Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Friday, September 30, 2011

4,000 coli digantung di atas jambatan

ORANG ramai berjalan di atas jambatan Hot Metal Bridge di bandar raya Pittsburgh yang digantung dengan 4,000 helai coli kelmarin.

PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 4,000 helai coli digantung di sepanjang sebuah jambatan di sini dalam kempen meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit barah payu dara, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Coli berbagai saiz dan beraneka warna itu berkibar ditiup angin selepas digantung di atas wayar jambatan Hot Metal Bridge yang menghubungkan sungai Monongahela dengan pusat bandar raya ini, negeri Pennsylvania.
Semua coli tersebut akan digantung selama tiga minggu bermula kelmarin sebelum pakaian dalam itu dicuci dan didermakan ke beberapa rumah perlindungan wanita.
Coli-coli itu dibekalkan oleh pihak pengurusan syarikat pakaian tempatan, American Eagle Outfitters yang bertanggungjawab mencetuskan idea untuk mengadakan kempen tersebut.
Selepas coli-coli itu digantung kelmarin, ia berjaya menarik perhatian para pengguna jambatan berkenaan serta pihak media.
"Saya langsung tidak menyangka akan melihat sebegitu banyak coli. Kempen ini hebat. Saya berhenti untuk merakam pemandangan unik ini," kata seorang pengguna jambatan tersebut, Monica Minetola. - Agensi

Thursday, September 29, 2011

Mati dengan mata terbuka

PIHAK pendakwa raya mendedahkan gambar mayat Michael Jackson dalam sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin. - AFP



LOS ANGELES - Hujah pembukaan bermula kelmarin di sebuah mahkamah di sini dalam perbicaraan ke atas seorang doktor yang dituduh membunuh Raja Pop, Michael Jackson.
Seorang pendakwa raya menyatakan kepada juri bahawa penyanyi itu menyalahletakkan keyakinan terhadap doktor itu, Conrad Murray yang menyebabkan kematiannya.
Dalam bilik Mahkamah Tinggi Los Angeles, satu gambar mayat penyanyi itu di atas katil sebuah hospital didedahkan.
Satu audio rakaman penyanyi itu yang kelihatan seperti sudah diberi ubat yang kuat dua bulan sebelum kematiannya juga didedahkan.
Video rakaman Jackson melakukan latihan persembahan The Way You Make Me Feel sebelum kematiannya juga disiarkan.
Timbalan Peguam Daerah, David Walgren menyatakan kepada juri bahawa dia akan memperincikan apa yang berlaku pada beberapa jam terakhir kehidupan penyanyi tersebut, dari ketika dia meninggalkan latihan nyanyian sehingga kepada anggota-anggota paramedik dipanggil ke kediaman yang disewanya.
Jackson meninggal dunia disebabkan ubat pelali yang kuat, propofol yang berlebihan.
"Apa yang terjadi pada jangka masa itu adalah kerana perlakuan dan kecuaian doktor peribadi Michael Jakson, Conrad Murray secara langsung menyebabkan tanpa disangka-sangka kematiannya pada umur 50 tahun," kata Walgren.
Dia berkata, Jackson percaya kepada Murray sebagai doktornya.
"Kepercayaan yang disalahletakkan kepada Conrad Murray itu mengorbankan nyawa Michael Jackson," katanya lagi.
Sejumlah anggota keluarga Jackson berada di dalam kamar mahkamah termasuk bapanya, Joseph, ibu penyanyi tersebut, Katherine, kakaknya, La Toya dan abangnya, Jermaine.
La Toya Jackson membawa bunga matahari yang merupakan bunga kesukaan Jackson.
Murray tiba di mahkamah itu dengan memegang tangan ibunya.
Doktor itu mengaku tidak bersalah melakukan pembunuhan dengan tidak sengaja dan dia serta peguamnya menafikan memberikan Jackson sesuatu yang boleh menyebabkan penyanyi berkenaan mati.
Peguam Murray berhujah bahawa Jackson mati dengan cepat selepas mengambil dua ubat ketika doktornya keluar dari bilik di kediaman penyanyi tersebut, Holmby Hills pada 25 Jun 2009.
GAMBAR yang disiarkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin menunjukkan imej doktor Conrad Murray dan suntikan ubat propofol. - AFP


