagai hobi.
“Saya tidak menyedari ia boleh menghasilkan wang,” kata D’Aloisio.
Ketika ditanya tentang pendapatannya yang besar ekoran pembelian syarikatnya, D’Aloisio berkata” “Saya suka kasut. Saya akan membeli sepasang kasut Nike dan saya mungkin memperoleh sebuah komputer baharu.
“Namun, buat masa kini, saya hanya mahu menyimpan wang itu di bank.
“Saya tidak perlu untuk banyak berbelanja.”
D’Aloisio belajar kod komputer semasa berumur 12 tahun selepas Stor Aplikasi Apple dilancarkan.
Dia kemudian mencipta beberapa aplikasi termasuk Facemood yang merupakan perkhidmatan yang menganalisis sentimen bagi menentukan mood para pengguna Facebook.
Pelajar itu juga pernah mencipta aplikasi perkhidmatan mencari muzik, SongStumblr.
D’Aloisio turut memberikan nasihat kepada beberapa remaja iaitu: “Jika anda mempunyai idea yang baik atau anda terdapat satu ruang kosong di dalam pasaran, terokailah dan lancarkannya kerana terdapat beberapa pelabur di seluruh dunia kini yang mencari syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan.” – Agensi


Monday, March 18, 2013

Gadis 12 tahun lebih genius daripada Einstein, Hawking

Olivia Manning
Manning menunjukkan penyelesaian matematik di sekolahnya di Everton

Institut cerdik pandai antarabangsa, Mensa, mengiktiraf seorang budak berusia 12 tahun sebagai budak genius selepas mendapat skor 162 pada ujian IQ.

Olivia Manning dari Liverpool juga dikatakan lebih genius daripada saintis fizik terkemuka Jerman, Albert Einstein dan Profesor Stephen Hawking.

Media tempatan melaporkan dengan catatan IQ sebanyak itu,  Olivia muncul sebagai sebahagian daripada satu peratus orang paling pintar di dunia.

Murid sekolah North Liverpool Academy di Everton itu kini menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan penyelesaian teori matematik dan fizik.

“Ramai orang datang minta bantuan untuk menyiapkan kerja rumah mereka. Saya menerima mereka dengan hati terbuka kerana dengan cara ini otak saya sentiasa berfikir dan membuatkan saya lebih cerdas," katanya dalam laporan Dailymail

Olivia mengaku, beliau mudah mengingati formula atau apa juga formasi malah media juga menyifatkan, sekiranya ukuran IQ beliau mencecah skor sedemikian maka beliau mempunyai kemampuan menghafal novel karya Shakespeare, Macbeth, dalam masa 24 jam.

Sunday, March 17, 2013

Kontena kapal jadi rumah di Shanghai


Kontena kapal jadi rumah di Shanghai
Kontena ini diubah suai menjadi sebuah apartmen lengkap dengan kemudahan termasuk bilik air.
China menggunakan pelbagai cara mengatasi masalah kekurangan rumah di Shanghai  termasuk menggunakan kontena kapal sebagai alternatif baru untuk dijadikan tempat berteduh penduduk miskin di kawasan itu

Di bawah program rumah kos rendah, sewa untuk setiap kontena yang diubah suai menjadi apartmen tersebut hanya AS$80 (RM250) sebulan.

Menurut Li Yi,  Ketua Organisasi I Dreaming yang memulakan projek itu, setiap kontena direka semula seperti sebuah bilik yang dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik serta penghawa dingin.

“Ia kelihatan seperti bilik hotel dilengkapi bilik tidur dan bilik air. Bahan penebat juga dipasang untuk mengekalkan haba dan mengurangkan bunyi bising,” katanya dalam laporan Reuters.

Difahamkan, harga sewa rumah kontena berukuran 20 meter persegi adalah separuh kos purata untuk menyewa sebuah apartmen di daerah Baoshan.

“Jika projek itu berjaya, kami akan cuba membina kemudahan sokongan untuk apartmen itu seperti restoran, pejabat dan pusat gimnasium,” jelasnya lagi.

