IMEJ yang disediakan oleh University of Southern California menunjukkan salinan kitab Copiale Cipher yang kodnya telah berjaya dipecahkan. |
LOS ANGELES - Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Sweden telah berjaya merungkai kod rahsia kitab Copiale Cipher yang berusia 300 tahun dari Jerman menerusi bantuan satu program komputer baharu.
Berikutan kejayaan tersebut, program komputer itu dijangka mampu membantu mentafsir manuskrip-manuskrip rahsia yang lain.
"Ia membuka pintu kepada mereka yang mengkaji sejarah idea dan masyarakat-masyarakat rahsia," kata saintis komputer dari University of Southern California (USC), Kevin Knight.
"Para sejarawan percaya bahawa masyarakat-masyarakat rahsia memainkan peranan dalam revolusi. Namun semua ini sedang dikaji kerana sebahagian besar dokumennya masih belum dapat ditafsir," tambah Knight.
Kitab Copiale Cipher yang mengandungi 75,000 huruf menggambarkan ritual dan kecenderungan politik sebuah masyarakat rahsia di Jerman pada kurun ke-18. Manuskrip itu ditulis pada lembaran kain berwarna emas dan hijau.
Knight juga merancang untuk mentafsir kod-kod mesej popular lain termasuklah kod yang dihantar oleh Pembunuh Zodiak, seorang pembunuh bersiri AS sekitar tahun 1960 dan 1970-an. Pembunuh itu ada menghantar mesej-mesej rahsia kepada pihak media dan gagal ditangkap hingga sekarang.
- AFP
No comments:
Post a Comment