"Dia (Jackson) melakukan satu perbuatan tanpa pengetahuan doktornya, tanpa kebenaran doktornya, menentang arahannya.
"Dia (Jackson) melakukan satu perbuatan yang menyebabkan kematiannya sendiri," hujah peguam Murray, Ed Chernoff.
Peguam itu menyatakan bahawa Jackson mengambil lapan pil lorazepam yang mencukupi untuk menyebabkan enam orang tidur tanpa pengetahuan doktornya dan kemudian memberikannya satu tambahan dos ubat sedatif propofol yang kuat.
"Kombinasi dadah itu membunuhnya (Jackson) dengan cepat. Dia (Jackson) meninggal dunia dengan pantas. Dia (Jackson) tidak mempunyai masa untuk menutup matanya," kata Chernoff.
Murray, 58, akan berdepan hukuman empat tahun penjara jika didapati bersalah oleh juri yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan lima wanita kerana melakukan pembunuhan dengan tidak sengaja.
Dia dituduh memberikan Jackson dos propofol berlebihan yang Jackson gelarkan ubat itu sebagai susu untuk membantu mengurangkan masalah insomnia.
Murray pernah menafikan memberikan Jackson ubat propofol yang selalu digunakan sebagai ubat pelali dalam pembedahan.
Dia menangis pada satu ketika semasa sesi perbicaraan itu. - Agensi

Bekas pelakon lucah mahu tubuh parti politik



ROM - Bekas pelakon filem lucah Itali, Cicciolina merancang untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu ekoran masalah politik yang korup di negaranya.
"Kami mahu menubuhkan sebuah parti yang optimis untuk masa depan. Cukuplah dengan parti-parti ini (di Itali) yang menjual undi, rasuah dan tender," katanya kepada majalah Oggi.
Dia kini berusia 59 tahun dan nama asalnya ialah Ilona Staller.
Wanita itu menyertai politik pada 1979 sebagai sebahagian daripada anggota parti alam sekitar yang pertama di Itali sebelum dia menyertai parti Radical pada 1985 dan berkempen menentang tenaga nuklear, kebuluran di dunia dan hak asasi manusia.
Dia merupakan ahli parlimen di antara 1987 dan 1991.
Pada September 1990, Cicciolina menyatakan dia bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan Saddam Hussein bagi memulihkan keamanan di Asia Barat. - AFP

PM Thailand miliki kekayaan RM53.7 juta



BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra (gambar) memiliki aset bersih berjumlah 541 juta baht (RM53.7 juta) sekali gus jauh kurang daripada kekayaan abangnya Thaksin, kata sebuah badan pencegah rasuah semalam.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan dalam laporannya menyatakan, anak lelaki Yingluck yang berusia sembilan tahun memiliki aset sebanyak 4.4 juta baht (RM449,233) manakala suaminya mengisytiharkan pemilikan aset berjumlah 76.8 juta baht (RM7.84 juta) bersama hutang sebanyak 369.7 juta baht (RM37.74 juta).
Yingluck yang memiliki aset termasuk hartanah dan pelaburan bukan merupakan anggota kabinet terkaya di Thailand.
Kedudukan tersebut adalah milik Menteri Sains dan Teknologi Plodprasop Suraswadi dengan aset berjumlah 963 juta baht (RM98.3 juta).
Sebelum menjadi Perdana Menteri, Yingluck merupakan Presiden firma hartanah Thailand, SC Asset Corp dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam empayar perniagaan abangnya, Thaksin.
Pada Februari 2010, Mahkamah Tinggi Thailand merampas sejumlah AS$1.4 bilion (RM4.4 bilion) kekayaan Thaksin iaitu lebih separuh asetnya kerana dakwaan salah guna kuasa. - AFP

Wednesday, September 28, 2011

Wanita separuh bogel sambut Platini

SEORANG gadis separuh bogel ditangkap polis di sebuah stadium di Kiev semalam.


KIEV - Polis menangkap beberapa aktivis wanita Ukraine kerana mendedahkan payu dara semasa memprotes lawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Michel Platini ke ibu kota Ukraine, di sini.

Kunjungan Platini dilakukan untuk memeriksa persediaan Ukraine sebagai tuan rumah bersama dengan Poland untuk kejohanan bola sepak Eropah, Euro 2012.
Seorang wartawan berkata, empat aktivis pertubuhan wanita Ukraine, FEMEN, ditangkap kerana 'membogelkan' tubuh mereka hingga paras pinggang di luar sebuah stadium utama di sini.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan untuk mendapatkan perhatian mengenai kempen mereka dalam menentang pelancongan seks di Ukraine.
"FEMEN menuntut UEFA supaya mengambil inisiatif dengan melaksanakan program untuk mendidik para peminat bola sepak (yang akan berkunjung ke Ukraine) tentang kesan-kesan buruk pelancongan seks dan keburukan membiayainya," kata pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan.
Malah, FEMEN turut mendakwa Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych tidak berbuat apa-apa untuk membantu kempen mereka bagi menentang aktiviti pelancongan seks di negara itu apabila Yanukovych sendiri pernah mempelawa warga asing supaya melawat Ukraine untuk menyaksikan kecantikan wanita di negara ini. - AFP

Bas jadi leper selepas nahas

SEORANG lelaki melihat sebuah bas sekolah yang menjadi leper di lokasi nahas di Kalar Kahar, Pakistan kelmarin.