330 juta pengguguran di China


Hampir 330 juta pengguguran telah dilakukan di China dalam tempoh 40 tahun lalu sejak ia melaksanakan langkah mengekang pertambahan penduduk, menurut perangkaan rasmi negara.
China merupakan negara berpenduduk paling ramai di dunia.
Data di laman web kementerian kesihatan awal tahun ini menunjukkan dari tahun 1971 hingga 2010, sejumlah 328.9 juta pengguguran dilakukan di China yang mempunyai 1.35 bilion penduduk.
Beijing menyatakan bahawa dasar satu anak yang diperkenalkan pada awal tahun 1980-an berjaya mengekang masalah penduduk berlebihan di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Dasar tersebut bagaimanapun mengecualikan sebahagian keluarga di pedalaman, etnik minoriti dan pasangan yang masing-masing merupakan anak tunggal.
Namun, gesaan agar dasar itu dihapuskan semakin meningkat ekoran tenaga kerja yang berkurangan dan peningkatan bilangan warga emas di China.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan hak asasi manusia mengkritik tindakan keras pemerintah dalam melaksanakan dasar satu anak satu keluarga tersebut.
Di bawah dasar itu, keluarga di bandar dibenarkan memiliki cuma seorang anak manakala keluarga di pedalaman dibenarkan mempunyai anak kedua jika anak sulong mereka ialah perempuan.
Mereka yang melanggar peraturan tersebut perlu membayar sejumlah denda. - AFP



Wednesday, March 13, 2013

Tablet pengganti buku teks di AS


Tablet pengganti buku teks di AS
Penggunaan iPad di dalam bilik darjah dikatakan dapat menarik minat dan memperbaiki cara pembelajaran mereka. Foto: Flickr
Buku teks merupakan bahan penting  dalam proses pengajaran di sekolah.

Bagaimanapun, pelajar di Amerika Syarikat (AS) kini didedahkan dengan alat bantu mengajar yang lebih canggih dan ringan.

Kebanyakan sekolah kini menggunakan iPad sebagai cara untuk menarik minat pelajar dalam kelas, ganjaran terhadap pencapaian cemerlang mereka selain dapat mengurangkan kos.

Ketua program pendidikan tablet di bawah News Corp, Joel Klein berkata, pihak sekolah mesti mengambil peluang untuk menggunakan teknologi itu untuk memperkasakan guru dan memperbaiki cara pembelajaran murid.

“Menerusi  kaedah ini, ia dapat mengubah corak pembelajaran dengan membantu guru mengendalikan bilik darjah dan memberi arahan lebih mudah kepada murid atau pelajar mereka, “ kata bekas pengetua sebuah sekolah di New York itu lagi.

Minggu lalu, News Corp telah memperkenalkan komputer tablet Amplify berharga AS$299 (RM930) dengan skrin paparan  10 inci di  persidangan South by Soutwest  di Austin, Texas.

Ia dilengkapi sistem tanpa wayar,  perisian untuk guru memantau aktiviti setiap pelajar, menawarkan tinjauan segera dan menyediakan kuiz bagi menguji tahap kefahaman mereka.

Pada masa ini, kira-kira 2,000 sekolah telah bekerjasama dengan syarikat enjin carian internet gergasi, Google untuk menggunakan komputer riba, Chromebook  yang ditawarkan dengan harga serendah AS$199 (RM619).

Dianggarkan 20 juta pelajar dan guru telah menggunakan Chromebook sebagai alat bantuan belajar mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew dan American Life Project mendapati lebih 40 peratus pelajar atau guru menggunakan komputer tablet dalam Projek Penulisan Nasional di sekolah masing-masing.   

Pengarah Bersekutu untuk Pusat Penyelidikan Pew, Kristen Purcell memberitahu, empat daripada 10 responden menyatakan mereka sudah menggunakan tablet.

“Bagaimanapun, enam daripada 10 responden pula menyatakan mereka belum lagi didedahkan dengan alat teknologi itu. Perkara tersebut tidak menjadi satu masalah kerana masih ada banyak masa untuk memperkenalkan alat bantuan mengajar itu ke semua sekolah di seluruh negara,” jelasnya.

Dalam masa beberapa tahun lagi, penggunaan tablet di sekolah pasti akan terus meningkat.

Komputer tablet dicadangkan untuk menggantikan buku teks kerana kos penggunaan alat teknologi itu dikatakan hanya berjumlah AS$100 juta (RM311 juta) setahun.

Bulan lalu, sekolah di Los Angeles telah memperuntukkan AS$50 juta (RM156 juta) untuk membeli tablet bagi setiap pelajar mereka dan projek tersebut dijangka menelan kos AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Pada tahun lalu, sekolah di McAllen, Texas mengedarkan komputer  tablet Apple yang melibatkan kos AS$20.5 juta (RM63.8 juta).

Sebuah sekolah lain di Austin turut membuat pelaburan besar sebanyak AS$1.2 juta (RM3.7 juta) dengan mengedarkan lebih 2,000 iPad kepada semua pelajar mereka termasuk kanak-kanak tadika .

Pelatih guru di bawah program Discovery Education itu, Scott Kinney berkata, cabaran terbesar melaksanakan projek tersebut adalah untuk mengemas kini  bahan pengajaran paling terbaru.

Kelebihan utama untuk menggunakan buku teks digital itu ialah pelajar juga dapat menukar fungsi bahasa.

Sebagai contoh, pelajar yang sedang membuat kerja rumah bersama ibu bapa mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris boleh menukar ke bahasa ibunda mereka.

