LOS ANGELES 7 Feb. – Pelakon remaja popular, Justin Bieber menjalani pengubahsuaian sepenuhnya untuk muncul dalam iklan perdana kejohanan bola sepak Amerika, Super Bowl, semalam.
Iklan selama 30 saat itu keudara ketika siaran langsung perlawanan antara pasukan Packers dan pasukan Steelers.
Bieber, 16, tampil dengan pakaian yang sering dipakainya, tetapi bermisai dan berjanggut, sekali gus menyebabkannya tidak boleh dikenali.
Iklan mempromosi jenama teknologi baru oleh syarikat Best Buy Inc itu turut menampilkan ikon rock, Ozzy Osbourne dan pasangannya, Sharon.
Ketika penggambaran iklan itu pada Januari lalu, Bieber memberikan beberapa gambaran mengenainya di Twitter.
“Tidak dapat dikatakan apa yang telah berlaku kepada saya hari ini, tetapi jika anda melihatnya ia pasti sangat melucukan,” tulisnya dalam Twitter pada 17 Januari lalu.
Sementara itu, Naib Presiden Best Buy untuk Pasaran AS, Drew Panayiotou berkata, dia sangat berbesar hati dapat melibatkan bintang remaja itu dan ikon rock dalam iklan mereka.
“Kami tahu semua orang mempunyai harapan yang tinggi kepada iklan ini dan Bieber dan Ozzy telah menambah dimensi baru yang menyenangkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada majalah UsMagazine.com. – Agensi
No comments:
Post a Comment