Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Thursday, July 28, 2011

Kapal selam China menyelam 5,057 meter

GAMBAR fail pada 1 Julai lalu menunjukkan kapal selam China yang berjaya menyelam 5,057 meter di dasar laut di timur laut Lautan Pasifik pada Selasa lalu.

BEIJING - Sebuah kapal selam China menyelam sedalam 5,057 meter dari aras laut untuk mencatat rekod selaman paling dalam pernah dilakukan kapal selam dari negara berkenaan.
Pegawai-pegawai China enggan mendedahkan lokasi sebenar lokasi selaman kapal selam itu yang dikenali sebagai Jiaolong.
Namun, ujian selaman tersebut dipercayai dilakukan di timur laut Lautan Pasifik kelmarin.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Jiaolong yang berupaya mencapai kedalaman 7,000 meter, membawa tiga orang menuruni dasar lautan sedalam sekitar 5,057 meter semasa ujian selaman itu.
Kejayaan ujian selaman itu membayangkan bahawa kapal selam tersebut mampu sampai lebih 70 peratus ke dasar laut planet Bumi.
Keupayaan teknikal China mencapai kemajuan besar sejak beberapa dekad lalu yang dibuktikan dengan menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar manusia ke angkasa lepas pada 2003.
Seramai 12 lelaki pernah menjejak kaki ke bulan dan 500 lagi berada di angkasa lepas tetapi setakat ini, cuma dua individu iaitu Jacques Piccard dan Don Walsh berjaya sampai ke kawasan lautan paling dalam di dunia yang dikenali sebagai Challenger Deep di Pasifik Barat pada 23 Januari 1960.
Pengarah filem sains fiksyen Avatar, James Cameron merancang untuk menuruti jejak dua penjelajah itu untuk penggambaran sekuel filem tersebut. - Agensi

Hot dog paling mahal di dunia

GAMBAR menunjukkan hot dog paling mahal yang dijual 
di stadium besbol Roxstadium Brockton, Massachusetts sejak Sabtu lalu.

BROCKTON, Amerika Syarikat - Menu terbaharu, McMullen Dogyang dijual di stadium besbol Roxstadium Brockton, Massachusetts menjadi hot dog termahal di dunia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Berharga AS$80 (RM235.39), hot dog tersebut yang mengandungi sosej daging lembu yang dimasak dengan minyak truffle, kaviar, serbuk cendawan dan freche krim mula dijual sejak Sabtu lalu.
Roti hot dog tersebut pula dibuat menggunakan gandum yang terbaik yang dibeli dari Cape Cod, sebuah kedai roti eksklusif bersama sos dan mustard istimewa.
Menurut pengurus makanan dan minuman stadium berkenaan, Sander Stotland, walaupun harga tiket hanya AS$15 (RM44.35) dan lebih murah dari hot dog tersebut, ia tetap mendapat sambutan hangat daripada peminat yang datang menyaksikan perlawanan besbol.
Menurutnya, nama McMullen Dog itu diberi sempena nama tukang masak terkenal Atlantic City, Ryan McMullen yang memberi idea mengenai hot dog tersebut. - Agensi.

Dipenjara kerana jangkiti wanita dengan HIV

DARLASTON, Britain - Seorang lelaki yang sengaja menjangkiti dua wanita dengan virus HIV dan dipercayai menjangkiti tujuh wanita lain, kini dipenjara selama empat tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki warga Zimbabwe itu, Nkosinati Mabanda, 44, dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Mahkota Wolverhampton, Britain selepas dia mengaku bersalah kerana memudaratkan orang lain.
Seorang mangsanya mendapat tahu Mabanda menghidap HIV selepas membaca mesej telefon bimbit Mabanda yang dihantar oleh tunang lelaki itu.
Dia kemudian menghubungi tunang Mabanda dan dinasihatkan supaya menjalani ujian HIV oleh wanita berkenaan.
Mangsa yang disahkan menghidap HIV bertindak melaporkan Mabanda kepada polis pada 2009.
Ketika dia ditangkap lelaki tersebut mengaku melakukan hubungan seks tidak selamat bersama tujuh wanita lain.
Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Seorang wanita lain kemudian tampil membuat aduan terhadap Mabanda selepas melihat wajahnya di akhbar tempatan berhubung kes berkenaan.
Mangsa kedua yang berasmara dengan Mabanda selepas dia diikat jamin memberitahu, lelaki itu tidak memaklumkan kepadanya bahawa dia menghidap HIV. - Agensi

