Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Thursday, March 31, 2011

Ritz-Carlton hotel tertinggi di dunia

HOTEL Ritz-Carlton Hong Kong menawarkan penginapan mewah kepada pengunjungnya.

HONG KONG - Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi hotel paling tinggi dan bangunan keempat tertinggi di dunia selepas dibuka kepada orang awam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Hotel yang berada di tingkat 102 ke-118 di Pusat Perdagangan Antarabangsa (ICC) itu mempunyai 312 buah bilik. Ia menawarkan pemandangan bandar dan pelabuhan, selain menyediakan kemudahan seperti pusat beli-belah seluas 93,000 meter persegi, enam buah restoran, spa dan kolam renang.
Menurut Presiden rangkaian hotel mewah itu, Herve Humler, Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi sebuah mercu tanda kepada kemuncak kejayaan selepas kerja keras selama bertahun-tahun.
"Kami mampu merealisasi sebuah hotel yang betul-betul hebat. Jadi kami mengalu-alukan tetamu bukan sahaja ke hotel yang tertinggi di dunia, malah hotel yang terbaik," katanya.
Selain itu, Ritz-Carlton telah meletakkan rasa mewah ke tahap yang baru dalam semua aspek. Menara hotel itu juga kelihatan jauh lebih tinggi daripada bangunan sekelilingnya. - Agensi

Wednesday, March 30, 2011

'Spiderman' takluki Burj Khalifa

PEMANJAT Perancis, Alain Robert (dalam bulatan), memanjat bangunan Burj Khalifa setinggi 828 meter di Dubai semalam.

DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.
Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.
Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.
Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.
Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.- Reuters

Tuesday, March 29, 2011

Kos perangdi Libya akan mencecah RM3.02b

RICHMOND - Kos serangan Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai serangan ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi akan mencecah AS$1 bilion (RM3.02 bilion) walaupun konflik itu disifatkan bukan satu kepentingan kepada negara kuasa besar tersebut.
Wang itu digunakan untuk memusnahkan kemudahan pertahanan udara Gaddafi selain mengebom kereta kebal dan menguatkuasakan zon larangan terbang yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Para pemimpin menjangka berdepan tugas sukar untuk meyakinkan Kongres AS bagi memperoleh dana tambahan.
"Ada yang menyatakan kos hanya ratusan juta dolar. Namun, siapa tahu berapa lama perang ini akan berterusan," jelas Senator AS, Richard Lugar dalam program Meet The Press terbitan stesen televisyenNBC pada Ahad lalu.
Kos operasi di Libya dijangka meningkat dengan pantas. Misalnya, kos peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan dari kapal dan kapal selam berharga sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3.02juta) setiap satu.
Jet pejuang F-15 Eagle milik AS yang terhempas pada minggu dilaporkan berharga AS$30 juta (RM90.82 juta).- Agensi

Britney Spears mahu saingi Lady Gaga

SAN FRANCISCO - Bintang pop, Britney Spears kini menghadapi persaingan dengan kemunculan penyanyi lain seperti Lady Gaga, Katie Perry dan Rihanna.
Penyanyi yang berusia 29 tahun itu mengejutkan peminat semasa dia membuat persembahan bagi mempromosikan album terbarunya, Femme Fatale di Auditorium Sivik Bill Graham di sini kelmarin apabila penyanyi tersebut menyarung pakaian ketat hitam yang biasa dipakai oleh Lady Gaga.
Ibu dua cahaya mata itu yang memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu popularnya, Hold It Against Me duduk di sebuah kerusi dalam keadaan seksi sambil diapit oleh penari lelaki sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Spears yang sudah lebih 10 tahun berada dalam dunia seni bagaimanapun menerima pelbagai komen daripada media dan peminat mengenai kelainan yang ditonjolkan semasa membuat persembahan.
Para pengkritik menyatakan Spears harus berusaha lebih gigih bagi menjadikan dia terus relevan biarpun berada dalam era Lady Gaga.
Menurut wartawan dari akhbar Independent, Andy Gill berkata: "Muzik yang dibawa oleh Lady Gaga tidak lebih atau berbeza dengan album Femme Fatale. Namun, dia (Lady Gaga) tahu daya tarikan dalam berpakaian," jelasnya yang memberi dua daripada lima markah untuk album terbaru Spears.
Wartawan akhbar Daily Mail, Adrian Thrills berkata, kemunculan Lady Gaga, Katy Perry dan Rihanna menjadi gelombang baru sehingga menjadikan penyanyi wanita harus menampilkan imej unik masing-masing bagi mengekalkan populariti.
Sementara itu peminat Spears, Sarah Ammann ketika ditemubual oleh stesen televisyen ABC mengaku perubahan penyanyi itu cukup hebat dan mengagumkan. Seorang lagi peminat dari Brentwood, California, Alicia Kennon menganggap Spears sebagai penghibur terkemuka dan pasti popularitinya terus meningkat. - Agensi

