Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Friday, April 29, 2011

Tiga juta pemain video Sony digesa batal kad kredit

GAMBAR fail menunjukkan permainan video 
PlayStation di Hanover, Jerman pada 15 Mac 2007.

LONDON - Sejumlah tiga juta pemain permainan video yang menjadi mangsa penggodam melibatkan rangkaian permainan Sony PlayStation di Britain digesa agar membatalkan kad kredit mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Nasihat itu diberikan selepas Sony berdepan kemarahan 77 juta pengguna Sony PlayStation di seluruh dunia yang kini berisiko menjadi mangsa kumpulan penipu yang mencuri nama, maklumat, data bank serta kata laluan mereka.
"Ia merupakan antara kes menggodam data yang terbesar pernah direkodkan. Jika kad kredit saya hilang semasa saya menaiki teksi, saya akan membatalkannya. Namun, ia lebih teruk jika Sony menghilangkan maklumat kredit kad anda," kata seorang pakar keselamatan komputer, Graham Cluley.
"Pencerobohan internet ini bukan sahaja menjatuhkan imej Sony tetapi turut mendatangkan bahaya kepada para penggunanya," tambah pakar berkenaan.
Para pemain berang kerana Sony hanya mendedahkan perkara itu pada Selasa lepas iaitu seminggu selepas akses dalam talian melibatkan Rangkaian PlayStation digantung.
"Anda (Sony) menunggu hingga seminggu untuk memberitahu kami bahawa data peribadi kami telah digodam," kata seorang pengguna Rangkaian PlayStation.
Mengulas mengenai ketidakpuasan hati pengguna, Sony bagaimanapun menyatakan, ia lambat mendedahkan perkara tersebut kerana pada awalnya tidak menyedari bahawa pencerobohan maklumat itu berlaku pada skala besar.
Dalam perkembangan terkini, Sony memberitahu, ia telah menukarkan maklumat peribadi yang dicuri penggodam ke dalam bentuk kod rahsia sekali gus mengurangkan risiko maklumat tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.
Ia turut menyatakan bahawa tidak ada bukti bahawa data maklumat kad kredit tersebut sudah dicuri.
Menurut Sony, data kad kredit itu telah diasingkan daripada maklumat yang terdapat dalam kad berkenaan.
- Agensi

Penyelam temui harta karun jutaan dolar

SEBAHAGIAN duit syiling dan harta karun yang ditemui oleh kumpulan penyelam Deep Blue Marine.

SANTO DOMINGO - Kira-kira 700 duit syiling perak, batu cermin dan barang kemas penduduk Mayan pada era tahun 1500-an ditemui di dasar laut di luar pantai Republik Dominica, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia ditemui oleh satu pasukan dari kumpulan pencari harta karun, Deep Blue Marine selepas mereka melakukan tinjauan 67.59 kilometer dari pantai dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.
Semasa membuat tinjauan itu, seorang nelayan tempatan menjual kepada mereka satu syiling lama yang ditemuinya semasa menyelam.
Anggota-anggota pasukan pencari harta karun itu mendapati ia merupakan antara duit syiling yang paling lama pernah ditemui.
"Kami bercakap kepada lelaki itu jika dia menunjukkan lokasi duit syiling tersebut ditemui, anda boleh bekerja dengan saya," kata Naib Presiden Deep Blue Marin, Randy Champion.
Kebanyakan duit syiling itu tidak mempunyai tarikh menyebabkan anggota-anggota kumpulan tersebut membuat rujukan dengan mencari maklumat menerusi sejumlah buku untuk mengetahui tahun duit berkenaan.
Menurut Champion, pasukan itu menyelam pada musim luruh yang lalu dan akan pergi ke lokasi tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.
Bangkai kapal itu kini dipenuhi pasir dan terumbu karang. - Agensi

Sukan arnab melompat kian popular

SNOPPY melompat satu halangan di sebuah kelab Kaninhop di bandar Jena, jerman baru-baru ini.

