Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Monday, February 28, 2011

Istana Muammar Gaddafi di Al-Baida diselongkar

BEBERAPA pokok menghiasi kawasan pekarangan istana milik Muammar Gaddafi di bandar Al-Baida, Libya.

AL-BAIDA - Sebuah istana milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di bandar ini diselongkar dan dirosakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya, lapor stesen televisyen Al-Jazeera semalam.
Istana itu dihiasi dengan tumbuhan hijau, sebuah kolam renang tertutup, sauna dan jakuzi untuk tetamu-tetamunya.
Menurut stesen televisyn itu, istana itu dilengkapi dengan kubu bawah tanah yang dibina untuk perlindungan selama beberapa bulan jika beliau diserang dengan senjata bukan konvensional.
Kubu bawah tanah itu dilengkapi dengan sistem penapisan udara dan janakuasa untuk tujuan kecemasan.
Alat penggera kebakaran, paip air dan tangga digunakan untuk membantu pemimpin tersebut melarikan diri jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Dalam imej yang disiarkan stesen televisyen itu, beberapa orang merosakkan barang-barang yang terdapat di dalam istana tersebut.
Istana itu diceroboh selepas para penunjuk perasaan berjaya menguasai bandar ini daripada tentera upahan Gaddafi baru-baru ini.
Gaddafi kini berdepan dengan penentangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya selama hampir 42 tahun kerana sumber kekayaan negara tidak digunakan untuk membantu kehidupan rakyat yang miskin.
Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan tunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun beliau memerintah.
Gaddafi sanggup menggunakan bedilan peluru berpandu dan tentera upahan untuk memerangi penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya namun beberapa buah bandar dilaporkan sudah jatuh ke tangan para penunjuk perasaan. - Agensi

Pelacur iklankan perkhidmatan di Facebook

LAMAN seorang pelacur yang dikenali sebagai Molly Ravish di laman sosial Facebook.

NEW YORK - Pelacur-pelacur di sini mengiklan perkhidmatan mereka di laman sosial Facebook, lapor akhbar New York Daily News semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang ahli sosialogi Universiti Colombia, Sudhir Venkatesh yang melakukan satu kajian terhadap 290 pekerja seks.
Menurutnya, 83 peratus daripada pekerja itu didapati bergantung kepada Facebook untuk menggoda lelaki bagi menjadi pelanggan mereka.
Salah seorang pelacur yang mengiklankan perkhidmatan mereka di laman tersebut dikenali sebagai Molly Ravish.
Ravish menyatakan dalam laman itu bahawa dia merupakan seorang teman wanita yang berpengalaman.
Dalam laman itu, dia meminta pengguna Facebook untuk mengunjungi laman webnya untuk mengetahui perkhidmatan yang ditawarkannya.
Dalam laman webnya, dia menawarkan perkhidmatan selama satu jam dengan kadar bayaran AS$200 (RM610) dan AS$150 (RM458) untuk seks oral. - Agensi

Friday, February 25, 2011

Pandu kereta di atas jejantas

SEBUAH kereta Volkswagen Polo melalui sebuah jejantas untuk pejalan kaki di Venice kelmarin.

VENICE - Sebuah kereta dipandu melalui jejantas yang khas untuk pejalan kaki bagi menyeberangi terusan air di bandar ini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta Volkswagen Polo itu melalui jejantas tersebut pada awal pagi.
Bagaimanapun, empat orang berusia dalam lingkungan 20-an yang berada di dalam kereta itu memutuskan untuk mengambil jalan pintas dengan melalui jejantas tersebut.
Satu rakaman kamera litar tertutup merakamkan pergerakan kereta tersebut yang melalui jejantas itu.
Keempat-empat orang itu ditangkap polis semasa mereka kembali untuk menaiki kereta tersebut selepas bersiar-siar di kawasan berhampiran.
Semasa disoal siasat, keempat-empat orang itu memberikan alasan jejantas itu digunakan kerana mereka mahu menemui rakan dalam tempoh yang singkat.
Pihak berkuasa kemudian melarang mereka kembali ke Venice selama tiga tahun disebabkan perbuatan tersebut. - Agensi

Kereta kebal diparkir di tepi jalan

KERETA kebal milik Nicholas Kravchenko diletakkan di tepi sebatang jalan raya dekat rumahnya di Wolvercote, Britain baru-baru ini.

