SEORANG wanita ditarik dari celah runtuhan di Christchurch, New Zealand semalam. |
CHRISTCHURCH - Kerja-kerja menyelamat dilakukan semalam selepas satu gempa bumi kuat melanda bandar raya ini yang merupakan antara bandar terbesar di New Zealand dengan menyebabkan bangunan-bangunan tinggi dan gereja runtuh, banyak kenderaan musnah dan sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh.
Gempa bumi tersebut berlaku semasa orang ramai sedang sibuk melakukan kegiatan harian di bandar yang dihuni 350,000 orang itu pada pukul 12.51 tengah hari kelmarin (8.19 pagi waktu Malaysia semalam).
Ia merupakan antara bencana alam yang paling dahsyat pernah melanda New Zealand.
Gempa bumi itu adalah yang kedua terkuat melanda bandar raya ini yang dihuni oleh 350,000 orang dalam tempoh lima bulan.
Ia yang sekuat 6.3 pada skala Richter mencetuskan kemusnahan jauh lebih besar berbanding gempa bumi yang terkuat yang melanda sebelum subuh pada September tahun lalu.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa itu berpusat pada kedalaman 2.5 kilometer di bawah tanah pada jarak lima kilometer dari sini.
Menurut kenyataan agensi itu, selepas gempa bumi tersebut, dua gegaran susulan, setiap satu berukuran 5.6 dan 5.5 pada skala Richter melanda bandar ini.
Setakat malam semalam, lebih 100 orang termasuk 12 pelajar Jepun yang melawat bandar ini dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan ketika hujan turun.
"Situasi di sini penuh dengan kemusnahan," kata Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas beliau tiba di bandar ini beberapa jam setelah gempa bumi berlaku.
Menurutnya, angka kematian setakat ini adalah 65 orang dan berkemungkinan besar akan terus meningkat.
"Kita sedang menyaksikan hari paling gelap dalam sejarah New Zealand," ujarnya.
Sebuah gereja batu yang menjadi mercu tanda bandar ini ranap manakala bangunan-bangunan tinggi runtuh dan jatuh bertindih dengan jalan-jalan raya dipenuhi dengan serpihan konkrit dan batu bata.
"Bencana kali ini amat mengerikan. Orang ramai ditindih dengan runtuhan, runtuhan seberat beberapa tan," kata seorang penduduk tempatan Nathanael Boehm.
Menurutnya, beberapa mangsa mati akibat dihempap konkrit.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker mengisytiharkan darurat di bandar ini dan mengarahkan orang ramai meninggalkan pusat bandar.
Lapangan terbang juga turut ditutup manakala Hospital Christchurch dikosongkan buat seketika sebelum dibuka semula.
Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon terputus dengan paip bawah tanah bocor dan menyebabkan banjir di beberapa batang jalan raya di sini.
Sejumlah kereta yang diletakkan di tepi jalan kini tertimbus di bawah timbunan runtuhan. - Agensi
No comments:
Post a Comment