Kelebihan lain buku teks digital tersebut adalah ia hanya menelan kos antara AS$38 (RM118) dan AS$55 (RM171) untuk setiap pelajar bagi tempoh langganan selama enam tahun berbanding AS$70 (RM218) jika menggunakan buku teks biasa.

Sehingga kini, setengah juta pelajar telah menggunakan program Discovery Education di 35 negeri di AS.

Tetapi, teknologi tersebut dikatakan tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.

“Jika guru tidak dilatih menggunakan teknologi itu, ia jelas tidak membawa sebarang perbezaan,” kata guru komputer di Sekolah Sains Orlando, Mevlut Kaya .

Di bawah program itu, iPad akan ditawarkan kepada pelajar yang berjaya memperoleh pencapaian purata nilai gred 3.5.

Bagaimanapun, Sekolah Swasta Avenues di New York memberikan iPad dan MacBook Air kepada setiap pelajarnya.

Pihak sekolah tidak menyediakan buku teks kerana  kebanyakan guru akan memberi bahan bacaan dan kerja rumah menerusi rangkaian tanpa wayar di sekolah.

Walaupun golongan pelajar kini didedahkan dengan pelbagai alat teknologi canggih, pengkritik mula mempersoalkan keberkesanannya kerana ia mungkin tidak bermakna jika guru sendiri tidak tahu untuk menggunakannya.  – AP

Tuesday, March 12, 2013

Masalah jantung tersumbat kira-kira 4,000 tahun lalu

Walaupun tanpa makanan segera atau rokok, manusia telah mengalami masalah jantung tersumbat kira-kira 4,000 tahun lalu, menurut satu kajian ke atas lebih 100 mumia.
Menurut beberapa penyelidik, penemuan itu menunjukkan sakit jantung mungkin kerana faktor semula jadi kerana umur manusia semakin tua berbanding faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut seperti merokok, memakan makanan berlemak dan tidak bersenam.
Penemuan itu dibuat menerusi imbasan tomografi berkomputer ke atas 137 mumia.
Mumia-mumia itu ada yang berusia sehingga 50 tahun.
Imbasan tersebut menunjukkan satu pertiga daripada mumia itu mengandungi tanda-tanda aterosklerosis atau pengerasan arteri.
Ia dilakukan ke atas mumia yang dipercayai pernah menjalani kehidupan yang sihat semasa hidup.
Aterosklerosis menjadi punca berlakunya serangan jantung dan strok.
Lebih separuh daripada mumia yang menjalani imbasan itu berasal dari Mesir.
Baki mumia lain datang dari Peru, barat daya Amerika dan Kepulauan Aleutian di Alaska.
"Sakit jantung telah melanda manusia lebih 4,000 tahun di serata dunia," kata seorang pakar kardiologi di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas, Dr. Randall Thompson.
Beliau merupakan ketua penulis kajian itu.
Mumia-mumia yang didapati mempunyai tanda-tanda aterosklerosis itu didapati mati pada usia yang tua.
Penyakit jantung merupakan punca utama kematian lelaki dan wanita di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kira-kira 600,000 orang mati pada setiap tahun di negara ini kerana sakit jantung. - Agensi



Sunday, March 10, 2013

Layar internet di dinding

Teknologi Openarch mengubah dinding ruang tamu menjadi paparan komputer.Gambar kecil,Cuervas-Monshe

Penghuni sebuah kediaman futuristik di Sepanyol boleh melayari paparan internet di dinding ruang tamu, mematikan jam loceng atau menukar latar belakang bilik tidur kepada pemandangan tepi pantai atau suasana jalanan hanya dengan pergerakan tangan.
Teknologi canggih itu yang sebelum ini digunakan dalam permainan video telah dipasang di sebuah apartmen prototaip di Fuenterrabia, utara Sepanyol.
Menggunakan sensor yang dibangunkan oleh firma Microsoft untuk konsol permainan video X-box 360, teknologi itu membolehkan penghuni mengawal persekitaran di kediaman mereka dengan melambaikan tangan.
"Apa yang kami lakukan adalah menampal lapisan digital pada ruang untuk membolehkan interaksi digital menggunakan pergerakan tangan," kata pereka konsep kediaman pintar tersebut, Ion Cuervas-Monshe.
Cuervas-Monshe melancarkan teknologi yang dikenali sebagai Openarch itu pada November 2011 dengan membina sebuah prototaip di apartmennya sendiri.
Namun, menurutnya Openarch bukan sahaja boleh digunakan di kediaman persendirian.
"Kami masih membincangkan kerja sama dengan sektor peruncitan dengan teknologi ini bakal digunakan di pasar-pasar raya," kata Cuervas-Monshe.- AFP