WOLVERCOTE, Britain - Sebuah kereta kebal milik seorang penduduk diparkir di tepi jalan di luar rumahnya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Tindakan pemilik kereta kebal itu meletakkan kereta kebal tersebut di tepi jalan telah menyebabkan jiran-jirannya marah.
Jiran-jirannya itu mengadu kereta kebal itu 'menyakitkan mata' mereka kerana ia menjejaskan pemandangan yang indah di kawasan berkenaan.
Namun, pemilik kereta kebal seberat empat tan itu, Nicholas Kravchenko menegaskan, tidak ada undang-undang yang melarang beliau meletakkan kereta kebal tersebut di tepi jalan.
Beliau yang merupakan bekas jurutera tentera membeli kereta kebal era tahun 1960-an itu daripada Kementerian Pertahanan pada harga lebih £10,000 (RM49,545).
Menurutnya, kereta kebal itu mempunyai kelajuan 32.10 kilometer sejam. - Agensi

Budak dapat ikan lebih besar daripadanya

RILEY VALLANCE berdiri di sebelah ikan yang berjaya dipancingnya di Tasik Tinaroo, Australia baru-baru ini.

TASIK TINAROO, Australia - Seorang budak berusia sembilan tahun, Riley Vallance berjaya memancing seekor ikan yang lebih besar daripadanya dalam satu pertandingan di sini, lapor akhbarThe Cairns Post semalam.
"Saya bergelut selama 20 minit untuk mendapatkan ikan tersebut," kata Vallance yang belajar di tahun empat.
Vallance yang mempunyai berat 25 kilogram (kg) dan tinggi 131 sentimeter itu memperoleh ikan tersebut yang seberat 27.6kg serta panjang 132 sentimeter.
Menurut bapanya yang merupakan seorang ahli biologi, Terry Vallance, ikan tersebut terpaksa ditanam di belakang rumah kerana peti sejuk di rumahnya tidak muat untuk menyimpan ikan itu. - Agensi

Akuarium paling kecil di dunia

AKUARIUM paling kecil di dunia hanya mengandungi 10 mililiter air.

MOSCOW - Seorang seniman di bandar Omsk, Siberia, Rusia, Anatoly Konenko mencipta sebuah akuarium paling kecil di dunia yang mengandungi air dua sudu teh, lapor sebuah akhbar Metro.co.uksemalam.
Akuarium itu dilengkapi dengan satu penapis air dan ia mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan.
Menurut akhbar dalam talian, Voice of Russia, akuarium itu dilengkapi dengan pasir, batu pelbagai warna, ikan dan rumpai laut yang mengandungi air sebanyak 10 mililiter.
Konenko merupakan pakar dalam menghasilkan pelbagai perhiasan mini sejak 30 tahun lalu.
Dia sebelum ini menghasilkan tulisan pada beras dan rambut manusia. - Agensi

Pengacara Daphne Iking peluk Islam bulan lalu

KUALA LUMPUR - Pengacara terkenal yang juga pelakon filem Belukar, Daphne Eleanor Iking (gambar) mengesahkan beliau telah memeluk agama Islam awal bulan lepas.
Pemenang anugerah Aktres Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 itu turut mengakui beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan, Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe, 30-an, pada 8 Januari lalu.
Ini merupakan perkahwinan kedua Daphne, 31, yang sebelum ini mengahwini Ryan Chong Yiing Yih, 33 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Isobel Daniella Iking, 4.
"Saya memeluk Islam bulan lalu dan kemudian bernikah pada 8 Januari. Majlis kesyukuran secara kecil-kecilan telah diadakan di kampung halaman saya di Keningau, Sabah," akui Daphne.

Thursday, February 24, 2011

Wajah mirip manusia pada labah-labah

SEEKOR labah-labah mempunyai wajah seperti manusia (dalam bulatan) ditemui di Arne, Britain baru-baru ini.