Monday, March 28, 2011

Pokok dipenuhi sarang labah-labah

DUA batang pokok dipenuhi dengan sarang labah-labah di wilayah Sindh, Pakistan.

KARACHI, Pakistan - Sejumlah pokok di wilayah Sindh dekat sini dipenuhi dengan sarang labah-labah sehingga menghasilkan satu pemandangan yang menyeramkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun kejadian banjir melanda Pakistan tahun lepas tetapi terdapat air yang masih lagi tidak surut sepenuhnya menyebabkan banyak serangga kecil menjadikan pokok sebagai tempat tinggal.
Menurut penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat fenomena tersebut berlaku sebelum ini tetapi sarang labah-labah itu telah berjaya mengurangkan populasi nyamuk.
Sebahagian besar kawasan bencana yang melanda Pakistan masih lagi belum surut selepas enam bulan hujan lebat melanda negara itu.
Fenomena pokok yang menggerunkan itu pula adalah kesan terbaru akibat banjir besar yang telah menyebabkan 2,000 orang terbunuh. - Agensi

Lelaki 100 tahun kahwin kekasih berusia 93 tahun

FORREST LUNSWAY dan isterinya, Rose Pollard.

DANA POINT, California - Seorang lelaki berusia 100 tahun, Forrest Lunsway melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Rose Pollard berumur 93 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka mendirikan rumah tangga selepas berkenalan buat kali pertama pada 18 Disember 1983 dalam satu majlis tari-menari untuk warga emas.
Majlis perkahwinan itu diadakan pada sambulan ulang tahun kelahiran Forrest yang ke-100 di Pusat Komuniti Dana Point pada 19 Mac lalu di hadapan rakan-rakan dan anggota keluarga.
Paderi yang mengahwinkan mereka, Sam Lewis berkata, perkahwinan tersebut merupakan sesuatu yang mengagumkan orang ramai.
"Tema perkahwinan ini adalah kehidupan anda masih belum tamat selagi anda belum lagi meninggal dunia," katanya.
Sebelum berkenalan, kedua-dua mereka pernah berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Gabungan umur mereka, iaitu 193 tahun, telah menjadikan mereka pasangan tertua di dunia yang berkahwin selepas rekod 183 tahun yang dipegang pasangan Harry Carton dan Edna Holford dari Barnley, England.
Seorang jurucakap Guinness Book of World Records menyatakan pihaknya akan mengesahkan perkahwinan itu sebagai rekod dunia. - Agensi

Saturday, March 26, 2011

Haiwan mirip watak Yoda dalam filem Star Wars

HAIWAN Tarsier yang memiliki wajah mirip watak Yoda.

MANILA - Seorang jurugambar, Erik Mikhailov merakamkan gambar seekor haiwan yang mirip satu watak dalam siri filem Star Wars, Yoda ketika dia mengunjungi sebuah kawasan hutan hujan di Filipina baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebenarnya, haiwan yang dirakamkan gambar itu merupakan Tarsier yang mempunyai ciri-ciri fizikal mirip watak Yoda.
Haiwan itu mempunyai bentuk telinga yang tajam ke atas dan memiliki mata besar.
"Saya terus teringatkan Yoda (semasa melihat haiwan tersebut). Ketika itu, saya tidak tahu jenis makhluk tersebut walaupun terdapat pelbagai kehidupan yang menakjubkan untuk dilihat," katanya.
Tarsier merupakan haiwan yang hidup di Asia Tenggara. Ia dikenali dengan nama Maumag di Filipina dan mempunyai mata sangat besar dan menjadikan serangga sebagai makanan. - Agensi