Wednesday, July 27, 2011

Jennifer Lopez bernilai RM101.7 juta

LOS ANGELES - Penyanyi pop jelita, Jennifer Lopez kembali daripada percutian untuk menandatangani perjanjian bagi meneruskan tugasnya sebagai juri tetap dalam rancangan realiti American Idol, lapor sebuah akhbar semalam.
Perjanjian untuk menjadi juri itu dikatakan bernilai AS$34.36 juta (RM101.7 juta).
Lopez yang baru sahaja berpisah dengan suaminya, Marc Anthony minggu lalu telah mencemaskan industri televisyen Amerika Syarikat (AS) selepas dia tidak tampil dalam rancangan realiti yang disiarkan di ITV2 itu.
Bagaimanapun, seorang pegawai telah meyakinkan selebriti itu untuk melakukan rundingan dan mengaku mereka yakin dia akan kembali bertugas.
"Kami berada dalam keadaan baik. Jangan bimbang. Tiada sebarang keputusan yang mendukacitakan," jelas penerbit eksekutif rancangan itu, Cecile Frot-Coutaz. - Agensi

Monday, July 25, 2011

Didesak letak jawatan kerana skandal seks

PORTLAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lagi wakil rakyat AS daripada Parti Demokrat, David Wu didesak supaya meletak jawatan selepas beliau didakwa terbabit dalam skandal seks dengan seorang wanita muda.
Laporan mengenai skandal Wu yang didakwa mengadakan hubungan seks secara paksa dengan wanita berkenaan, didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Pada Jun lepas, wakil rakyat Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama, Anthony Weiner meletak jawatan selepas dia didapati menyiarkan gambar bogelnya di akaun jaringan sosial Twitter miliknya. - AP

Penduduk bantah cadangan jadikan Pulau Coney pantai bogel

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk bandar ini menolak cadangan untuk menjadikan sebahagian pantai Pulau Coney di sini sebagai pantai bogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Persatuan Rekreasi Bogel Amerika (AANR) sebelum ini mencadangkan supaya satu kawasan di pantai itu dijadikan tempat untuk para pengunjungnya berjemur sambil berbogel.
Menurut AANR, usul tersebut dikemukakan selepas satu kaji selidik mendapati majoriti pengunjung di kawasan pantai berkenaan, bersebelahan Brooklyn, mahu berbogel.
Namun, cadangan berkenaan ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.
"Pernahkah anda melihat orang ramai bersiar-siar di pantai ini (Pulau Coney). Saya tidak fikir mereka akan nampak cantik jika berbogel. Tubuh tanpa seurat benang tidak cantik," kata seorang pengunjung pantai berkenaan, Catherine Kalian.
Seorang penduduk tempatan lain, Robyn Thompson turut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang dianggap menjolok mata.
"Terlalu ramai orang di pantai itu, juga terlalu ramai keluarga, saya tidak mahu melihat para pengunjung yang bersiar-siar sambil berbogel," katanya.
Sebelum ini, pengunjung wanita di pantai berkenaan dibenarkan berjemur tanpa memakai coli. - Agensi

Amy Winehouse mati kerana dadah

LONDON - Penyanyi bermasalah Britain, Amy Winehouse meninggal dunia di rumah barunya di sini pada usia 27 tahun.
Winehouse yang bergelut dengan masalah ketagihan dadah dan arak sejak beberapa tahun lalu ditemui mati kelmarin iaitu sebulan selepas dia terpaksa membatalkan keseluruhan konsert jelajah Eropahnya setelah menampilkan persembahan yang teruk di Serbia.
Polis tiba di kediaman penyanyi itu sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan.
Lima jam kemudian, mayat Winehouse iaitu penyanyi yang dianggap paling berbakat dan genius dalam generasinya, dihantar untuk bedah siasat.
Terkenal kerana sikapnya yang pelik, penyanyi bersuara merdu dan pernah memenangi anugerah Grammy itu dipercayai mati akibat masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk.
Satu sumber memberitahu majalah The People bahawa Winehouse dilihat membeli kokain, heroin, ekstasi dan ketamine dari seorang penjual pada Jumaat malam.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis Britain, Superintendan polis, Raj Kohli berkata, beberapa laporan yang menyatakan bahawa Winehouse meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan adalah satu spekulasi buat masa ini.
"Sebenarnya, siasatan untuk mengenal pasti punca kematian penyanyi berkenaan masih diteruskan," kata Kohli.
"Buat masa ini kematian Winehouse diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada tangkapan dibuat berhubung kes tersebut," tambahnya.
Winehouse dipercayai patah hati dan 'tidak dapat menenangkan diri' selepas ditinggalkan kekasihnya, Reg Traviss, 34, sebelum dia mendaftar masuk ke sebuah klinik permulihan pada bulan lalu.
Penyanyi yang dilahirkan pada 14 September 1983 itu suka menggabungkan irama R&B, soul dan jaz menerusi lagu-lagu popularnya seperti Stronger Than MeRehab dan Love Is a Losing Game.
Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi yang bermula pada 2006 ketika dia berusia 16 tahun, Winehouse tidak dapat dipisahkan dengan gejala penagihan dadah dan alkohol.
Pada tahun 2008, bapanya, Mitch memberitahu, Winehouse mengalami masalah jantung yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian sekiranya dia terus mengambil dadah.
Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang penagih dadah, Blake Fielder Civil pada 2007 tetapi pasangan itu bercerai tiga tahun kemudian. - Agensi

Thursday, July 21, 2011

Bingkai iPhone berbentuk makanan

iPHONE dihiasi dengan bingkai telur dan daging.

TOKYO - Bingkai telefon iPhone kini berbentuk pelbagai jenis makanan seperti mi, telur, sushi dan coklat, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia kini menjadi kegilaan terbaharu di Jepun.
Namun, terdapat sedikit masalah pada bingkai tersebut kerana ia menghalang lubang kamera pada telefon bimbit itu. - Agensi

Nelayan rakam imej raksasa di Alaska

KEPALA raksasa (kiri) yang berjaya dirakamkan oleh seorang nelayan di Teluk Cadboro, British Columbia.
TELUK CADBORO, British Columbia - Imej seekor raksasa yang mempunyai bonggol di bahagian belakang berjaya dirakamkan di sini oleh seorang nelayan pada 2009 dekat Alaska, lapor sebuah akhbar semalam.
Imej itu disiarkan dalam program Discovery Channel kelmarin.
Bekas ketua di Jabatan Bumi dan Sains Lautan, Paul LeBlond berkata, dia tertarik dengan video tersebut.
"Walaupun dirakamkan semasa hujan dalam kapal yang bergoyang, ia amat asli," katanya. - Agensi

Tuesday, July 19, 2011

Mahu elak bayaran, kereta dihanyutkan ke laut

KERETA Alfa Romeo mula tenggelam akibat air pasang di sebuah pelabuhan di Portmouth, Britain pada Jumaat lalu.

PORTSMOUTH, Britain - Seorang pemandu di Britain kerugian besar semata-mata dia mahu mengelak daripada membayar tiket pakir berharga cuma £2 (RM9.60), lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang mahu mengelak daripada membayar tiket parkir bertindak memilih untuk meletakkan keretanya secara percuma di tepi sebuah pelabuhan di sini daripada memasuki sebuah kawasan kereta berdekatan.
Pemandu itu kemudian menaiki tren untuk menuju ke London pada Jumaat lalu.
Namun, tindakannya memakan diri apabila keretanya mula dibanjiri air laut ketika air pasang dan beralih kedudukan kerana dibawa arus.
Kereta Alfa Romeo berharga £30,000 (RM145,507).
Polis gagal mengesan pemilik kereta itu tetapi berjaya menghubungi menantunya, Steve Sterling.
Menurut Sterling, bapa mentuanya akan kecewa apabila mengetahui mengenai kejadian itu. - Agensi

London dibanjiri kereta mewah putih

TIGA buah kereta mewah, Maybach Xenatec (kiri), Ferrari 599 dan Bugatti Veyron diletakkan di Hotel Dorchester, London baru-baru ini.

LONDON, Britain - Sekumpulan kasanova kaya dari Asia Barat tiba di pusat bandar di sini dengan menaiki puluhan kereta sport yang semuanya berwarna putih, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan jutawan berganda berkenaan singgah untuk menginap di sebuah hotel mewah, Hotel Dorchester, semasa mereka dalam perjalanan untuk menjelajah ke beberapa destinasi menarik di Eropah sempena percutian musim panas.
Antara kereta mewah yang dipandu mereka termasuk kereta sport Koenigsegg Agera R yang berharga £1 juta (RM4.8 juta), Bugatti Veyron berharga £1.2 juta (RM5.8 juta), Maybach Xenatec berharga £600 ribu (RM2.9 juta) dan tidak terkecuali, sebuah Ferarri 599 yang memiliki harga jualan £200 ribu (RM967,586) di Britain.
"Nampaknya putih menjadi warna trend pada tahun ini," kata seorang graduan kejuruteraan berusia 22 tahun yang berada di lokasi itu.
Ramai warga Arab kaya-raya memilih untuk melancong ke Eropah pada bulan ini untuk mengelakkan suhu ekstrem di negara-negara Asia Barat yang mengalami musim panas. - Agensi

13 robot filem Transformers dipamer

SEJUMLAH orang mengerumuni sebuh robot Transformers di Changchun, Jilin.

BEIJING - Sebanyak 13 robot yang digunakan dalam franchais filem Transformers dipamerkan di sebuah taman di Changchun, Jilin, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejumlah besar orang merakamkan gambar dan melihat replika robot itu seperti Optimus Prime,Bumblebee dan Megatron pada Sabtu lalu.
Kehadiran robot itu memberi petanda bahawa China akan mempunyai taman tema Transformers.
Robot-robot itu akan dipindahkan selepas kerja-kerja untuk membina taman tema Transformersdilakukan. - Agensi

Monday, July 18, 2011

Teksi dihempap kereta SUV

BUMBUNG sebuah teksi remuk dihempap kenderaan Land Rover (kiri) di New York kelmarin.

NEW YORK - Bumbung sebuah teksi dihempap kenderaan utiliti sukan (SUV), Land Rover yang terbabas semasa dipandu selaju 193 kilometer sejam di sebuah jejantas, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi waktu tempatan pada Sabtu lalu apabila Land Rover itu terbabas dan merempuh penghadang lebuh raya sebelum terbalik dan menghempap bumbung teksi.
Kenderaan Land Rover itu jatuh dari ketinggian 6.09 meter dan menghempap bumbung teksi tersebut yang sedang berhenti di sini.
Namun, apa yang menakjubkan tiada sesiapa pun yang cedera dalam nahas itu.
Land Rover itu dinaiki tujuh orang dengan dua daripadanya cedera parah manakala pemandu teksi hanya mengalami kecederaan kecil.
Anggota-anggota perkhidmatan kecemasan terpaksa menarik bumbung Land Rover untuk menyelamatkan mangsa.
"Saya hampir pengsan apabila melihat kereta tersebut," kata saudara pemandu teksi itu, Amar Abbas.
"Saya hampir kehilangannya. Dia seorang lelaki yang bertuah," tambahnya.
Menurut seorang saksi, Brian Duncan, dia bergegas ke teksi itu dan mendapati pemandunya, Raza Abbas menjerit selepas bumbungnya dihempap Land Rover. - Agensi

Anjing gigit ikan jerung

ANJING itu mendekati seekor ikan jerung.

SYDNEY - Satu rakaman video menunjukkan seekor anjing menggigit ikan jerung di sebuah lokasi di Australia, lapor sebuah akhbar semalam.
Rakaman itu disiarkan di laman YouTube yang menunjukkan anjing tersebut berenang ke arah sekumpulan ikan berkenaan sebelum menyelam untuk menggigit seekor ikan jerung.
Lelaki yang merakamkan kejadian itu menyatakan dia tidak pernah melihat kejadian tersebut sebelum ini. - Agensi

Thursday, July 14, 2011

Rombongan kenderaan mewah dalam perarakan jenazah

SATU perarakan melibatkan kenderaan mewah mengiringi kereta jenazah Rolls-Royce di sebatang jalan raya di Essex, Britain baru-baru ini.

BILLERICAY - Satu perarakan melibatkan sejumlah kenderaan mewah mengiringi sebuah kereta Rolls-Royce yang membawa jenazah pengasas lokasi tempat tinggal pengembara terbesar di Eropah, William Saunders di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejumlah kereta mewah Mercedes dipandu mengiringi jenazah itu selain trak pikap berwarna putih, van dan lori di sebatang jalan raya ke lokasi pengebumian dari rumah Saunders di Bukit Crays, Essex, Britain baru-baru ini.
Beberapa pegawai polis menutup sebahagian jalan raya bagi memberi laluan perarakan tersebut.
Seorang saksi berkata: "Saya tidak pernah melihat satu perarakan jenazah seperti ini."
Saunders yang berumur dalam lingkungan 60-an mati kerana kanser pada bulan lalu.
Keluarganya membeli tanah di Bukit Crays pada tahun 1980-an selepas lama berusaha untuk mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Basildon.
Kaum keluarga Saunders dan rakan-rakannya kemudian berpindah manakala pada tahun 2000-an, pengembara Ireland turut menetap di kawasan itu. - Agensi

Pemuda tunjuk cara jadikan komputer seperti iPad

SKRIN komputer sebelum diletakkan dalam sarung seperti buku untuk kelihatan seperti iPad.

BEIJING - Seorang lelaki di China, Liu Xinying menunjukkan cara-cara memasang sendiri komputer tablet menyerupai gajet popular keluaran Apple, iPad tetapi melibatkan kos yang lebih murah.
Dalam klip video 20 minit di laman perkongsian video China, Youku, lelaki itu menunjukkan cara bagaimana untuk memasang komputer tablet mirip iPad itu dengan menggunakan beberapa peralatan komputer, sebuah skrin sentuh bersama sebuah sarung serta papan kekunci.
Pada penghujung klip video berkenaan yang berjudul DIY IPAD 3, Xinying menunjukkan komputer tablet berkenaan yang sudah siap dipasang.
Komputer tablet pasang sendiri itu agak tebal dan berfungsi seperti iPad tetapi ia dijana sistem operasi Windows keluaran Microsoft.
Berita mengenai kehebatan lelaki itu seterusnya tersebar di beberapa laman web luar negara dan laman teknologi China selain laman jaringan sosial tempatan, Weibo.
Apabila dihubungi, pemuda berusia 21 tahun dari wilayah Shandong, timur China itu berkata, sejak klip video itu disiarkan di Youku pada bulan lalu dia terpaksa menolak lebih 12 permintaan orang ramai yang mahukannya membuat komputer pasang siap tersebut.
"Saya membuat komputer pasang sendiri ini untuk keseronokan sahaja," kata Xinying yang bekerja di sebuah kedai komputer di bandar raya Jinan.
"Kos untuk membuat komputer ini bersamaan 2,000 yuan (RM933)," tambahnya.
Kos tersebut adalah jauh lebih murah berbanding versi iPad 2 termurah di China yang dijual pada harga sekitar 3,688 yuan (RM1,721) manakala model iPad 64 gigabit iaitu yang paling mahal di negara berkenaan pula berharga 5,288 yuan (RM2,467). - AFP

Piramid tertua diselamatkan dengan beg udara

KAHERAH - Piramid tertua di Memphis, Mesir berjaya diselamatkan daripada runtuh dengan menggunakan beg udara sebagai penampan siling, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bangunan berusia 4,700 tahun itu terpaksa distabilkan bagi membolehkan jurutera melakukan kerja-kerja pembaikan.
Struktur mega itu dibina sebagai makam untuk mengebumikan Firaun Djoser, seorang pahlawan yang memerintah pada dinasti ketiga selama 19 tahun.
"Keseluruhan struktur bakal musnah pada bila-bila masa disebabkan gempa bumi. Namun kami menstabilkan dengan meletakkan beg udara dan akan memulakan kerja pembaikan ke atas bangunan yang menakjubkan ini," kata ketua jurutera, Peter James. - Agensi

Tuesday, July 12, 2011

Jurujual kereta pecah rekod perjalanan udara

STUKER sering mendapat keistimewaan untuk terbang dengan penerbangan kelas pertama.

LOS ANGELES - Seorang jurujual kereta yang merupakan pengguna setia syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mencatat perjalanan udara sejauh 16 juta kilometer.
Thomas Stuker yang berasal dari Chicago menaiki pesawat hampir 6,000 kali selama 29 tahun untuk urusan jual beli kereta. Jarak yang dilaluinya juga dikatakan bersamaan dengan mengelilingi bumi sebanyak 400 kali.
Berikutan rekod itu, Stuker diibaratkan seperti Ryan Bingham, watak yang dilakonkan oleh George Clonney dalam filem Up In The Air pada tahun 2010.
"Saya mengambil masa selama 20 tahun untuk mendapatkan jarak sejauh 8.04 juta kilometer (km) pertama, sebelum menggandakan penerbangan bagi mendapatkan 16.09km dalam tempoh 10 tahun," katanya kepada ABC News.
Dia menghabiskan lebih banyak masanya di dalam pesawat berbanding berada di dalam kereta kerana menguruskan urusan jual-beli kereta di AS dan di seluruh dunia.
Kesetiaannya dan jumlah jarak penerbangan itu membolehkan dia memiliki akses ke lounge istimewa di hub syarikat penerbangan United di Chicago dan penerbangan kelas pertama. Malah, sebuah kapal terbang dinamakan sempena namanya. - Agensi

Gimnas cacat mampu buat aksi akrobatik

STARR mahu kesungguhannya menjadi inspirasi kepada orang lain.

MINNESOTA, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ahli gimnastik membuktikan dia masih boleh melakukan aksi akrobatik meskipun hanya mempunyai sebelah kaki.
Adam Starr, kehilangan kaki hingga ke paras lutut akibat kanser pada 2009, memuat naik video dia sedang melakukan aksi lompat kuang ke laman perkongsian video, YouTube yang bertajuk Adam's First Time Back At The Gym.
Lelaki berusia 21 tahun itu merakam aksi berkenaan ketika berada di kelab Gymnastik Northfield, Minnesota. Ini sekali gus membuktikan tiada halangan untuknya melakukan aksi yang pernah dilakukan sebelum dia kehilangan kaki kanannya.
"Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka yang turut kehilangan kaki seperti saya," katanya kepada MailOnline.
Adam berkecimpung dalam dunia gimnastik sejak berumur 11 tahun. Namun ini adalah pertama kali dia membuat lompatan balik kuang sejak kakinya dipotong.
"Perkara paling susah ialah ketika mendarat. Ia memerlukan keseimbangan," katanya. - Agensi

Edisi terakhir News of the World dibida pada harga RM141 senaskhah

SEORANG lelaki membaca naskhah akhir akhbar yang sudah berada di pasaran selama 168 tahun itu.

LONDON - Edisi terakhir tabloid nombor satu Britain, News of the World kelmarin dijual di laman lelongan ebay pada harga mencecah AS$47 (RM141) senaskhah, lapor sebuah akhbar semalam.
Edisi terakhir News of the World itu menjadi rebutan di laman web berkenaan selepas akhbar itu habis dijual dalam tempoh cuma beberapa jam berada di pasaran.
Lebih empat juta naskhah akhbar itu habis dijual kelmarin, sekali gus menjadikannya jualan akhbar paling laris di Britain dalam tempoh satu dekad.
Akhbar berkenaan yang dimiliki oleh taikun media Amerika Syarikat (AS), Rupert Murdoch ditutup bermula semalam kerana dikaitkan dengan skandal pengintipan perbualan telefon melibatkan lebih 4,000 mangsa.
"Orang ramai berebut untuk membeli edisi terakhir News of The World sebaik sahaja kedai dibuka," kata seorang peniaga tempatan yang memberitahu akhbar tersebut habis dijual seawal pukul 8 pagi.
Akhbar yang ditutup oleh pemiliknya, News International itu mengetengahkan tajuk: Thank You & Goodbye.- Agensi

Monday, July 11, 2011

Katy Perry beli rumah RM19.27j

BEBERAPA gambar yang menunjukkan bahagian dalam dan landskap rumah baharu milik Katy Perry dan suaminya.

NEW YORK - Pasangan selebriti terkenal, Katy Perry dan suaminya yang merupakan seorang pelawak dari Britain, Russell Brand membeli rumah baru di Los Angeles, yang berharga £4 juta (RM19.27 juta), lapor akhbar News of The World semalam.
Menurut satu sember, pasangan itu mahu membeli sebuah rumah yang lebih besar kerana meraka merancang untuk mendapatkan anak.
Pada awal tahun ini, Perry yang merupakan seorang penyanyi terkenal menyatakan dia mahu memperoleh anak.
Russell juga pernah menyatakan bahawa dia juga berharap akan dapat menjadi bapa dalam tempoh yang singkat. - Agensi

Beruang jantan sesat cari teman hidup

BERUANG itu jatuh ke atas jaring yang dipegang oleh beberapa pegawai hidupan liar.

NEW YORK - Seekor beruang jantan yang duduk di atas pokok ditembak dengan ubat pelali oleh seorang pegawai hidupan liar selepas haiwan itu sesat kerana mencari beruang betina di sebuah taman di East Brunswick, New Jersey.
Selepas ditembak, beruang itu jatuh ke atas jaring yang dipegang oleh beberapa pegawai hidupan liar di bawah pokok dalam kejadian yang berlaku pada 6 Julai lalu.
Beruang itu sebelum ini pernah ditemui di enam buah pekan pada tahun lalu selepas dibebaskan oleh para pegawai hidupan liar ke hutan simpan.
Seorang pakar hidupan liar, Kim Tinnes berkata, beruang itu mungkin berjalan lebih 160.93 kilometer.
Pakar-pakar percaya haiwan berusia tiga tahun itu mahu mencari beruang betina kerana ia gagal mengatasi kehebatan memikat beruang jantan lain yang mempunyai badan jauh lebih besar. - Agensi

Ibu lahir bayi 7.3kg

BAYI yang dilahirkan Janet Johnson seberat 7.3 kilogram di sebuah hospital di Longview, Texas pada Jumaat lalu.

DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang ibu, Janet Johnson melahirkan anak lelaki menerusi pembedahan yang seberat 7.3 kilogram (kg) di sebuah hospital di Longview, Texas, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Beberapa pegawai berkata, bayi itu mungkin yang paling berat pernah dilahirkan di negeri Texas.
Ibunya tidak pernah menjangka anaknya itu terlalu berat semasa dilahirkan kerana doktor pernah memberitahu mengenai bayinya mungkin seberat 5.4kg.
Bayi yang dilahirkan pada Jumaat lalu itu merupakan anak keempat pasangan itu.
Janet sebelum ini mempunyai tiga anak perempuan berusia 18 tahun, 16 tahun dan 10 tahun.
Dia menghidap diabetes semasa melahirkan anak lelaki itu. - Agensi

Friday, July 8, 2011

Kapten MU ada 10 kekasih gelap

LONDON - Seorang penari lucah, seorang model bogel dan seorang penyanyi pop merupakan sebahagian daripada 10 wanita yang menjalin hubungan sulit dengan kapten kelab bola sepak Manchester United (MU), Rio Ferdinand, lapor sebuah akhbar semalam.
Nama sekurang-kurangnya 10 wanita yang didakwa kekasih gelap Ferdinand itu didedahkan di Mahkamah Tinggi London kelmarin semasa perbicaraan kes saman ganti rugi bintang MU berkenaan terhadap sebuah akhbar mingguan tempatan kerana menyiarkan berita hubungan sulitnya dengan seorang pereka dalaman, Carly Storey.
Ferdinand, 32, yang turut mewakili pasukan England telah berkahwin dengan Rebecca Ellison pada 2007 dan mereka kini mempunyai 3 anak.
Pemain pertahanan MU itu cuma menuntut ganti rugi berjumlah £50,000 (RM240,527) terhadap akhbar berkenaan kerana melanggar hak peribadinya dengan menyiarkan laporan tersebut walaupun dia memperoleh pendapatan dianggarkan jutaan pound.
Namun, peguam defendan, Gavin Millar memberitahu mahkamah bahawa pendedahan memalukan itu perlu dibuat demi menjaga kepentingan awam dan untuk mendedahkan sikap sebenar Ferdinand yang sebelum ini dilabel pemain bersih daripada sebarang skandal.
"Dia (Ferdinand) telah mengabui mata orang awam selama beberapa tahun," kata peguam tersebut.
Antara wanita yang didakwa pernah menjalinkan hubungan dengan Ferdinand termasuk dua model Israel, Lilach Yafe dan Tslil Sela masing-masing berusia 29 dan 22 tahun, model Brazil, Tatiane Rosalino, 26, model bogel, Holly McGuire, 33, dan penari lucah berusia 22 tahun, Coralie Robinson serta pramugari syarikat Virgin, Lauren Alcorn. - Agensi

Pembersih hampagas dibuat daripada kadbod

JAKE TYLER bergambar bersama pembersih hampagas ciptaannya yang diperbuat daripada kadbod.

LONDON - Seorang pencipta Britain berusia 22 tahun, Jake Tyler mencipta pembersih hampagas daripada barangan kitar semula kadbod, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang merupakan pelajar rekaan industri di Universiti Loughborough berharap ciptaannya itu akan dapat dijual di pasaran Asia seperti China dan Hong Kong.
Tyler mencipta pembersih hampagas itu dengan kerjasama kakitangan syarikat pengeluaran peralatan pembersihan, Vax di Worcestershire.
Syarikat itu tertarik dengan ciptaan Tyler sehingga ia berhasrat untuk dipasarkan. - Agensi

Kereta 'hantu' bakal dilelong RM1.42 juta

KERETA Pontiac Deluxe Six yang lut sinar.

MICHIGAN - Sebuah kereta Pontiac Deluxe Six yang dikeluarkan pada 1939 dijangka dilelong pada harga AS$475,000 (RM1.42 juta) pada hujung bulan ini di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta itu diberi gelaran 'hantu' kerana badannya yang lut sinar dan dihasilkan oleh General Motors dengan kerjasama syarikat kimia Rohm dan Haas pada harga AS$25,000 (RM75,262).
Model kereta itu dilengkapi dengan enjin enam silinder, brek hidraulik dan transmisi manual tiga kelajuan dihasilkan untuk Pameran Dunia New York pada 1939-1940.
Kereta itu diperbuat daripada kaca lut sinar Plexiglas yang pernah digunakan dalam pembuatan pesawat tentera semasa Perang Dunia II.
Pemilik Pontiac itu kini mewarisi kenderaan itu daripada bapanya yang membelinya dari pengumpul kereta klasik, Leo Gephart pada awal 1980-an. - Agensi

Thursday, July 7, 2011

Menang ratu cantik selepas kuruskan badan

BREE BOYCE menang Ratu Cantik Carolina Selatan di Columbia, Amerika Syarikat pada 2 Julai lalu.

COLUMBIA, Amerika Syarikat - Walaupun sebelum ini memiliki berat badan 104 kilogram (kg), Bree Boyce yang berusia 22 tahun mampu membuktikan bahawa boleh memenangi Ratu Cantik Carolina Selatan selepas dia menurunkan berat badannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Setelah berjaya menurunkan berat badan sehingga 49kg, Bree telah memenangi pertandingan ratu cantik peringkat negeri itu pada 2 Julai di sini.
Dia yang merupakan seorang penyanyi dari Carolina Selatan membuat kejutan dengan kemenangan itu dan bakal bertanding dalam Ratu Cantik Amerika yang akan berlangsung di Las Vegas, Januari depan.
Beberapa foto menunjukkan dia mengalami transformasi mendadak daripada gadis berbadan gemuk sehingga menjadi seorang wanita yang berkeyakinan dan menawan kerana bentuk badan Bree kini kurus.
"Matlamat saya ialah menginspirasikan semua peringkat umur untuk menjadi sihat menerusi amalan pemakanan yang sihat, senaman dan percaya pada diri sendiri.
"Anda mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan anda,
"Saya begitu teruja untuk berkongsi pengalaman ini bersama rakan-rakan. Saya cukup bertuah kerana dapat berjumpa orang ramai menerusi lawatan di sekolah dan acara kebajikan," katanya menerusi laman sosial Facebook.
Bree memberitahu, dia tidak percaya dengan diet kerana sering gagal dengan mencuba kaedah itu sebaliknya melihat badannya seperti sebuah kereta yang memerlukan bahan api untuk bergerak dengan lebih cekap.
"Kalau saya mahu makan kek coklat saya akan makan tetapi bukan setiap hari dan setiap jam. Kamu perlu mengambilnya secara sederhana," jelasnya. - Agensi