WAREHAM, Britain - Seekor labah-labah yang ditemui di Arne, dekat ini mempunyai wajah seperti manusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pekerja Persatuan Diraja Untuk Perlindungan Burung, Mark Singleton menemui labah-labah itu baru-baru ini.
Menurutnya, labah-labah itu memiliki wajah seperti manusia di bahagian perutnya. - Agensi

Wednesday, February 23, 2011

Pesta kaut beras di lebuh raya

Gelagat orang ramai yang mengaut dan memunggah beras yang tumpah daripada sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim semalam.

KUALA KUBU BHARU - Jika bulan lepas ada pesta kutip duit syiling di Seremban, semalam pula ada pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim di sini.
Pesta kaut beras pada pukul 9.15 pagi itu berlaku apabila beratus-ratus kilogram beras daripada sebuah treler membawa muatan beras tumpah apabila kenderaan berat itu merempuh sebuah lori membawa muatan pasir.
Akibat perlanggaran itu juga, kelindan treler membawa beras maut manakala pemandunya cedera parah.
Mangsa yang terkorban Hanafi Mohd. Daud, 19, manakala mangsa yang cedera, Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22.
Muatan pasir dalam lori itu juga tumpah. Pemandu dan kelindan lori pasir itu tidak cedera.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Ismail Ibrahim berkata, sebelum kejadian itu, dua buah kenderaan itu dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan untuk untuk menghantar muatan masing-masing.

Gempa bumi kuat di New Zealand

SEORANG wanita ditarik dari celah runtuhan di Christchurch, New Zealand semalam.

CHRISTCHURCH - Kerja-kerja menyelamat dilakukan semalam selepas satu gempa bumi kuat melanda bandar raya ini yang merupakan antara bandar terbesar di New Zealand dengan menyebabkan bangunan-bangunan tinggi dan gereja runtuh, banyak kenderaan musnah dan sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh.
Gempa bumi tersebut berlaku semasa orang ramai sedang sibuk melakukan kegiatan harian di bandar yang dihuni 350,000 orang itu pada pukul 12.51 tengah hari kelmarin (8.19 pagi waktu Malaysia semalam).
Ia merupakan antara bencana alam yang paling dahsyat pernah melanda New Zealand.
Gempa bumi itu adalah yang kedua terkuat melanda bandar raya ini yang dihuni oleh 350,000 orang dalam tempoh lima bulan.
Ia yang sekuat 6.3 pada skala Richter mencetuskan kemusnahan jauh lebih besar berbanding gempa bumi yang terkuat yang melanda sebelum subuh pada September tahun lalu.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa itu berpusat pada kedalaman 2.5 kilometer di bawah tanah pada jarak lima kilometer dari sini.
Menurut kenyataan agensi itu, selepas gempa bumi tersebut, dua gegaran susulan, setiap satu berukuran 5.6 dan 5.5 pada skala Richter melanda bandar ini.
Setakat malam semalam, lebih 100 orang termasuk 12 pelajar Jepun yang melawat bandar ini dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan ketika hujan turun.
"Situasi di sini penuh dengan kemusnahan," kata Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas beliau tiba di bandar ini beberapa jam setelah gempa bumi berlaku.
Menurutnya, angka kematian setakat ini adalah 65 orang dan berkemungkinan besar akan terus meningkat.
"Kita sedang menyaksikan hari paling gelap dalam sejarah New Zealand," ujarnya.
Sebuah gereja batu yang menjadi mercu tanda bandar ini ranap manakala bangunan-bangunan tinggi runtuh dan jatuh bertindih dengan jalan-jalan raya dipenuhi dengan serpihan konkrit dan batu bata.
"Bencana kali ini amat mengerikan. Orang ramai ditindih dengan runtuhan, runtuhan seberat beberapa tan," kata seorang penduduk tempatan Nathanael Boehm.
Menurutnya, beberapa mangsa mati akibat dihempap konkrit.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker mengisytiharkan darurat di bandar ini dan mengarahkan orang ramai meninggalkan pusat bandar.
Lapangan terbang juga turut ditutup manakala Hospital Christchurch dikosongkan buat seketika sebelum dibuka semula.
Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon terputus dengan paip bawah tanah bocor dan menyebabkan banjir di beberapa batang jalan raya di sini.
Sejumlah kereta yang diletakkan di tepi jalan kini tertimbus di bawah timbunan runtuhan. - Agensi