JENA, Jerman - Pertandingan arnab melompat melepasi pagar kini menjadi sukan baharu yang digilai di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.
Mula diperkenalkan di Sweden pada awal tahun 1980-an, acara yang dikenali sebagai Kaninhop itu memerlukan arnab-arnab melompat melepasi halangan yang terdiri daripada pelbagai saiz serta ketinggian.
Seekor arnab berwarna putih hitam bernama Snoopy dari bandar Jena, Jerman merupakan bintang di kelab Kaninhop tempatan.
"Snoopy boleh melompat setinggi 60 sentimeter. Ia juga hebat dalam pertandingan dengan pernah menduduki tempat kedua dan ketiga," kata pengasas kelab Kaninhop di Jena, Claudia Fehlen.
- Agensi

Thursday, April 28, 2011

Obama dedah sijil lahir

SIJIL kelahiran Barack Obama yang didedahkan semalam.

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mendedahkan sijil kelahirannya bagi menamatkan isu bahawa beliau bukan warga AS.
“Kami tidak mempunyai masa untuk kebodohan ini,” kata Obama menerusi ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari White House di sini.
Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa beliau tidak dilahirkan di AS sehingga menyebabkan bilionair terkenal, Donald Trump menghantar para penyiasat ke Hawaii untuk mengesahkan kedudukan sebenar Obama.
Desas-desus itu juga menyebabkan ahli-ahli perwakilan di negeri Arizona mengundi rang undang-undang yang mahukan calon presiden menunjukkan bukti mereka lahir di AS.
Dalam sijil kelahiran yang didedahkan semalam, Obama dinyatakan dilahirkan oleh bapa keturunan Kenya dan ibu warga AS di Hawaii.
Tempat lahir Obama di Hawaii itu sekali gus menyebabkan beliau layak untuk memegang jawatan presiden AS berdasarkan perlembagaan negara ini.
Dokumen kelahiran Obama itu ditandatangani oleh seorang doktor yang menyambut kelahirannya di Hanolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961.
“Saya yakin, bahawa rakyat Amerika dan pemimpin politik Amerika boleh bersatu dalam apa jua cara dan menyelesaikan masalah ini,” kata Obama. – Agensi

Pengguna Playstation terkejut, kecewa

GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki bermain permainan Sony PlayStation 3 di Tokyo, Jepun pada 9 November 2006.

TOKYO – Syarikat Sony Corp memberi amaran bahawa penggodam mencuri nama, alamat dan kemungkinan kad kredit daripada 77 juta pengguna akaun rangkaian permainan video dalam talian Playstation.
Pendedahan itu merupakan salah satu daripada pencerobohan maklumat keselamatan di internet yang paling besar pernah berlaku.
Syarikat gergasi elektronik dari Jepun itu tidak memberitahu mengenai kecurian maklumat tersebut sehingga kelmarin, beberapa jam selepas ia mempamerkan komputer tablet pertama keluarannya.
Tindakan Sony menangguhkan pengumuman mengenai penggodaman itu mencetuskan kemarahan pengguna-pengguna gajet tersebut, hampir 90 peratus daripadanya di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Perasaan marah dalam kalangan pengguna permainan itu diluahkan di laman forum PS3news.com.
“Jangan membeli apa-apa pun yang berkaitan dengan Sony.
“Saya perlu menukar semua akaun manakala kad kredit dikeluarkan semula untuk melindungi diri saya daripada kegagalan Sony,” kata seorang anggota forum tersebut, Jarvis.
Para pembeli-belah di London menyatakan mereka akan keluar dari rangkaian Playstation yang membolehkan mereka bermain permainan bersama 77 juta pengguna.
Salah seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Albert berkata, dia terpaksa menimbang semula sama ada untuk menggunakan permainan tersebut. – Agensi

Wednesday, April 27, 2011

Emma Watson nafi tukar universiti kerana dibuli

EMMA WATSON

LONDON - Bintang filem Harry Porter, Emma Watson yang akan menghentikan pengajiannya di Universiti Brown pada musim luruh ini menafikan bahawa dia menjadi mangsa buli sehingga mengambil keputusan untuk berpindah ke universiti lain, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengumuman itu dibuat oleh pelakon berusia 21 tahun tersebut beberapa hari selepas timbul dakwaan mengatakan dia sering diejek dan dibuli oleh rakan-rakan sekelasnya.
Emma dikatakan menjadi subjek usikan sinis oleh kawan-kawannya ketika dia menjawab soalan daripadapensyarah sewaktu kuliah.
Menurut sumber terdekat Emma kepada akhbar New York Daily News: "Kawan-kawan sekelas Emma akan menyampuk sambil meniru dialog paling popular dalam skrip filem Harry Porter."
Jurucakap selebriti yang dianggar memiliki kekayaan berjumlah AS$16.4 juta (RM49.5 juta) itu, Vanessa Davies mengatakan Emma sebenarnya ingin mengambil kursus yang tidak ditawarkan oleh Universiti Brown.
Tidak wujud isu dia dibuli kerana selama ini Emma difahamkan cukup suka menghabiskan waktu belajar di institusi tersebut.
Emma yang memulakan pengajian di universiti yang terletak di Rhode Island itu sebelum ini mengaku berdepan perasaan bimbang jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya sewaktu kali pertama mendaftar pada September 2009.
Davies turut menafikan khabar angin bahawa Emma yang mengambil jurusan Sejarah dan Drama Wanita Eropah memilih Ivy League sebagai tempat menyambung pengajian selepas ini.
Universiti Brown menjadi salah satu pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat yang mempunyai alumni terdiri daripada bekas presiden, diplomat-diplomat, golongan diraja dan selebriti lain. - Agensi

Melamar menggunakan teka silang kata

Inilah teka silang kata yang lengkap dengan lamaran yang digunakan oleh Corey Newman.

WASHINGTON - Seorang lelaki, Corey Newman menggunakan teka silang kata sebagai satu cara unik untuk melamar kekasihnya, Marlowe Epstein, lapor sebuah akhbar semalam.
Newman yang berusia 28 tahun berpakat dengan akhbar Washington Post untuk bertanyakan soalan itu kepada Epstein, 31, menerusi satu kolum teka silang kata.
Pembayang untuk soalan nombor 51 berbunyi: Kata-kata yang mempunyai cincin padanya. Apabila Epstein menjawab dengan betul: "Adakah awak ingin berkahwin dengan saya?" Newman terus melutut dan menyerahkan sebentuk cincin permata dan mengulangi soalan sama.
Epstein yang namanya diambil daripada pembayang nama watak dalam filem Shakespeare in Love dan penulis layar filem Casablanca itu menerima lamaran tersebut.
Washington Post yang melihat lamaran tersebut sebagai satu cerita yang bagus telah merakamkan semua detik itu, sebelum memasukkan ke dalam laman webnya. - Agensi

Tuesday, April 26, 2011

Kecoh penyanyi protes separuh bogel

LEE MI duduk dengan memegang poster di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di Taipei semalam.

TAIPEI - Seorang penyanyi, Lee Mi mencetuskan kekecohan kerana dia melakukan protes separuh bogel di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di sini semalam.
Tindakan itu dibuat kerana dia mahu membangkitkan kesedaran mengenai kempen keselamatan nuklear.
Dalam protes itu, dia duduk sambil memegang poster yang menutup payu daranya manakala beberapa orang lagi memakai baju berwarna putih.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis datang dan menghampiri penyanyi berkenaan.
Tubuh badan penyanyi itu yang separuh bogel kemudian ditutup dengan sehelai kain oleh anggota-anggota polis wanita.
Tunjuk perasaan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 krisis Chernobyl, Ukraine yang berlaku pada 26 April 1986.
Isu keselamatan nuklear semakin mendapat perhatian masyarakat dunia ekoran kejadian yang berlaku di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang bocor akibat dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu.
Sehingga kini loji itu gagal dibaiki menyebabkan berlaku kebocoran radioaktif. - Agensi

Monday, April 25, 2011

Adiwira lindungi pelacur di New York

(kiri) SHADE dan (kanan) ZERO

NEW YORK - Beberapa orang yang memakai pelbagai kostum yang menunjukkan mereka adiwira mengiklankan perkhidmatan di laman Criagslist di Internet untuk melindungi pelacur daripada dibunuh oleh pembunuh bersiri di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan adiwira itu yang menggelarkan diri sebagai Inisiatif New York (NYI) menganggap diri mereka mahir dalam seni mempertahankan diri.
Tawaran itu dibuat selepas satu siri pembunuhan pelacur bermula pada Disember lalu dengan kehilangan Shannan Gibert berusia 24 tahun.
Sehingga kini, mayatnya masih belum ditemui tetapi 10 mayat pelacur lain telah ditemui termasuk Maureen Brainard-Barnes, 25, Melissa Barthelemy, 24, dan Amber Lynn Costello, 27.
Sebahagian mayat yang ditemui itu dibuang di belukar di pantai selatan Long Island, New York. Semua mayat dijerut dan dimasukkan ke dalam guni.
Kumpulan adiwira itu akan memakai kostum seperti watak wira super dalam komik dan filem. Antara anggota kumpulan tersebut ialah Shade dan Zero. - Agensi

Ikan lumba-lumba melompat tinggi

BEBERAPA ekor ikan lumba-lumba membuat lompatan yang tinggi di Lautan Atlantik dekat Pulau Pico 
baru-baru ini.

PULAU PICO - Seorang jurugambar Britain, Anthony Pierce, 30, dari Leeds merakamkan gambar beberapa ikan lumba-lumba melompat tinggi dari laut, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan ikan lumba-lumba itu melompat setinggi 4.57 meter ke udara setinggi bas dua tingkat di perairan pulau ini di Lautan Atlantik.
"Amat sukar untuk membuat rakaman gambar kerana ikan-ikan itu berada di atas permukaan air dalam tempoh beberapa saat," kata Pierce baru-baru ini. - Agensi

Bieber dikritik kerana sebut Hello, Manila di KL

MANILA - Penyanyi terkenal, Justin Bieber dikritik di laman Twitter kerana dia menyebut, "Hello, Manila" semasa melakukan persembahan di Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Menurut laporan stesen televisyen ABC semalam, dia sepatutnya menyebut Hello, Malaysia dan bukannya Hello, Manila dalam persembahan pada 21 April lalu.
"Justin Bieber mengalu-alukan rakyat Malaysia Hello, Manila, memakai jersi Barcelona (kelab bola sepak) di Madrid. Justin Beiber, anda memerlukan peta," kata seorang peminat yang mahu dikenali sebagai abygo.
Seorang lagi pengguna Twitter menyatakan: "Justin Biber kepada para peminatnya di Malaysia: Hello Manila! Hahaha! Saya menyayanginya. Dia seperti makhluk planet Marikh."
Bagaimanapun, gelagat Bieber itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan peminat di Filipina kerana dia akan membuat konsert di sini pada 10 Mei depan.
"Justin Bieber menjerit Hello Manila berbanding Hello Malaysia .. haha mungkin dia terlalu teruja untuk datang ke sini," kata seorang pengguna Twitter ClichaeyeLuvJB.
Seorang lagi pengguna laman itu, JerielBeliebs berkata:
"Hello Manila? teruja sangat si Justin."
Bieber yang berusia 17 tahun dan dilahirkan di Kanada kini dalam siri lawatan ke Asia.
Kelmarin, dia yang terkenal dengan lagu Baby membuat persembahan di Sentul, Bogor, Indonesia. - Agensi

Friday, April 22, 2011

Hanya mulut dara dibenar petik daun teh

SEORANG gadis yang masih dara memetik daun teh China dengan menggunakan mulutnya di Ladang Jiuhua, Gushi, baru-baru ini.

GUSHI - Sebuah ladang teh di China hanya akan mengupah perawan untuk mengutip daun teh di ladang mereka kerana mahu mengekalkan kualiti daun itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Gadis-gadis itu juga tidak dibenarkan mengutip daun teh dengan tangan tetapi perlu menggunakan mulut mereka untuk melakukan tugas tersebut.
Daun teh yang sudah dipetik itu perlu dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang diikat di leher mereka.
Dalam satu iklan untuk mencari pemungut teh sepenuh masa, pihak pengurusan Ladang Jiuhua yang terletak di sini, wilayah Henan menyatakan, pemohon mesti seorang perawan dengan saiz payu dara yang agak besar.
"Mereka perlu membersihkan diri setiap kali sebelum mula bekerja dan melakukan senaman khas untuk menguatkan leher dan bibir," kata jurucakap ladang berkenaan, Li Yong.
Menurutnya, ladang itu menawarkan gaji £50 (RM249) sehari yang dianggap lumayan di China kepada gadis-gadis terbabit.
Legenda tempatan menyatakan, daun teh itu dipungut oleh pari-pari dengan menggunakan mulutnya dan minuman herba tersebut didakwa dapat mengubati pelbagai jenis penyakit. - Agensi

Telur ayam sebesar duit syiling

CHLOE HEATH-BYARD menunjukkan telur ayam yang kecil (kiri) dan telur ayam normal (kanan) di Gloucestershire, Britain baru-baru ini.

GLOUCESTERSHIRE - Seekor ayam di Britain mengeluarkan telur sebesar duit syiling 50 pence (RM2.46) yang dipercayai telur terkecil di negara berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Telur setinggi 3.3 sentimeter dengan lebar 2.5 sentimeter itu ditemui oleh seorang gadis, Chloe Heath-Byard, 15, ketika dia mengutip telur ayam di rumah neneknya di sini, barat daya England, baru-baru ini.
"Saya terkejut melihat telur ayam sekecil ini. Saiznya menyamai duit syiling 50 pence," katanya.
Chloe dan neneknya merancang untuk mengawet telur ganjil itu supaya dapat menyimpannya untuk satu jangka masa yang lama. - Agensi

Hingus wartawan wanita keluar semasa buat liputan

SAPHIA KHAMBALIA masih membuat liputan di depan kamera walaupun hingusnya meleleh di Toronto, Kanada baru-baru ini.

TORONTO - Seorang wartawan di Kanada, Saphia Khambalia merah padam apabila hingusnya meleleh dari hidungnya semasa dia membuat liputan di depan kamera dan disaksikan oleh penonton, lapor sebuah akhbar semalam.
Insiden yang memalukan itu berlaku baru-baru ini semasa wanita itu yang bekerja untuk stesen televisyen City TV News Torontomembuat laporan langsung di sebuah dewan di sini.
Ketika itu, dia membuat liputan mengenai kehadiran pelakon popular Hollywood, Charlie Sheen di bandar ini.
Semasa kali pertama hingusnya keluar, Khambalia, 23, menyapunya dengan menggunakan rambutnya tetapi sejurus kemudian, hingusnya masih lagi meleleh.
Bagi mengelakkan dirinya daripada terus malu, dia segera menamatkan laporannya apabila melihat hingusnya terus meleleh dan mengenai mikrofon yang dipegangnya. - Agensi

Thursday, April 21, 2011

Replika cincin tunang Putera William laris

CINCIN sebenar Kate Middleton.

LONDON - Replika cincin pertunangan Kate Middleton yang akan berkahwin dengan pewaris kedua takhta Britain, Putera William mendapat permintaan tinggi dengan dijual pada harga £6 (RM29.67), lapor sebuah akhbar semalam.
Harga sebenar cincin pertunangan batu nilam 18 karat dan berlian itu kini bernilai £250,000 (RM1.23 juta) berbanding harga asalnya £28,000 (RM138,462) pada 1983 semasa bapa William, Putera Charles memberikan ia kepada bakal isterinya, Puteri Diana yang juga ibu William.
Replika cincin itu dikeluarkan oleh syarikat Debenhams ekoran permintaan tinggi daripada pelanggan dan ia menyatakan tidak mampu menghasilkan stok untuk simpanan peniaga dalam tempoh yang singkat.
William dan Middleton akan akan berkahwin pada 29 April ini. - Agensi

Wanita guna tangan kanan milik penderma organ

EMILY FENNEL sebelum dia menerima tangan kanan milik penderma organ.