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak dan remaja serta empat orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan memasuki gaung di tenggara Islamabad, kata beberapa pegawai semalam.
Bas itu membawa pulang pelajar sebuah sekolah swasta daripada berkelah.
Ia terbabas dan jatuh ke dalam gaung di wilayah Punjab kelmarin.
"Seramai 35 mangsa termasuk 31 kanak-kanak dan empat orang dewasa terbunuh dalam kemalangan itu. Pemandu, pembantu pemandu, penolong pengetua dan guru antara yang terkorban," kata seorang pegawai pentadbiran kanan di daerah Faisalabad, Naseem Sadiq.
"Kesemua pelajar itu berumur di antara 10 hingga 15 tahun," kata ketua sebuah hospital, Dr. Sultan Alamgirian.
Seorang pegawai memberitahu, siasatan akan dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan tetapi laporan awal menyatakan ia mungkin disebabkan masalah brek. - AFP

Skrol Laut Mati berusia 2,000 tahun

SALAH satu skrol Laut Mati dipamerkan di Muzium Israel di Baitulmuqaddis kelmarin.

BAITULMUQADDIS - Skrol berusia 2,000 tahun yang ditemui di gua sebuah gurun kini dipamerkan di online buat kali pertama kelmarin.
Ia dipamerkan sebagai sebahagian daripada projek muzium kebangsaan Israel dan laman web Google di Internet.
Skrol itu ditulis dan dikumpulkan oleh satu kumpulan agama Yahudi yang melarikan diri ke sebuah gurun 2,000 tahun lalu dan menetap di Qumran di tepi tebing Laut Mati.
Lima skrol itu merupakan antara yang dibeli oleh para penyelidik Israel di antara tahun 1947 dan 1967 daripada seorang penjual barang antik.
Ia pertama kali ditemui oleh penduduk Badwi di gurun Judean. - Agensi

Tuesday, September 27, 2011

Tiada lagi sukan laga lembu di Barcelona

LEMBU terakhir yang mati dibunuh ditarik keluar dari arena Monumental di Barcelona kelmarin.

BARCELONA, Sepanyol - Seekor lembu jantan dibunuh di Catalonia kelmarin sebelum pengharaman sukan tersebut berkuat kuasa di arena Monumental, Barcelona.
Haiwan seberat 570 kilogram itu dibunuh oleh seorang matador berusia 28 tahun, Serafin Marin.
Para penonton seramai 18,000 orang menyaksikan majlis terakhir laga lembu jantan tersebut.
Sebahagian daripada mereka menjulang tiga matador yang mengambil bahagian dalam pertarungan dengan lembu jantan.
Larangan sukan tersebut akan bermula pada Januari tahun depan.
Parlimen Catalonia mengundi pada Julai 2010 untuk mengharamkan sukan tersebut.
Pengundian itu dibuat selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia mendapatkan 180,000 tandatangan bagi meminta sukan tersebut dibincangkan.
Para peminat sukan itu bergambar di arena tersebut sebagai kenangan.
"Adalah amat penting untuk datang ke sini hari ini," kata seorang peminat sukan itu, Juan Jose Cabedo.
Dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer untuk menyaksikan acara itu.
"Kami berasa sedih dan marah," katanya.
Namun, kira-kira 30 aktivis hak asasi haiwan meraikan penamatan acara laga lembu itu. - AFP