Tuesday, February 22, 2011

Saintis dedah punca utama barah tekak

COLUMBUS - Saintis mendapati seks oral lebih berisiko menyebabkan barah tekak berbanding penggunaan tembakau menerusi aktiviti merokok, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan hasil kajian terbaru, saintis-saintis mendapati aktiviti itu merupakan punca utama barah tekak dalam kalangan individu berusia di bawah 50 tahun.
Mereka berkata, virus papilomma manusia (HPV) yang merebak ketika aktiviti itu menjadi punca peningkatan barah tekak sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
"Berpandukan bukti saintifik semata-mata, kami tidak tahu sama ada vaksin itu dapat mengekang jangkitan HPV yang menyebab-kan kanser," kata seorang penyelidik berkenaan, Profesor Maura Gillison dari Universiti State Ohio di sini.
"Namun, pakar-pakar bidang perubatan optimistik bahawa pelalian dapat mencegah jangkitan barah tekak akibat HPV," tambahnya.
Sebelum ini, HPV didapati menjadi punca 70 peratus kes kanser serviks dalam kalangan wanita.
Sejak 2008, gadis berusia 12 dan 13 tahun di sekolah-sekolah telah diberi pelalian mencegah virus tersebut. - Agensi

Facebook haramkan gambar wanita mengandung

LONDON - Seorang wanita terkejut kerana gambarnya dalam keadaan hamil diharamkan oleh laman sosial Facebook, lapor akhbar The Sun semalam.
Gambar itu menunjukkan wanita tersebut, Angela Hurst (gambar) bergaya seperti aksi pelakon Demi Moore.
Gambar Angela yang dirakam oleh seorang jurugambar profesional itu dijadikannya sebagai gambar profil di muka surat Facebooknya.
Ia tidak sama seperti gambar Demi untuk majalah Vanity Fairpada Ogos 1991 yang dirakamkan dalam keadaan bogel. Sebaliknya, Angela memakai pakaian yang tidak menjolok mata.
Namun, hanya selepas tiga hari ia menjadi gambar profilnya, Facebook mengeluarkan gambarnya kerana dianggap menyalahi terma 'berbogel'.
Angela yang berusia 34 tahun dari Lee-on-Solent dekat Hampshire, England menyatakan bahawa gambar itu bukannya lucah kerana seluruh tubuhnya ditutup.
"Saya menerima banyak mesej, terutama daripada kaum wanita yang memberitahu mereka menyukainya. Mengingati tempoh mengandung ialah sesuatu yang menarik dan ia tidak bersifat seksual. Jika Demi boleh buat (merakamkan tubuhnya semasa hamil), kenapa tidak saya?" kata Angela.
Suami Angela, David berkata: "Gambar itu cantik. Tindakan ini agak berlebih-lebihan."
Sementara itu, seorang jurucakap Facebook pula menegaskan pihaknya melarang wujudnya unsur-unsur berbogel di laman tersebut. - Agensi

Monday, February 21, 2011

12 pemandu selamat selepas nahas ngeri

SEBUAH trak (dalam bulatan) terbakar manakala beberapa buah trak lain berlanggar (kanan) dalam perlumbaan Nascar di Pantai Daytona, Florida kelmarin.

PANTAI DAYTONA, Florida - Seramai 12 pemandu terselamat dalam kemalangan ngeri semasa perlumbaan trak Nascar di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kemalangan itu bermula dari sebuah trak terbabas melanggar penghadang litar perlumbaan kerana tayar meletup.
Beberapa buah trak lain kemudian melanggar kereta yang terbabas itu.
Namun, 12 pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu terselamat walaupun kemalangan ngeri tersebut berlaku.
Dalam perlumbaan selama 25 pusingan itu, hanya 14 buah trak yang berjaya menamatkan perlumbaan. - Agensi

Ikan buaya paling berat di dunia ditangkap

DUA orang ahli biologi Jabatan Perikanan, Hidupan Liar dan Taman Mississippi mengukur ikan buaya yang ditangkap Kenny Williams di Tasik Chotard, Amerika Syarikat pada 14 Februari lalu.