Friday, March 25, 2011

Bilik jadi akuarium

NOTTINGHAM - Tidak ramai yang sanggup menukarkan bilik bawah tanah kediaman mereka menjadi sebuah akuarium besar tetapi itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki di Britain, Jack Heathcote, lapor sebuah akhbar semalam.
Heathcote, 37, membina akuarium persendirian itu dengan kos £5,000 (RM24,603) di rumahnya di sini dan memenuhinya dengan beberapa spesies hidupan air tawar eksotik.
Akuarium gergasi itu yang berukuran 3.8 meter x 3.9 meter x 2.1 meter terletak di bawah ruang tamu kediaman lima biliknya.
"Hobi saya bukan sekadar menguasai hidup saya tetapi ia juga menguasai rumah saya," katanya.
Lelaki itu yang bekerja sebagai guru turut memberitahu, tiada televisyen di rumahnya kerana dia lebih gemar melihat ikan-ikan peliharaannya itu berenang. - Agensi

Pelagak ngeri atasi legenda silap mata

KEDUA-DUA tangan Rob Roy Collins mula menanggalkan baju yang dipakainya.

RESORT MENARA ALTON, Britain - Seorang pelagak ngeri, Rob Roy Collins menggantungkan dirinya dalam keadaan terbalik pada tiang sebuah rollercoaster di Britain seperti yang pernah dilakukan ahli silap mata legenda, Harry Houdini yang meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Semasa aksi itu, Collins, 33, memakai baju pesakit mental yang ketat menyebabkan kedua-dua tangannya terikat.
Dia kemudian berjaya menanggalkan baju itu dalam masa satu minit 53 saat semasa dia berada dalam keadaan terbalik pada ketinggian 18.3 meter di udara.
Catatan itu mengatasi masa Houdini iaitu dua minit 37 saat yang melakukan aksi serupa dengan menggunakan sebuah kren di New York, Amerika Syarikat (AS).
Aksi mendebarkan itu menarik kehadiran ramai orang yang berkumpul di sekitar rollercoaster berkenaan di sini, baru-baru ini.
"Aksi ini amat mengujakan dan pada masa yang sama ia juga menakutkan. Saya menjadi pelagak ngeri selama 10 tahun tetapi ini kali pertama saya melakukan aksi 'gila' seperti ini," kata Collin selepas itu . - Agensi

Thursday, March 24, 2011

Budak tiga tahun miliki berat 59.87kg

LU HAO didukung oleh bapanya di wilayah Guandong, China baru-baru ini.

BEIJING, China - Seorang kanak-kanak, Lu Hao yang berusia tiga tahun memiliki berat sebanyak 59.87 kilogram (kg), lima kali lebih berat daripada kanak-kanak seusia dengannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Hao yang dilahirkan normal dengan berat badan hanya 2.6kg.
Bagaimanapun, dia membesar dari semasa ke semasa sehingga mencecah usia tiga bulan sehingga tubuhnya gemuk dan setinggi 107 sentimeter.
Selera makan kanak-kanak yang berasal dari wilayah Guangdong itu cukup tinggi apabila dia boleh menghabiskan tiga mangkuk nasi semasa waktu makan.
Menurut bapanya, Lu Yuncheng, tabiat pemakanan Hao lebih besar berbanding dia dan isterinya.
Keluarga Hao dilaporkan cuba untuk memantau amalan diet anaknya sejak dia berusia setahun.
Jelas ibu Hao, Chen Yuan, dia dan suami sebaliknya terpaksa akur dengan kehendak anaknya yang akan menangis tanpa henti jika tidak diberi makanan.
Keluarganya juga memasang jaring bola keranjang di halaman rumah dan membawa Hao melakukan aktiviti renang di sebuah sungai berhampiran bagi menggalakkan Hao melakukan aktiviti sukan supaya badannya kurus.
Namun, latihan yang dilakukan oleh Hao hanya membuatkan dia menjadi lebih lapar selain berat badan kanak-kanak itu terus meningkat.
Yuncheng telah membawa Hao ke hospital sebanyak tiga kali.
Seorang doktor menyatakan anaknya itu mengalami tumor di kepala manakala dua doktor lain menyatakan dia tidak mempunyai tumor.
Doktor juga mendakwa hormon kanak-kanak itu normal. Cuma, mereka tidak tahu punca Hao menjadi gemuk.
"Harapan terbesar kami adalah untuk melihat Hao kurus suatu hari nanti," jelas ibunya. - Agensi

Elizabeth Taylor meninggal dunia

Elizabeth TAYLOR pada tahun 1984.

