GAMBAR fail 18 Februari lalu menunjukkan Phoenix Jones mengawal kawasan kediaman Capitol Hill di Seattle. - AP |
SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki yang memakai kostum adi wira dan menggelarkan dirinya sebagai Phoenix Jones untuk mengawal jenayah memakan diri apabila dia ditangkap pada Ahad lalu kerana menyerang beberapa orang dengan menggunakan semburan lada.
Menurut polis kelmarin, adi wira berusia 23 tahun itu atau nama sebenarnya Benjamin John Francis ditahan di sebuah penjara daerah atas empat tuduhan melakukan serangan dan akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Mengulas mengenai penangkapannya, Jones yang berbadan sasa dan memakai topeng hitam berbelang kuning bersama sut ketat berkata, ketika kejadian dia hanya cuba untuk meleraikan satu pergaduhan jalanan.
"Hanya kerana dia memakai kostum adi wira bukan bermakna dia akan diberikan pengecualian atau kebal daripada tindakan undang-undang," kata seorang jurucakap polis Seattle, Detektif Mark Jamieson.
"Anda tidak boleh sesuka hati menyembur semburan lada pada orang yang pada fikiran anda, sedang bergaduh," tambahnya.
Namun, dalam akaun Facebooknya, Jones menyatakan bahawa dia tidak sesekali akan menyerang atau mencederakan orang lain sekiranya mereka tidak menyebabkan kecederaan kepada manusia lain.
Dia juga menyiarkan satu klip video insiden berkenaan bagi membuktikan dia tidak bersalah.
Jones yang digelar adi wira Seattle popular dalam kalangan penduduk bandar raya ini kerana keberaniannya mencegah jenayah bersama orang kanannya, Ghost. - AP
No comments:
Post a Comment