TASIK CHOTARD, Amerika Syarikat - Seekor ikan buaya paling berat di dunia berjaya ditangkap oleh seorang pemancing, Kenny Williams di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Berat ikan itu ialah 148.32 kilogram (kg), panjang 2.59 meter dan dianggarkan berusia di antara 50 hingga 70 tahun.
Sebelum ini seekor ikan buaya berjaya ditangkap di Rio Grande, Texas pada 1951 dengan berat 126.55kg.
Menurut Williams, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa ikan yang ditangkapnya pada 14 Februari lalu itu cukup besar.
Lelaki tersebut berkata, selepas dia menaikkan tangkapannya di atas bot, dia berasa terkejut melihat ikan buaya itu yang terlalu besar.
Williams membuat keputusan untuk menyerahkan ikan itu kepada Muzium Sains Semula Jadi Mississippi di Jackson untuk dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi

Saturday, February 19, 2011

Graduan rakam gambar raksasa

GAMBAR raksasa di Tasik Windermere, Britain dirakamkan oleh seorang graduan, Tom Pickles pada minggu lalu.

TASIK WINDERMERE, Britain - Seorang graduan teknologi maklumat, Tom Pickles merakamkan gambar seekor raksasa di sini pada minggu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar raksasa yang diberi nama Bownessie oleh penduduk tempatan itu dirakamkan menerusi telefon berkamera.
Nama itu diberikan kerana makhluk tersebut berada di dalam tasik di bandar Bowness.
Menurut pemuda berusia 24 tahun itu, raksasa itu mungkin sebesar tiga padang bola sepak.
"Saya boleh memberitahu bahawa ia lebih besar jika makhluk itu berada di dasar laut," katanya yang melihat raksasa tersebut selama 20 saat.
Semasa gambar itu dirakamkan, Pickels sedang berkayak di tasik tersebut bersama dengan teman wanitanya kerana mereka mengikuti kursus bina semangat syarikat tempat dia bekerja.
Gambar yang dirakamkan graduan itu menunjukkan beberapa bonggol di badan raksasa tersebut.
Menurut Pickles, raksasa itu berenang dengan pantas.
Teman wanitanya, Sarah Harrington, 23, berkata: "Ia (makhluk itu) seperti seekor ular yang besar. Saya melihatnya selama beberapa saat tetapi apa yang saya fikirkan ketika itu ialah saya perlu keluar dari tasik tersebut." - Agensi

Gadis unik boleh lenturkan badan

KIRSTY NICHOLSON melenturkan badannya di dalam balang di rumahnya dekat Middlesbrough, Britain baru-baru ini.

LONDON - Seorang gadis di Britain pulih daripada sindrom berasa takut apabila berada di dalam ruang yang sempit, lapor sebuah akhbar semalam.
Gadis itu, Kirsty Nicholson, 23, pulih selepas ibunya memasukkan dia ke dalam tong sampah. Kejadian itu berlaku semasa dia masih kecil kerana anaknya itu mampu melenturkan tubuhnya.
Disebabkan dia turut berbakat melenturkkan tubuhnya di dalam balang kaca, gadis itu kini menunjukkan kemahirannya itu dalam pertunjukan sarkas.
Dia kini merupakan anggota kumpulan The Circus of Horrors yang menjelajah ke seluruh dunia.
Nicholson amat takut berada di ruang kecil dan tertutup sejak dia berusia enam tahun.
Beberapa tahun lalu, dia mendapat tawaran bekerja dengan sarkas berkenaan dan perlu mengadakan persembahan melenturkan badan di dalam botol sepanjang 0.6 meter dan lebar 45 sentimeter.
"Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan sehinggalah ibu saya mendapat idea untuk saya berlatih di rumah dengan memaksa saya masuk ke dalam tong sampah dan raga pakaian," kata Kirsty. - Agensi