LOS ANGELES - Aktres legenda Hollywood, Elizabeth Taylor yang mempunyai sepasang mata ungu meninggal dunia semasa berusia 79 tahun semalam di sebuah hospital di sini.
Menurut satu kenyataan keluarga pelakon tersebut, dia telah dimasukkan ke Hospital Cedars-Sinai di sini sejak enam minggu lalu kerana mengalami masalah jantung yang merupakan penyakit yang dihidapinya selama bertahun-tahun.
Kenyataan tersebut menyatakan, aktres yang pernah mencuit hati ramai penonton menerusi filem National Velvet itu mengelami komplikasi jantung baru-baru ini.
"Aktres legenda, seorang ahli perniagaan dan aktivis, Elizabeth Taylor meninggal dunia hari ini (semalam) dengan aman di Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles," kata satu kenyataan daripada seorang pegawai seranta pelakon berkenaan.
Menurut kenyataan itu, aktres berkenaan dikelilingi anak-anaknya, Michael Wilding, Christopher Wilding, Liza Todd dan Maria Burton semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Pelakon itu mempunyai 10 cucu dan empat cicit.
Menurut Wilding: "Ibu saya merupakan seorang wanita yang luar biasa yang kehidupannya dipenuhi dengan humor, kasih sayang dan keghairahan.
"Walaupun kematiannya amat mengejutkan buat kami yang berada rapat dengannya, kami akan selalu memperoleh inspirasi daripada sumbangannya kepada dunia kita."
Menurut kenyataan itu, anak-anak pelakon itu berasa bangga dengan sumbangannya dalam memerangi HIV/AIDS, kerjayanya sebagai ahli perniagaan dan kerja-kerjanya dalam dunia perfileman.
Dia dilahirkan di London pada 27 Februari 1932 namun ibu bapanya berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Bapanya merupakan seorang peniaga seni manakala ibunya pernah menjadi pelakon.
Elizabeth berpindah ke California bersama keluarganya semasa dia berumur tujuh tahun dan bakatnya sebagai pelakon dikesan oleh seorang ejen pencari bakat.
Aktres itu berlakon dalam filem pertama, There's One Born Every Minutes semasa dia berumur 10 tahun.
Dia membintangi lebih 60 buah filem dan antara filem-filem terkenalnya ialah A Place in the SunGiant, Raintree County, Cat on a Hot Tin Roof, Butterfield Eight Cleopatra dan Who's Afraid of Virginia Woolf.
Filem terakhirnya, animasi the flintstones menerusi sumbangan suaranya pada 1994. Pelakon itu berkahwin dengan tujuh orang sepanjang hidupnya.
Namun, dia berkahwin sebanyak dua kali dengan pelakon Britain, Richard Burton menyebabkan Elizabeth terkenal kerana berkahwin sebanyak lapan kali.
Elizabeth juga terkenal kerana hubungan rapatnya dengan penyanyi Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun 2009.
- Agensi

Wanita bogel terperangkap di cerun bukit

SEORANG anggota penyelamat mendekati seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel di tepi cerum sebuah bukit di San Diego kelmarin.

SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang berada dalam keadaan bogel diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat selepas dia terperangkap di tepi cerun setinggi 137 meter dari permukaan laut di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan tidak mengalami sebarang kecederaan semasa dia diselamatkan dalam operasi selama 30 minit kelmarin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat dari San Diego, Maurice Luque, ramai yang pernah terperangkap di cerun itu sebelum ini selepas mereka mendaki.
Jelasnya, wanita itu tidak ditahan selepas dia diselamatkan.
Pihak berkuasa sebaliknya masih belum mendapat gambaran jelas bagaimana wanita tersebut boleh berada dalam keadaan bogel dan terperangkap di cerun tersebut. - Agensi

Wednesday, March 23, 2011

Rawatan perubatan percuma

PUTRAJAYA - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.
Selain itu, kerajaan juga memutuskan bahawa ganjaran akan dibayar seratus peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah Skim Pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
Ganjaran itu diberikan berkat usaha kerajaan menguruskan kewangan dengan bijak sehingga negara mulai pulih daripada masalah ekonomi.
Keputusan kerajaan itu berkuat kuasa mulai tarikh diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (Mappa) Ke-12 di sini semalam.
"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa," kata Perdana Menteri.