Hidup semula selepas dimasukkan dalam beg mayat


RIO DE JANEIRO - Seorang wanita yang berusia 60-an yang dirawat kerana sakit pneumonia dihantar terlalu cepat ke rumah mayat selepas diisytiharkan mati oleh seorang doktor, lapor akhbar Globo kelmarin.
Doktor tidak dapat mengesan sebarang tanda-tanda penting, melakukan ujian dan mengesahkan dia mati.
Dia kemudian dihantar ke bilik mayat dan berada selama dua jam di dalam beg plastik.
"Saya datang untuk memberikan ibu saya satu pelukan terakhir dan ketika itu saya berasa ibu saya masih bernafas. Saya menjerit mengatakan ibu saya masih hidup tetapi petugas di situ melihat seperti saya orang gila," kata anak perempuan wanita berkenaan, Rosangela Celestrino.
Pegawai-pegawai hospital yang menjalankan ujian dan mendapati Rosa Celestrino de Assis mengalami dua strok dan memerlukan bantuan pernafasan.
Pada pukul 7.30 malam waktu tempatan pada hari Jumaat, seorang jururawat menghubungi seorang doktor kerana wanita tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda penting akan hidup. Doktor kemudian mengesahkan kematiannya dan mayatnya dihantar ke rumah mayat.
Pengarah hospital, Manoel Moreira Filho menyatakan kesilapan tersebut dikesan pada pukul 10 malam dan wanita tersebut segera diberikan rawatan bantuan pernafasan. - AFP

Lion King kekal No.1

BEBERAPA orang beratur untuk melihat filem Lion King 3D di pawagam The El Capitan, Los Angeles pada 17 September lalu.

LOS ANGELES - Filem Lion King 3D terbitan Walt Disney menduduki carta box-office buat minggu kedua berturut-turut dengan kutipan dianggarkan sebanyak AS$22.1 juta (RM70.33 juta).
Anggaran kutipan itu dibuat oleh studio tersebut pada Ahad lalu.
Filem itu mengatasi filem lakonan aktor Brad Pitt yang berjudul Moneyball terbitan Sony Pictures dengan kutipan sebanyak AS$20.6 juta (RM65.65 juta).
Berada di tempat ketiga ialah filem terbitan Warner Bros yang berjudul Dolphin Tale dengan kutipan sebanyak AS$20.3 juta (RM64.60 juta).
Dolphin Tale dibintangi oleh Harry Connick Jr., Ashley Judd dan Morgan Freeman. Filem Abduction menduduki tangga keempat dengan kutipan sebanyak AS$11.2 juta (RM35.64 juta) manakala Killer Elite berada di tangga kelima dengan kutipan sebanyak AS$9.5 juta (RM30.23 juta).
Berada di tempat keenam ialah filem Contagion yang mendapat kutipan sebanyak AS$8.6 juta (RM27.37 juta) manakala Drive menduduki tangga ketujuh dengan kutipan sebanyak AS$5.8 juta (RM18.45 juta). - AP

Pelajar AS didakwa sukakan seks liar



PERUGIA, Itali - Peguam pemilik sebuah bar di Perugia menggelar seorang pelajar Amerika Syarikat (AS), Amanda Knox yang disabitkan kesalahan membunuh rakan sebiliknya sebagai seorang yang sukakan seks dan syaitan yang menipu kepada polis untuk mengalihkan siasatan.
Peguam itu, Carlo Pacelli memberitahu mahkamah semalam bahawa Knox mempunyai dua personaliti.
Menurutnya, Knox mempunyai personaliti sebagai seorang wanita yang baik semasa duduk di depan hakim selain personaliti syaitan yang meminati seks liar.
Dakwaan itu dibuat ekoran Knox mendakwa anak guam Pacelli, Diya 'Patrick' Lumumba membunuh Meredith Kercher.
Kercher merupakan rakan sebilik Knox yang merupakan warga Britain.
Lumumba dipenjarakan tetapi kemudian dibebaskan.
Namun, Knox disabitkan kesalahan dalam pembunuhan Kercher yang berlaku pada 2007 itu dan dihukum penjara selama 26 tahun.
Knox menafikan melakukan pembunuhan itu dan kini sedang merayu berhubung sabitannya. - AP

Monday, September 26, 2011

10 juta unit Galaxy S II dijual

GAMBAR fail menunjukkan telefon bimbit Galaxy S II di Korea Selatan pada 28 April lalu.