Friday, February 18, 2011

Hosni dilihat bersarapan pagi

HOSNI MUBARAK

SHARM EL SHEIKH - Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang dilaporkan sakit dilihat bersarapan pagi di sebuah pantai di sini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Satu sumber berpengaruh memberitahu stesen televisyen ABC, Hosni kini berada di resort miliknya di sini dengan ditemani oleh dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa.
Kedua-dua isteri dan anak lelaki mereka, bagaimanapun telah meninggalkan Mesir.
Sumber itu berkata, memang benar Hosni, 82, menghadapi masalah kesihatan kerana doktor peribadinya turut menemaninya di sini.
Namun, kata sumber itu, Hosni yang meletak jawatan selepas memerintah Mesir hampir 30 tahun dilihat sihat bersarapan pagi di tepi pantai.
Kebimbangan mengenai kesihatan pemimpin itu timbul pada minggu lalu selepas terdapat laporan bahawa beliau berada dalam keadaan koma setelah meletak jawatan.
Sementara itu, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih pentadbiran Mesir menyatakan, ia terkejut dengan gejala rasuah yang begitu berleluasa dalam pentadbiran Hosni sebelum ini.
Tidak lama selepas mengambil alih kuasa, pihak tentera telah meminta aset beberapa pegawai tertinggi pentadbiran negara dibekukan sehingga siasatan yang dilakukan terhadap mereka selesai dilakukan. - Agensi

Yemen bergolak akibat tunjuk perasaan

PARA penentang pemerintah (membelakangi kamera) membaling batu ke arah kumpulan penyokong kerajaan di Sanna, Yemen semalam.

SANAA - Pertempuran sengit antara para penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang pemerintah di sini menyebabkan sekurang-sekurangnya 40 orang cedera semalam manakala tentera dikerahkan ke bandar pelabuhan Aden, selatan negara itu bagi mengawal ketenteraman.
Sekitar 2,000 orang penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, meninggalkan Universiti Sanaa dan menuju ke Dataran Pembebasan di sini apabila mereka bertembung dengan penyokong-penyokong pemerintah sekali gus mencetuskan pertempuran yang masuk hari ketujuh semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan yang setia kepada Presiden Ali Abdullah Saleh berhimpun dan menunggu berhampiran universiti itu sejak pagi semalam untuk menyerang kumpulan penunjuk perasaan antipemerintah dengan cota dan batu.
Para penunjuk perasaan yang melaungkan slogan seperti rakyat mahu menumbangkan pemerintah bertindak balas dengan membaling batu ke arah penyokong presiden.
Seorang wartawan di sini berkata, polis kemudian campur tangan dengan melepaskan tembakan amaran untuk memisahkan kedua-dua belah pihak tetapi berundur selepas pertempuran bertambah sengit.
Menurutnya, seramai 15 daripada mereka yang cedera merupakan penunjuk perasaan manakala bakinya penyokong pemerintah.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai tempatan berkata, pertempuran sengit antara penunjuk perasaan dan pihak polis di bandar Aden kelmarin menyebabkan tentera dihantar ke lokasi tersebut.
Menurutnya, dua terbunuh dalam pertempuran itu.
Kejadian di Yemen itu berlaku akibat kesan daripada tunjuk perasaan besar-besaran yang berlaku di Tunisia dan Mesir.
Tunjuk perasaan itu juga berlaku akibat kemarahan rakyat yang berpunca daripada masalah kemiskinan dan pengangguran.
Presiden Yemen berjanji untuk tidak bertanding dalam pilihan raya semula pada 2013 atau cuba menjadikan seorang anak lelakinya sebagai pengganti.
Negara itu merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat dalam perjuangan untuk menentang kumpulan Al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama bin Laden.
Kawasan sempadan Yemen yang berjiran dengan Arab Saudi kerap dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan pengganas. - Agensi

Thursday, February 17, 2011

Ketam labah-labah semakin membesar

KETAM labah-labah yang dipamerkan di Akuarium Sea Life Weymouth, Dorset memiliki berat 15 kilogram.

WEYMOUTH - Seekor ketam labah-labah gergasi seberat 15 kilogram semakin membesar selepas ia ditangkap oleh seorang nelayan di Heda, Teluk Suraga, barat daya Tokyo, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketam labah-labah Jepun itu pada mulanya mahu dijual untuk dijadikan hidangan makanan.
Bagaimanapun, nelayan itu menghubungi seorang ahli biologi yang bekerja dengan Akuarium Sea Life Weymouth di Britain, Robin James.
James pernah melawat kampung nelayan itu beberapa minggu sebelum ketam tersebut ditangkap.
Ahli biologi tersebut kemudian mengatur rancangan untuk menyelamatkan ketam labah-labah itu daripada dibunuh untuk dijadikan makanan.
Kakitangan di akuarium itu percaya bahawa ketam tersebut adalah yang paling besar pernah dipelihara di dunia.
Ketam labah-labah yang berusia 40 tahun itu kini dipamerkan di akuarium tersebut di Weymouth, Dorset, Britain sebelum ia dipindahkan ke Munich, Jerman. - Agensi

Penyu gergasi ganggu majlis perkahwinan

KATHRYN dan suaminya menolak penyu gergasi di Akuarium Sea Life di London pada Isnin lalu.