Kereta jadi padang golf mini

JOHN MCARTHUR berdiri di atas bumbung kereta miliknya yang dijadikan padang golf.

CHELMSFORD, England - Seorang peminat fanatik kereta, John McArthur, 22, mencipta kelainan apabila dia menukarkan kereta jenama Skoda Felicia miliknya menjadi sebuah padang golf mini, lapor sebuah akhbar semalam.
McArthur hanya membeli kereta tersebut pada harga murah iaitu £347 (RM1,718.13) daripada sebuah laman web lelong, eBay bagi menggantikan kereta lama berjenama Renault Megane Scenic.
"Adik perempuan saya tidak akan menaikinya tetapi rakan-rakan saya yang turut sama meminati kereta suka dengan kereta ini.
"Mereka menyatakan orang ramai pasti akan melihatnya apabila saya memandu dan saya ada melihat beberapa orang merakamkan gambar dan bertanyakan pelbagai soalan," katanya.
Dia meletakkan rumput palsu di atas kereta tersebut dengan dilengkapi lubang dan tiang bendera. - Agensi

Kucing duduk seperti manusia

PENYIARAN gambar yang menunjukkan seekor kucing sedang duduk kini menjadi trend dalam kalangan pengguna Internet.

LONDON - Bukan sahaja manusia memerlukan masa berehat dan untuk menenangkan fikiran tetapi kucing juga perlu melakukan perkara yang sama, lapor sebuah akhbar semalam.
Kini terdapat trend dalam kalangan pengguna komputer di beberapa laman web, e-mel dan blog yang menyiarkan foto-foto kucing yang sedang duduk dengan gaya seperti seorang manusia sedang bersandar.
Kucing sering kali dikaitkan dengan manusia sejak hampir 9,500 tahun lalu dan merupakan haiwan peliharaan manusia yang paling popular di dunia.- Agensi

Tuesday, March 22, 2011

Flamingo jatuh terlentang

SEEKOR burung flamingo berdiri (kiri) di sebuah kolam di Zoo Moscow, Rusia, sebelum ia tiba-tiba terjatuh (kanan).

MOSCOW, Rusia - Seorang jurugambar, Tatiana Adamenko, merakam aksi lucu seekor burung flamingo terjatuh ke dalam air kerana hilang keseimbangan badan ketika ia sedang berdiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam foto tersebut, jelas kelihatan kekeliruan pada 'wajah' burung itu manakala kaki haiwan itu pula terangkat.
"Saya cuma mahu merakam aksi burung flamingo mencelup kepala ke dalam air tetapi tiba-tiba, burung itu terjatuh," kata Tatiana yang merakam foto itu di Zoo Moscow baru-baru ini.
Selepas beberapa ketika, burung flamingo itu berjaya bangkit semula dan berenang seperti biasa.
Flamingo terkenal sebagai sejenis burung yang dapat berdiri dengan sebelah kaki selama berjam-jam. - Agensi

Bayi perempuan gergasi Britain

LIBBY (kanan) bersama sepupunya, (Thomas) dipangku nenek mereka.

WIGAN, Britain - Seorang wanita, Gemma Woods, 28, melahirkan bayi perempuan terbesar di Britain seberat 5.6 kilogram (kg), dua kali ganda berat bayi normal pada Oktober lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun saiznya besar, bayi yang bernama Libby itu dilahirkan secara normal dengan proses bersalin pendek iaitu selama enam jam di sini baru-baru ini.
"Saya seperti tidak percaya apabila bidan memberitahu berat Libby, bunyinya seperti mendengar berat sesuatu barang," kata Gemma.
Sepupu Libby, seorang bayi lelaki bernama Thomas yang lahir tiga minggu lebih awal hanya mempunyai berat 3kg.
Bayi paling berat di dunia setakat ini dilahirkan di Aversa, Itali pada September 1955 yang mempunyai berat mencecah 10.17kg. - Agensi

Istana Gaddafi musnah dibom

Keadaan bangunan pentadbiran Istana Bab Al-Aziziya, Tripoli yang musnah dalam serangan tentera bersekutu pagi semalam.