SEOUL - Penjualan telefon pintar Galaxy S II keluaran gergasi kedua pembuat telefon bimbit dunia, Samsung Elektronik semalam menyatakan sebanyak 10 juta unit sudah dijual sejak ia dikeluarkan pada April lalu.
Penjualan model baharu telefon pintar itu dari peningkatan versi terdahulu meningkat dua kali ganda selepas melepasi penjualan lima juta unit pada Julai lalu.
Gajet terkini itu dikeluarkan di pasaran tempatan pada 29 April lalu manakala di Eropah pada Mei lalu.
Telefon pintar Galaxy S II itu kemudiannya memasuki pasaran China pada Julai lalu sebelum mendominasi pasaran Amerika Syarikat pada September lalu.
"Hanya dalam masa lima bulan, penjualan Galaxy S II meningkat dengan mendadak, sekali gus sebagai refleksi sokongan yang kuat daripada rakan kongsi yang lain," kata ketua unit peranti telefon bimbit, JK Shin.
Penjualan di Korea Selatan sahaja mencapai 3.6 juta unit diikuti sebanyak 3.4 juta unit di Eropah dan 2.3 juta unit lagi di seluruh rantau Asia. - AFP

Wanita ditahan seks dengan anjing


KENT - Seorang wanita telah ditahan kerana mengadakan hubungan seks dengan seekor anjing.
Wanita itu, Tracy Woolridge yang berusia 45 tahun ditahan selepas pihak polis menemui imej gambar dan rakaman di dalam rumahnya.
Woolridge mengaku bersalah di atas dua tuduhan mengadakan hubungan seks iaitu dengan seekor haiwan dan aktiviti seksual dengan seorang kanak-kanak di Mahkamah Mahkota Canterbury baru-baru ini.
Dia akan dihukum pada November depan. - Agensi

Friday, September 23, 2011

Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui


TRIPOLI, Libya - Pemerintah sementara Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyatakan, pihaknya mendapat durian runtuh apabila menemui aset berjumlah AS$23 bilion (RM72.7 bilion) di bank pusat Libya yang tidak digunakan oleh bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Financial Times semalam.
Penemuan tersebut yang dilaporkan Financial Times dapat membantu usaha NTC dalam membangunkan semula negara berkenaan.
Seorang pegawai kewangan NTC, Wafik Shater memberitahu wartawan di Dubai, bank pusat itu menyimpan wang kertas dinar Libya berjumlah beberapa bilion.
Satu bilion dinar Libya bersamaan sekitar AS$820 juta (RM2.58 bilion).
"Wang berkenaan mencukupi untuk membolehkan NTC mentadbir negara ini selama enam bulan," kata Shater.
"Kami berada dalam kedudukan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan kami sebelum ini," tambahnya.
NTC sebelum ini merayu masyarakat antarabangsa supaya memansuhkan sekatan ke atas Libya serta membebaskan aset berjumlah sekitar AS$170 bilion (RM536.1 bilion) yang disimpan di luar negara.
Gaddafi kini dalam buruan askar-askar NTC selepas rejimnya tumbang menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu selepas bertempur sejak Februari lalu. - Agensi

Thursday, September 22, 2011

Saman kerana kamera dalam tandas


WASHINGTON - Seorang pelancong dari Virginia, William Yockey bertindak menyaman restoran Starbucks sebanyak AS$3 juta (RM9.39 juta) dengan dakwaan syarikat itu meletakkan kamera tersembunyi di dalam tandas.
Kamera tersebut dijumpai oleh anak perempuan Yockey yang berusia lima tahun ketika dia menggunakan tandas di restoran itu.
William menuduh rangkaian kopi global yang beribu pejabat di Seattle itu melakukan pencerobohan privasi, kecuaian, sengaja menimbulkan tekanan emosi dan cuai dalam memberi latihan dan penyeliaan kakitangan.
"Ia amat memalukan, menghina dan berkemungkinan sekarang, video itu terdapat di dalam Internet," katanya kepada stesen televisyen ABC News.
Peguam William, Hank Schlosberg meminta mahkamah Daerah Columbia untuk melakukan perbicaraan yang mengandungi juri, ganti rugi sebanyak AS$1 juta (RM3.13 juta) dan AS$2 juta (RM6.26 juta ) sebagai ganti rugi hukuman kerana melakukan pencerobohan privasi. - AFP

Ferrari pertama pacuan empat roda

PELUMBA kereta Itali, Giancarlo Fisichela berdiri di tepi kereta Ferrari Four di bilik pameran syarikat tersebut di Bucharest, Romania kelmarin.

BUCHAREST - Model kereta Ferrari pertama yang menggunakan sistem pacuan semua roda diperkenalkan secara rasmi di Romania kelmarin.
Selepas ia dilancarkan kepada umum oleh Duta Itali di Romania, Mario Cospito baru-baru ini, pengedar model Ferrari Four (FF) itu menerima enam tempahan daripada beberapa ahli perniagaan tempatan.
Ferrari FF dijana enjin V12 dengan 660 kuasa kuda (bhp) yang mampu memecut kereta sport itu daripada 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa cuma 3.7 saat.
Dilengkapi sistem brek terkini, ia berhenti dalam jarak cuma 35 meter apabila pemandu menekan brek pada kelajuan 100 km/j.
Harga kereta sport canggih itu bermula daripada 220,000 euro (RM941,531) tanpa sistem injap VAT. - Agensi

Wednesday, September 21, 2011

Lelaki 90 tahun ada 50 anak

LUIZ COSTA DE OLIVERIA

SAO PAULO - Seorang pesara pekerja ladang dari Rio Grande do Norte, Brazil, Luiz Costa de Oliveria yang berumur 90 tahun mempunyai 50 orang anak hasil hubungannya dengan empat wanita dua daripadanya adik-beradik dan seorang lagi adalah ibu mereka sendiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia mempunyai 17 anak hasil hubungan dengan isterinya yang pertama.
Selepas isteri yang pertama meninggal dunia, dia berkahwin dengan Maria Francisca da Silva yang melahirkan 17 lagi anak.
Lelaki itu kemudian menjalin hubungan dengan adik isterinya yang kedua menyebabkan dia memperoleh 15 orang lagi anak.
Ibu kedua-dua wanita adik-beradik itu yang berusia 89 tahun itu juga menjalin hubungan dengan Oliveria telah melahirkan seorang anak.
"Perkara yang terbaik dicipta Tuhan di dunia ialah wanita," katanya kepada sebuah akhbar tempatam, Diario de Natal.
Beberapa orang anaknya mati semasa mereka hidup dalam kemiskinan.
Namun, dia kini mempunyai lebih 100 cucu dan 30 cicit.
Lelaki itu tidak pernah merokok atau minum minuman keras selama 40 tahun mengaku, dia tidak mengetahui semua nama anaknya.
Isteri keduanya berkata, suaminya tidak pernah mengabaikannya selain selalu mengambi berat tentang anak-anaknya. - Agensi

Tuesday, September 20, 2011

Padah menyamar untuk program TV

BEN BOYCE menyamar sebagai juruterbang di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand pada Sabtu lalu.

WELLINGTON - Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan cuba untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand mungkin merupakan sebahagian daripada lawak jenaka untuk satu program televisyen.
Bagaimanapun, polis New Zealand mendakwa perkara itu bukannya satu gurauan.
"Percubaan untuk melanggar keselamatan lapangan terbang perlu diambil perhatian yang serius," kata seorang pegawai polis, Andy Lovelock dalam satu kenyataan.
Polis berkata, seorang lelaki memasuki pekarangan lapangan terbang dengan memakai pakaian seragam juruterbang dan lencana perak di topi pada Sabtu lalu.
Dia juga didapati membawa beg bimbit yang besar.
Polis memberitahu, lelaki itu cuba memasuki kawasan larangan sebelum dia dikejar oleh kakitangan-kakitangan di lapangan terbang tersebut dan melarikan diri dengan menaiki sebuah van Toyota berwarna hitam.
Juruterbang itu, Ben Boyce yang menyedari kesilapannya berkata dalam satu kenyataan: "Saya meminta maaf berhubung semua masalah yang telah berlaku.
"Kami tidak berhasrat untuk melanggar peraturan atau menyebabkan sebarang kebimbangan atau kerisauan. Ia merupakan satu percubaan gurauan yang kami menerima sepenuhnya sebagai berlaku di tempat yang silap."
Dia dan seorang deejay radio, Bryce Anthony Casey dan penerbit program televisyen, Andrew Logan Robinson dihadapkan ke sebuah mahkamah semalam ekoran kejadian itu.
Menurut dokumen mahkamah, kesemua mereka didakwa di bawah Akta Penerbangan Awam.
Mereka didakwa memasuki satu kawasan keselamatan di lapangan terbang tersebut walaupun mengetahui ia merupakan satu kesalahan.
Ketiga-tiga mereka dibenarkan diikat jamin dan diminta tampil di mahkamah pada 18 Oktober depan. - Agensi

Paku tertusuk ke dalam kepala

GAMBAR X-ray menunjukkan sebatang paku tertusuk ke dalam kepala Dina.