LONDON - Seekor penyu gergasi mengganggu satu majlis perkahwinan yang diadakan di dalam Akuarium Sea Life di sini pada Isnin lalu.
Insiden itu berlaku semasa pengantin lelaki menyarungkan cincin di jari pengantin wanita.
Seekor penyu gergasi itu kemudian menghampiri mereka sebelum ia menggigit gaun pengantin perempuan, Kathryn O'Connor.
Kathryn dan pengantin lelaki, James Oliver kemudian bertindak menolak penyu tersebut dengan tangan mereka.
Oliver kemudian meneruskan majlis perkahwinan dengan mendukung isterinya itu manakala seorang jurugambar merakamkan peristiwa melucukan itu. - Agensi

Kereta baru PM Britain kalis bom

CIRI-CIRI istimewa kereta rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron.

LONDON - Kereta Jaguar XJ X351 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron, dilengkapi pelbagai ciri istimewa bagi menghalang serangan pengganas, lapor sebuah akhbar semalam.
Banyak ciri tersebut dirahsiakan tetapi kereta mewah berharga £200,000 (RM977,309) itu dilaporkan memiliki perisai kalis bom, tayar masih boleh bergerak walaupun pancit, tingkap kalis peluru dan bekalan oksigen untuk digunakan dalam serangan kimia atau biologi.
Kereta itu juga dipercayai dilengkapi senjata yang boleh digunakan petugas keselamatan untuk membalas tembakan sekiranya mereka diserang.
Kereta XJ X351 itu mampu memecut selaju 264 kilometer sejam kerana ia dijana enjin petrol berkuasa tinggi dengan kapasiti 5.0 liter yang berupaya mengeluarkan 503 kuasa kuda (hp).
Kenderaan itu jauh lebih berkuasa berbanding Jaguar XJ standard yang cuma mengeluarkan 385 hp.
Satu kelemahan kereta tersebut adalah ia menggunakan banyak petrol iaitu 3.78 liter petrol untuk jarak 36.8 kilometer manakala pengisian tangki penuh memerlukan belanja sebanyak £104 (RM507).- Agensi

Wednesday, February 16, 2011

Sepasang naga dilihat di Kalimantan

SEORANG penumpang bot sempat merakamkan gambar naga raksasa sepanjang 40 meter 
di Sungai Mahakam, Kutai Barat, Indonesia pada 29 Januari lalu.

KUTAI BARAT - Penduduk di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur digemparkan dengan kemunculan sepasang naga raksasa sebesar sepanjang 40 meter.
Haiwan itu dilihat menyusur di permukaan air di Sungai Mahakam yang menghubungkan Riam Haloq, Kampung Long Tuyoq, Kecamatan Long Pahangai di sini.
Naga raksasa seperti ular itu didapati melintas di sungai ini diyakini masyarakat suku Dayak sebagai naga.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh akhbar Tribun, peristiwa kemunculan naga tersebut berlaku pada 29 Januari lepas.
Pada hari kejadian, sejumlah penumpang dan pemandu sebuah bot panjang yang dalam perjalanan ke sini melihat sepasang naga mirip ular raksasa itu melintas di permukaan Sungai Mahakam dari arah berlawanan.
Bimbang mereka akan menjadi korban haiwan raksaksa itu, pemandu bot berkenaan mengemudi botnya ke tepi sungai untuk memberi laluan.
"Kedua-dua ekor naga itu bergerak terus dan tidak merasa terganggu dengan kehadiran bot itu," kata seorang penduduk tempatan, Dodik, yang mendengar tentang peristiwa itu daripada keluarganya di Mahakam Ulu.
Pemandu dan beberapa penumpang bot itu kemudian merakamkan gambar raksaksa tersebut dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.
Gambar-gambar naga raksasa itu kemudian tersebar dan menggemparkan masyarakat tempatan.
Menurut seorang penduduk di sini, terdapat dua naga yang dilihat. Salah satu haiwan itu dipercayai jantan kerana terdapat dua tanduk di kepala manakala naga betina pula tidak bertanduk.
Kedua-dua haiwan itu memiliki empat kaki, kulit berwarna hitam dengan panjang sekitar 40 meter. - Agensi

Menteri Luar India pertahan kesilapan bodoh di PBB

MENTERI Luar India, S.M. Krishna membaca teks ucapan Menteri Luar Portugal, Luis Amado dalam mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York pada Jumaat lalu.