TRIPOLI - Istana utama Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi di sini dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan empat negara sekutunya dalam serangan terbaru semalam.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa diktator tersebut mungkin terbunuh.
Selepas serangan tersebut, sumber kerajaan Libya segera menyifatkan laporan bahawa anak keenam Gaddafi, Khamis mati dalam serangan tersebut sebagai berita tidak masuk akal.
Khamis masih lagi menjadi komander tentera Brigade ke-32.
Serangan lewat malam itu memusnahkan sama sekali bangunan pentadbiran tiga tingkat yang terletak di dalam kawasan istana yang dikenali sebagai Bab Al-Aziziya itu.
Bangunan pentadbiran yang musnah itu terletak 50 meter dari sebuah khemah Badwi yang lazimnya digunakan oleh Gaddafi untuk menyambut tetamu negara.
Pengarah Staf Jabatan Pertahanan (Pentagon) AS, William E. Gortney menafikan menjadikan pemimpin Libya itu sebagai sasaran.
"Saya boleh jamin beliau (Gaddafi) bukan dalam senarai sasaran. Kami tidak menyasarkan kediamannya. Serangan sebaliknya mahu memusnahkan kemampuan arahan dan kawalan Gaddafi," katanya.
Kepulan asap dapat dilihat dengan jelas dari kawasan istana berkenaan.
Namun kebakaran dikatakan tidak merebak walaupun serpihan konkrit berterabur di kawasan berhampiran.
Lokasi tersebut pernah dibom oleh AS pada tahun 1986 dalam serangan yang menyebabkan anak angkat perempuan Gaddafi, Hana terbunuh.
Gaddafi juga dikatakan sering memberi ceramah di hadapan satu arca emas yang menunjukkan tangan menggenggam replika jet pejuang AS bagi mengingati serangan sebelum ini.

Monday, March 21, 2011

AS guna Tomahawk terbaru di Libya

KAPAL pemusnah AS, Arleigh Burke melancarkan peluru berpandu Tomahawk (gambar kecil) ke arah Libya di Laut Mediterrranean kelmarin.

TRIPOLI – Tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menjadikan sasaran ketenteraan Libya untuk menguji kekuatan dan kecanggihan peluru berpandu Tomahawk edisi terbaru.
Peluru itu bukan sahaja meninggalkan kesan kemusnahan malah mampu memastikan tentera perikatan berada pada tahap risiko yang kecil kerana ia boleh dilancarkan dengan tepat, jauh dari kawasan konflik iaitu dari kapal perang atau kapal selam.
Senjata itu digunakan oleh pihak Britain dan AS kerana ia sukar untuk dikesan dan mampu terbang pada ketinggian yang rendah dan laluan sukar.
Selain itu, ia mampu terbang pada kelajuan supersonik dan telah digunakan secara meluas ketika konflik Perang Teluk dan operasi susulan pada Jun 1993.
Kemunculan Tomahawk menuju ke Iraq pada waktu siang menjadi satu daripada imej yang mengagumkan ketika konflik tercetus pada 1991.
Tomahawk turut digunakan ketika perang Bosnia pada 1995 dan di Iraq sekali lagi pada 1996. Peluru berpandu itu boleh juga dilengkapi dengan senjata konvensional atau bom nuklear.
Tomahawk mula diperkenalkan oleh syarikat General Dynamics pada tahun 1970-an dan digunakan secara rasmi oleh Tentera AS pada 1983 sehingga ke hari ini.
Ia mengalami pelbagai pembaharuan beberapa kali bagi meningkatkan keupayaannya.

100 ekor monyet rosakkan kereta Mercedes

ENGLAND - Sekumpulan monyet di Taman Safari Longleat diberi sebuah kereta Mercedes-Benz lama untuk dimusnahkan dan aksi mereka dirakam sebelum disiarkan menerusi satu klip video di laman web YouTube, baru-baru ini.
Sebanyak 100 ekor monyet daripada spesies beruk itu kelihatan seperti mahu menanggalkan kereta itu dengan mencabut cermin sisi dan tayar kereta tersebut. Sebuah beg pakaian di atas bumbung kereta pula, turut dimusnahkan.
Menurut kakitangan safari, monyet-monyet tersebut sudah dua tahun tidak melakukan kerja memusnahkan kereta kerana safari itu ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.
Jadi, mereka mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa kepada monyet-monyet nakal itu sebelum pembukaan semula safari tersebut pada hujung minggu ini. - Agensi