LOS ANGELES - Seorang wanita, Emily Fennel buat kali pertama kelmarin menunjukkan tangan kanan milik orang lain yang disambung menerusi satu pembedahan pemindahan transplan.
Sebelum ini, tangan kanannya kudung selepas dia terlibat dalam satu kemalangan kereta pada 2006.
Pada 5 Mac lalu, satu pasukan terdiri daripada 20 doktor, jururawat dan kakitangan sokongan melakukan pembedahan selama 14 jam 30 minit di Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA di sini bagi menyambung tangan tersebut.
"Saya berasa seperti ia tangan saya sendiri," katanya yang berusia 26 tahun.
Pembedahan itu diketuai Dr. Kodi Azari.
Fennell berharap dia akan kembali ke bandar Yuba pada bulan depan untuk bersama dengan seorang anak perempuannya yang berusia enam tahun dan meneruskan pemulihan di rumahnya. - Agensi

Monday, April 18, 2011

Biri-biri diwarnakan oren elak dicuri

SEJUMLAH bulu biri-biri milik John Heard yang berwarna oren di Devon, Britain.

DEVON - Seorang petani, John Heard di sini sanggup mewarnakan bulu sejumlah biri-biri miliknya dengan warna oren bagi mengelak ia dicuri, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Ia akan kelihatan seperti biri-biri yang ganjil tetapi muslihat itu berjaya dan saya hanya hilang seekor biri-biri pada tahun ini," kata Heard yang berusia 49 tahun.
Menurutnya, sebanyak 250 ekor biri-biri miliknya sebelum ini hilang sejak beberapa tahun lalu sebelum dia membuat keputusan untuk mewarnakan bulu haiwan itu.
"Muslihat itu berjaya kerana haiwan itu mudah untuk dibezakan (dengan ternakan lain) menjadikan saya dan jiran-jiran saya mudah untuk mengawal haiwan tersebut," katanya.
Biri-biri itu mempunyai kepala yang berwarna hitam.
Dia mendapat idea itu daripada seorang anak lelakinya, James yang melihat biri-biri diwarnakan di Scotland.
Kejadian mencuri biri-biri menjadi satu masalah besar di wilayah itu dengan haiwan betina bernilai £140 (RM690.92) seekor. - Agensi

Dulu wajah dipenuhi luka, kini amat cantik

KIRI:WAJAH Jo Minto dipenuhi luka pada 2007.KANAN:KINI wajah Jo Minto kelihatan amat cantik.

EDINBURGH - Empat tahun lalu, wajah Jo Minto dipenuhi dengan luka disebabkan terkena serpihan sebuah gelas yang pecah apabila ia dilempar oleh seorang lelaki di sebuah bar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia memerlukan 35 jahitan dan menjalani pembedahan selama empat hari bagi mengeluarkan serpihan kaca kecil yang tertanam di muka dan matanya.
Ekoran kejadian itu, dia meninggalkan kerjayanya sebagai model.
Pada tahun lalu, Minto, 23, didesak oleh keluarga dan rakan-rakannya untuk terlibat dalam dunia peragaan.
Dia kemudian mendapat tempat dalam pertandingan Ratu Cantik Edinburgh tahun ini.
"Semua itu (wajahnya cedera) merupakan sesuatu yang sudah berlalu dan saya kini tampil untuk memulihkan semula kerjaya saya," katanya.
Gelas bir itu dibaling oleh seorang samseng, Alexander Varndell di sebuah pub di Tranent, Lothian Timur pada Februari 2007.
Varndell dihukum penjara dua tahun kerana melakukan serangan itu. - Agensi

Friday, April 15, 2011

Kereta dua bampar di jalan raya

SEORANG lelaki memandu sebuah kereta yang mempunyai dua bampar di Taizhou, China baru-baru ini.

BEIJING - Polis terkejut apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memandu kereta yang mengandungi dua bampar di sebatang jalan raya di Taizhou, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang anggota polis menahan pemandu kereta itu yang mendakwa dia memandu kenderaan tersebut kerana ia merupakan cara pengangkutan yang paling murah.
Lelaki tersebut diberikan amaran oleh polis supaya tidak mengulangi perbuatannya kerana tiada undang-undang di China yang melarang penggunaan kereta unik itu. - Agensi

Bas unik umpama limousin

BAS unik dipamerkan pada Pameran Dunia Persatuan Pengangkutan Antarabangsa di Dunia yang bermula 10 April hingga semalam.

DUBAI - Satu kumpulan pereka Belanda dari Universiti Delft TU termasuk bekas angkasawan negara itu, Wubbo Ockels berjaya mencipta bas unik yang bernilai AS$18.75 juta (RM56.70 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Bas unik itu umpama limousin tetapi ia mempunyai enam tayar dan boleh membawa 23 penumpang manakala panjang kenderaan tersebut adalah 4.57 meter.
Kenderaan tersebut boleh bergerak selaju 255 kilometer sejam, mempunyai 12 pintu, dijana dengan satu motor elektrik dan bateri litium polimer.
Bentuk luaran kenderaan itu yang aerodinamik membantu ia menggunakan bahan bakar dengan efisen.
Ketua jurutera reka bentuk bas itu ialah Antonia Terzi yang pernah bekerja dengan pasukan kereta lumba Formula Satu, BMW Williams.
Projek pembinaan bas itu mengambil masa selama tujuh tahun yang bermula pada 2004. - Agensi

Gula-gula ada wajah seperti tunang Putera William

WAJAH mirip Kate Middleton yang terdapat pada gula-gula milik Wesley Hosie.

LONDON - Seorang pelatih akauntan, Wesley Hosie, 25, menemui gula-gula yang mengandungi wajah mirip tunang Putera William, Kate Middleton, lapor sebuah akhbar semalam.
Hosie kini merancang untuk menjual gula-gula itu sehingga pada harga £500 (RM2,467) di laman lelongan di Internet, eBay.
Dia dan kekasihnya, Jessica White, 24, mendapati wajah pada gula-gula itu mirip Middleton pada Selasa lalu di rumah mereka di Taunton, Somerset, Britain.
Hosie mengesan wajah itu semasa dia mahu memakan gula-gula yang disimpan dalam sebuah balang.
"Semasa Jessica membuka balang itu, saya dapat melihat gula-gula yang mengandungi wajah Middleton itu dengan serta-merta. Dia (Middleton) seolah-olah memandang ke arah saya," kata Hosie.
Middleton akan berkahwin dengan William yang merupakan pewaris kedua takhta Britain dan cucu pemerintah diraja Britain, Ratu Elizabeth II pada 29 April depan. - Agensi

Thursday, April 14, 2011

Budak empat tahun hisap rokok dalam kereta api

LAMAN web Netease.com menunjukkan dua budak dipercayai berusia tiga dan empat tahun menghisap rokok di atas sebuah kereta api di China.

BEIJING - Satu klip video di sebuah laman web di China menunjukkan dua kanak-kanak dipercayai berusia tiga dan empat tahun ketawa semasa mereka merokok di dalam kereta api, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua budak itu berdiri di ruang yang kerap dikhaskan untuk penumpang yang merokok.
Dalam klip video tersebut, salah seorang budak itu menghembuskan rokok ke arah rakannya.
Klip video itu mencetuskan perdebatan terbaru mengenai amalan merokok di China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok dewasa.
Imej itu mencetuskan kemarahan daripada penonton yang melihat gelagat budak tersebut di laman Netease.com yang merupakan web portal terbesar di China.
Namun, tiada maklumat yang diberikan berhubung ibu bapa budak tersebut dan destinasi kereta api tersebut. - Agensi

Anak remukkan kereta bapa RM1.35 juta

BROKDORF, Jerman - Seorang remaja berusia 20 tahun hilang kawalan menyebabkan kereta sport bapanya yang berharga £275,000 (RM1.35 juta) remuk akibat terbabas di sebatang jalan raya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, remaja tersebut dan seorang penumpang wanita berumur 19 tahun hanya mengalami cedera ringan selepas kereta sport Gumpert Apollo itu terbabas baru-baru ini.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kereta itu remuk sepenuhnya dan hanya bahagian penumpang yang masih berada dalam keadaan baik."
Pihak berkuasa kini melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada remaja itu memandu dengan laju di kawasan yang mempunyai had kelajuan 80 kilometer sejam.
Kereta sport itu merupakan salah sebuah kereta yang paling laju di dunia.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.8 saat. - Agensi

Wednesday, April 13, 2011

Peroleh RM211,955 kerana video di YouTube

ROB HOMAYOON menunjukkan cara-cara untuk membuat origami di laman YouTube.

GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.
Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.
Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.
Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.
"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).
"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.
Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi

Klinik guna rokok rawat kanser

SEORANG kakitangan menghisap rokok yang digunakan untuk merawat penyakit kanser di klinik Griya Balur, Jakarta baru-baru ini.

JAKARTA - Klinik Griya Balur di sini menyediakan perkhidmatan merawat penyakit kanser dengan menggunakan asap rokok yang dihembus ke dalam telinga dan mata selain tiub ke dalam paru-paru si pesakit.
Menurut pengasas klinik tersebut, Dr. Gretha Zahar yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang teknologi nano dari Universiti Padjadjaran, Bandung, dia sudah merawat 60,000 pesakit sejak dekad lalu.
Dia percaya, dengan memanipulasi raksa dalam asap rokok, ia akan dapat mengubat semua pesakit termasuk kanser selain memperlahankan proses penuaan.
"Merkuri merupakan punca semua penyakit. Dalam rokok saya, terdapat pencari bahan (raksa) yang menarik raksa dari tubuh," katanya. - AFP

Tuesday, April 12, 2011

Belanja besar tukar Ferrari jadi limousin

SEBUAH Ferrari F360 baru berharga bermula dari AS$81,678 (RM246,790).

LONDON - Seorang pemilik Ferrari 360 di sini membelanjakan wang sebanyak AS$326,687 (RM987,084) untuk mengubahsuai kereta sport miliknya menjadi sebuah limousin, lapor sebuah akhbar semalam.
Proses mengubah suai kereta sport yang dibeli pada harga AS$81,678 (RM246,790) itu mengambil masa enam bulan dengan menggunakan alat ganti tulen Ferrari.
Ferrari 360 asal memiliki 400 kuasa kuda (bhp) dan mampu memecut 0-100 kilometer sejam dalam masa cuma empat saat. Namun, limousin tersebut tidak dapat mencapai kelajuan asalnya kerana beratnya sudah bertambah. - Agensi

Buku autobiografi karya Hitler dilelong

MEIN KAMPF ditulis oleh Hitler ketika dipenjarakandi Landsberg, Jerman.

BRUSSELS - Sebuah buku autobiografi edisi terhad, Mein Kampf yang ditulis dan ditandatangan oleh bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler dijangka dilelong pada harga mencecah AS$49,026 (RM148,132), lapor sebuah akhbar semalam.
Buku edisi pertama tersebut menggabungkan elemen autobiografi dan ideologi politik diktator Nazi itu. Mein Kampf ditulis ketika Hitler berada dalam tahanan di Landsberg, Jerman pada 1925 dijangka dilelong pada akhir bulan ini.
Hanya satu buku Mein Kampf dikeluarkan dengan tandatangan Hitler bersama huruf-huruf emas di setiap judul muka suratnya. Ia merupakan salah sebuah buku daripada 20 naskhah edisi terhad. Jumlah keseluruhan buku sama yang diterbitkan cuma 500 naskhah.
Seorang penganalisa, Richard Westwood Brookes dari lelongan Mullocks memberitahu, buku itu menjadi naskhah buku yang paling jarang ditemui.
"Ia merupakan buku edisi terhad Mein Kampf yang sukar diperoleh. Hitler menurunkan tandatangannya, sekali gus membuatkan Mein Kampf sangat berbeza dalam edisi pertamanya.
"Naskhah edisi pertama pada tahun 1925 itu tertera tahun 1925 di atas buku tersebut," jelasnya yang menyamakan penerbitan Mein Kampf seperti buku Harry Porter yang dihasilkan dalam edisi pertama sebanyak 500 salinan.
Buku Mein Kampf yang bertarikh sambutan Krismas tahun 1925 itu didedikasikan kepada Hermann Esser yang merupakan salah seorang pengasas parti Nazi dan turut dipenjarakan di Munich Beer Hall Putsch pada 1923.
Pemerintah Jerman itu dianggap penjenayah paling kejam sepanjang zaman kerana memulakan Perang Dunia Kedua dan menyebabkan kematian berjuta-juta orang terutama golongan Yahudi. - Agensi