NEW DELHI - Menteri Luar India, S.M. Krishna kini cuba menyelamatkan reputasinya selepas beliau melakukan kesilapan bodoh dengan tersilap membaca ucapan rakan sejawatannya dari Portugal, Luis Amado dalam satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jumaat lalu.
Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan Krishna membaca teks tersebut selama tiga minit sebelum seorang pegawai menegur kesilapannya.
"Dalam ucapan yang lebih peribadi, izinkan saya meluahkan rasa gembira kerana kebetulan mempunyai dua buah negara yang bertutur dalam bahasa Portugis, iaitu Portugal dan Brazil bersama kita pada hari ini," kata Krishna kepada PBB semasa beliau membaca teks ucapan untuk Menteri Luar Portugal.
Beliau kemudian cuba melupakan kesilapan itu dengan berkata: "Terdapat begitu banyak kertas di hadapan saya. Justeru, ucapan yang salah telah diambil. Malangnya, ia telah berlaku," kata Krishna.
Seorang tokoh perhubungan awam dan kolumnis tetap akhbar Mumbai Mid-Day, Dilip Cherian menjangkakan Krishna mungkin tidak disenaraikan dalam Kabinet yang akan datang.
Cherian menyatakan kesilapan itu memalukan menteri tersebut di PBB. - AFP

PM Itali dibicara atas dakwaan seks

SILVIO BERLUSCONI duduk di kerusi belakang sebuah kereta di Mineo dekat Catania, Sicily, Itali semalam. RUBY (gambar kecil)

MILAN - Seorang hakim Itali semalam memerintahkan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dibicarakan atas tuduhan membayar sejumlah wang kepada seorang gadis bawah umur dari Maghribi untuk mendapatkan khidmat seksnya dan cuba menutup perbuatan itu.
Hakim Cristina Di Censo membuat keputusan tersebut semalam dan menetapkan kes Berlusconi dibicarakan pada 6 April depan.
Kes beliau akan didengar oleh satu panel yang disertai oleh tiga juri wanita.
Berlusconi didakwa membayar gadis tersebut yang dikenali sebagai Ruby yang ketika itu berusia 17 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan pengaruhnya untuk membebaskan Ruby yang nama sebenarnya Karima El Mahroug daripada tahanan polis.
Ruby ditahan polis kerana disyaki mencuri wang berjumlah AS$4,103 (RM12,522) tetapi Berlusconi campur tangan bagi meminta polis membebaskannya.
Perdana Menteri itu dipercayai berusaha untuk membebaskan gadis tersebut kerana bimbang rahsianya akan bocor.
Undang-undang Itali membenarkan pelacur dilanggan tetapi mengharamkan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah 18 tahun.
Bagi kesalahan pertama, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga tiga tahun manakala hukuman salah guna kuasa adalah lebih serius iaitu penjara maksimum 12 tahun.
Berlusconi, bagaiamanapun, menafikan semua tuduhan ke atas dirinya itu.
Perdana menteri berkenaan memberitahu, arahan pembebasan Ruby dilakukan bagi mengelak ketegangan diplomatik kerana beliau percaya gadis itu ialah cucu Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak.
Hosni telah meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.
Berlusconi turut mendakwa tindakan pihak pendakwa raya mengheretnya ke mahkamah adalah bermotifkan politik dengan tujuan untuk menggulingkannya.
Berlusconi, 74, pernah dibicarakan kerana beberapa kes berkaitan perniagaan tetapi ini adalah kali pertama beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tingkah lakunya.
Berlusconi didakwa susulan pihak pendakwa raya memberitahu, mereka memiliki bukti kukuh untuk mensabitkannya dalam kes tersebut. - AP