Dunia kutuk serangan Amerika

BEIJING - China meluahkan kekesalan terhadap serangan yang dilakukan ke atas Libya oleh kuasa-kuasa besar dan menurut kenyataan kementerian luarnya, negara itu menentang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
"China telah mengetahui perkembangan terbaru di Libya dan merasakan amat kesal terhadap serangan tentera ke atas negara itu.
"Kami berharap Libya dapat memulihkan keamanan secepat mungkin dan dapat mengelak kematian ramai orang awam yang disebabkan oleh konflik senjata di sana," katanya.
Rusia turut mengeluarkan kenyataan yang serupa tetapi dalam masa yang sama mahukan gencatan senjata dilakukan secepat mungkin.
Sementara itu, India melalui kenyataan Kementerian Luarnya juga senada dengan negara China dan Rusia yang mahukan keamanan kembali dipulihkan di sana.
"India memandang serius terhadap perkara yang berlaku di Libya seperti persengketaan, keganasan dan situasi kemanusiaan yang semakin merosot.
"Amat mengecewakan apabila berlaku serangan udara, langkah yang diambil sepatutnya dapat mengurangkan dan bukannya memburukkan lagi situasi rakyat Libya," katanya
Serangan tentera ke atas Libya diketuai kuasa-kuasa barat oleh Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Ia dilakukan bagi menguatkuasakan resolusi zon larangan terbang yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melindungi puak penentang daripada kekejaman tentera Muammar Gaddafi.
Sementara itu, bantahan sama turut disuarakan oleh masyarakat dunia. Di Bangladesh, pertubuhan Islam Khelafat Andolon melaungkan slogan anti perang dan membantah serangan udara ke atas Libya dalam satu protes di Dhaka.
Ahli parti berhaluan kiri di Jerman, Die Linke Klaus Ernst juga mengadakan demonstrasi di Berlin yang mengutuk serangan kejam tersebut. Para aktivis Filipina pula bertindak membakar bendera AS dalam satu tunjuk perasaan di Quezon City, utara Manila.
Kemarahan sama turut dirasai di Los Angeles apabila aktivis antiperang mengadakan satu demonstrasi yang menyambut ulang tahun kelapan pencerobohan tentera AS dan sekutunya ke atas Iraq.
White House tidak terkecuali daripada menjadi lokasi demonstrasi mengutuk serangan ke atas Libya. Akibatnya, berpuluh-puluh aktivis antiperang telah ditahan polis.

Pondan di Thailand perlu jalani kerahan tentera

Golongan pondan di Thailand tidak lagi dikecualikan daripada menyertai kerahan tentera berikutan pengenalan terma baru oleh Kementerian Pertahanan Thailand.

BANGKOK - Kementerian Pertahanan Thailand semalam menambah terma baru yang memberi penerangan bagi kategori transgender yang sebelum ini dikecualikan daripada terlibat dalam kerahan tentera.
Akhbar Bangkok Post melaporkan, kementerian meminda undang-undang yang menyatakan transgender dikecualikan daripada terlibat dalam tentera kerana psikologi yang tidak normal melainkan berlaku kekurangan tentera.
Transgender dikelaskan kepada tiga jenis. Jenis satu merujuk kepada lelaki yang mempunyai penampilan seperti lelaki biasa. Manakala jenis dua merujuk kepada lelaki yang telah melalui pembedahan payu dara dan jenis tiga pula lelaki yang telah membuat penukaran keseluruhan jantina.
"Sebelum ini, hanya jenis satu yang perlu mengikuti kerahan tenaga. Tetapi jika bilangan mereka tidak mencukupi, transgender jenis dua akan dikerah walaupun mereka mempunyai payu dara," kata pengarah akademik jabatan sumber Pemerintah Askar Simpanan Thailand, Thaksin Chiamthong.
Pada tahun ini, pasukan tentera Thailand memerlukan askar kerahan seramai 97,280 ora

Wednesday, March 16, 2011

Awan radioaktif bergerak ke Tokyo

SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam.

TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.
Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.
Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.
Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.
Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.
Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.
Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.
"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.
"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.
Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.
Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.
Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi