Nuffnang Signboard - Jom Klik

.

Jom Support Saya

Jom Support Saya

JobsMalaysia.Info - Jobs in Malaysia | Iklan Jawatan Kosong Kerajaan 2010

Post Terkini

Thursday, March 24, 2011

Elizabeth Taylor meninggal dunia

Elizabeth TAYLOR pada tahun 1984.

LOS ANGELES - Aktres legenda Hollywood, Elizabeth Taylor yang mempunyai sepasang mata ungu meninggal dunia semasa berusia 79 tahun semalam di sebuah hospital di sini.
Menurut satu kenyataan keluarga pelakon tersebut, dia telah dimasukkan ke Hospital Cedars-Sinai di sini sejak enam minggu lalu kerana mengalami masalah jantung yang merupakan penyakit yang dihidapinya selama bertahun-tahun.
Kenyataan tersebut menyatakan, aktres yang pernah mencuit hati ramai penonton menerusi filem National Velvet itu mengelami komplikasi jantung baru-baru ini.
"Aktres legenda, seorang ahli perniagaan dan aktivis, Elizabeth Taylor meninggal dunia hari ini (semalam) dengan aman di Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles," kata satu kenyataan daripada seorang pegawai seranta pelakon berkenaan.
Menurut kenyataan itu, aktres berkenaan dikelilingi anak-anaknya, Michael Wilding, Christopher Wilding, Liza Todd dan Maria Burton semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Pelakon itu mempunyai 10 cucu dan empat cicit.
Menurut Wilding: "Ibu saya merupakan seorang wanita yang luar biasa yang kehidupannya dipenuhi dengan humor, kasih sayang dan keghairahan.
"Walaupun kematiannya amat mengejutkan buat kami yang berada rapat dengannya, kami akan selalu memperoleh inspirasi daripada sumbangannya kepada dunia kita."
Menurut kenyataan itu, anak-anak pelakon itu berasa bangga dengan sumbangannya dalam memerangi HIV/AIDS, kerjayanya sebagai ahli perniagaan dan kerja-kerjanya dalam dunia perfileman.
Dia dilahirkan di London pada 27 Februari 1932 namun ibu bapanya berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Bapanya merupakan seorang peniaga seni manakala ibunya pernah menjadi pelakon.
Elizabeth berpindah ke California bersama keluarganya semasa dia berumur tujuh tahun dan bakatnya sebagai pelakon dikesan oleh seorang ejen pencari bakat.
Aktres itu berlakon dalam filem pertama, There's One Born Every Minutes semasa dia berumur 10 tahun.
Dia membintangi lebih 60 buah filem dan antara filem-filem terkenalnya ialah A Place in the SunGiant, Raintree County, Cat on a Hot Tin Roof, Butterfield Eight Cleopatra dan Who's Afraid of Virginia Woolf.
Filem terakhirnya, animasi the flintstones menerusi sumbangan suaranya pada 1994. Pelakon itu berkahwin dengan tujuh orang sepanjang hidupnya.
Namun, dia berkahwin sebanyak dua kali dengan pelakon Britain, Richard Burton menyebabkan Elizabeth terkenal kerana berkahwin sebanyak lapan kali.
Elizabeth juga terkenal kerana hubungan rapatnya dengan penyanyi Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun 2009.
- Agensi

1 comment:

  1. Elizabeth Taylor adalah salah seorang pelakon hollywood yg paling kak minati. Semoga rohnya tenang di 'sana'.....

    ReplyDelete