URUMQI, China - Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun, Dina dibedah di sebuah hospital di sini untuk mengeluarkan paku sepanjang lima sentimeter di kepalanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kejadian itu berlaku selepas seorang pekerja pembinaan di rumah ibu Dina di wilayah Xinjiang tertembak sebatang paku dengan menggunakan pistol paku ke arah kepala budak perempuan tersebut semasa sedang bekerja.
Sebelum itu, dia secara berjenaka mengacukan pistol tersebut ke arah sekumpulan kanak-kanak termasuk Dina sambil berkata: "Pergi jauh-jauh".
"Dia menjerit dan kami dapat melihat lubang kecil pada kepalanya dengan darah mengalir keluar. Bapanya segera membawanya ke hospital," kata ibu Dina, Ha Mina. - Agensi

Monday, September 19, 2011

Lelaki pada tahun 1870 seiras Nicholas Cage

WAJAH seorang lelaki seiras pelakon Nicholas Cage yang dirakamkan pada 1870.

LOS ANGELES - Seorang penjual barangan antik, Jack Mord telah melelong sekeping gambar seorang lelaki pada tahun 1870 yang mempunyai wajah seiras pelakon terkenal, Nicholas Cage pada harga permulaan AS$1 juta (RM3.09 juta) di laman e-Bay, lapor sebuah akhbar semalam.
Penjual itu turut bergurau dengan menyatakan dia memiliki sekeping gambar yang membuktikan Cage bukan sekadar pelakon tetapi juga puntianak yang hidup pada era Perang Saudara Amerika.
Cage yang berusia 47 tahun pernah membintangi filem Con Air dan Ghost Rider. Isteri Cage, Alice Kim berusia 27 tahun.
Menurut penjual itu, gambar tersebut merupakan seorang lelaki yang tinggal di Bristol, Tennessee ketika zaman perang Saudara Amerika.
Gambar tersebut telah ditemui di dalam sebuah album yang mengandungi banyak gambar penduduk yang terbunuh dalam peperangan saudara itu. - Agensi

Ahli biologi tangkap ular gergasi

NIALL MCCANN (kanan) bergambar dengan seekor ular sawa gergasi yang ditangkapnya di tebing Sungai Rewa, Guyana baru-baru ini.

GEORGETOWN - Seorang pengembara, Niall McCann berjaya menangkap seekor ular sawa gergasi sepanjang 5.48 meter dan seberat 100 kilogram di sebuah hutan di Guyana, lapor sebuah akhbar semalam.
McCann yang merupakan seorang ahli biologi dari Cardiff, Britain yang berusia 29 tahun menemui ular tersebut di tebing Sungai Rewa.
Dia menangkap ular tersebut bersama sekumpulan pasukannya yang terdiri daripada penduduk tempatan. - Agensi

PM Itali berasmara dengan lapan wanita satu malam

SILVIO BERLUSCONI

ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang berusia 74 tahun mengaku dia pernah berasmara dengan lapan wanita dalam satu malam, lapor sebuah akhbar semalam.
Beliau menyatakan demikian semasa berbual menerusi telefon dengan seorang ahli perniagaan, Giampaolo Tarantini.
Dalam perbualan itu, Berlusconi menyatakan beliau hanya mampu berasmara dengan lapan daripada 11 wanita yang berada di luar rumahnya.
Panggilan telefon itu dibuat pada tahun baharu 2009.
Ia merupakan sebahagian daripada 100,000 intipan perbualan yang dirakamkan dan didedahkan untuk siasatan kes lapan individu yang dituduh membekalkan wanita teman sosial dalam parti anjuran Berlusconi.
Salah seorang wanita teman sosial itu, Maria Teres De Nicolo, 38, mendakwa dia tidur dengan Berlusconi.
"Sebelum saya pergi ke partinya, saya diberikan wang AS$1,378 (RM4,258)," katanya.
Berlusconi menafikan melakukan sebarang salah laku dan membayar upah untuk tujuan seks. - Agensi

Bertumbuk semasa berdebat di TV

Sergei Polonsky terjatuh dari pentas selepas ditumbuk oleh Alexander Lebedev.

MOSCOW - Seorang hartawan Rusia yang memiliki dua stesen televisyen di Britain, Alexander Lebedev menumbuk seorang ahli perniagaan, Sergei Polonsky dalam satu rakaman perdebatan di stesen televisyen NTV, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia menumbuk Polonsky di depan sejumlah penonton sehingga menyebabkan ahli perniagaan itu melarikan diri dan terjatuh dari pentas.
Lebedev berkata, dia terpaksa bertindak menumbuk ahli perniagaan tersebut kerana bimbang akan ditumbuk terlebih dahulu.
Ketika kejadian, kedua-dua ahli perniagaan itu berdebat mengenai krisis ekonomi global.
Lebedev yang merupakan bekas ejen agensi perisikan Kesatuan Soviet, KGB, kini memiliki akhbar The Independent dan London Evening Standard.
Menurut tulisan dalam blognya, Lebedev mendakwa Polonsky terlalu agresif dalam perdebatan tersebut.
"Dalam situasi kritikal, tiada pilihan lain lagi. Saya meneutralkannya," kata Lebedev.
Dia menumbuk Polonsky di bahagian kepala menyebabkannya dia terjatuh dari pentas.
Beberapa orang kemudian tampil untuk menenangkan kedua-dua ahli perniagaan tersebut.
Lebedev merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia dengan kekayaannya dianggarkan AS$3.1 bilion (RM9.58 bilion).
Dia juga memiliki syarikat penerbangan Aeroflot dan akhbar Rusia, Novaya Gazeta. - Agensi

Thursday, September 15, 2011

Guru mengaku salah hantar SMS berbaur seks

KATHRYN ROACH

BOLTON, Britain - Seorang guru pendidikan agama Kristian, Kathryn Roach mengaku salah menghantar teks khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dengan tujuan untuk mengumpannya supaya dia melakukan hubungan seks.
Roach, 24, menjadikan pelajarnya itu sebagai sasaran selepas mangsa dan beberapa pelajar lain mendapatkan telefon bimbit milik Roach untuk mencatatkan nombor telefon masing-masing.
Menurut keterangan di mahkamah, guru wanita itu kemudian menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada mangsa untuk mengumpannya supaya dia melakukan hubungan seks.
Polis menangkap Roach selepas laporan berhubung perbuatan tersebut dibuat kepada pihak berkuasa.
Dia kemudian dipecat dari sekolah tersebut.
Wanita itu yang dihadapkan di Mahkamah Diraja Bolton di sini baru-baru ini diperintahkan supaya mendaftar sebagai pesalah seks.
Dia kemungkinan berdepan hukuman penjara yang akan diputuskan kemudian. - Agensi

Wednesday, September 14, 2011

Pusat beli-belah terbesar Eropah dibuka

LAKARAN artis ruang dalam pusat beli-belah Westfield Sratfort City, London.

LONDON - Ribuan orang berhimpun di pintu masuk pusat beli-belah Westfield Stratfort City semalam yang menempatkan 300 kedai, 70 bar dan restoran.
Mereka menunggu untuk menjadi kumpulan pertama memasuki pusat tersebut.
Pusat itu merupakan yang terbesar di Eropah yang terletak di antara stesen bas dan tren bawah tanah Sratfort dengan Taman Olimpik di timur London.
Pembukaan pusat itu menyediakan 18,000 peluang pekerjaan untuk komuniti di timur London.
Pusat itu dikendalikan oleh Kumpulan Westfield yang mempunyai 124 pusat beli-belah di Britain, Amerika Syarikat dan Australia.
Seornag jurucakap pusat itu menyatakan bangunan pusat beli-belah tersebut menggunakan cahaya semula jadi dan penggunaan tenaga yang lebih efisen. - Agensi

Budak temui fosil berusia 160 juta tahun

EMILY BALDRY menemui cangkerang berusia lebih 160 juta tahun di Taman Air Cotswold, Britain pada Mac tahun lalu.


TAMAN AIR COTSWOLD, Britain - Seorang budak berusia lima tahun, Emily Baldry menemui fosil cangkerang berusia lebih 160 juta tahun selepas menggali tanah dengan menggunakan sebatang penyodok yang selalu digunakan untuk membina istana pasir, lapor sebuah akhbar semalam.
Emily menemui fosil seberat 57 kilogram itu yang jarang didapati itu di kawasan Taman Air Cotswold di sini dengan bantuan bapanya Jon, 40, pada Mac tahun lalu.
Fosil lengkap berdiameter hampir 40.6 sentimeter itu berasal daripada haiwan moluska yang mempunyai cangkerang yang hidup di lautan.
Ia kini disimpan di kediaman keluarga berkenaan di sini setelah ia dipamerkan kepada umum.
Cangkerang itu diberi nama Spike oleh Emily.
Selepas cangkerang itu ditemui, dia menyerahkannya kepada seorang ahli geologi, Neville Hollingworth untuk dibersihkan.
Emily yang kini berusia enam tahun berasa gembira apabila melihat cangkerang itu yang kelihatan berkilat semasa ia dipamerkan di Pusat Penerangan Gateway dekat Cirencester pada Ahad lalu.
Menurut bapa Emily, cangkerang itu akan dibawa pulang ke rumah selepas tempoh ia dipamerkan berakhir. - Agensi