KATAK terkecil di dunia ditemui di Taman Negara Kubah, Matang. |
Pensyarah UNIMAS jumpa spesies unik di Taman Negara Kubah, Sarawak
KUCHING: Seorang pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berjaya menemui spesies katak yang dipercayai terkecil di dunia berukuran antara 10.6 milimeter (mm) hingga 12.88mm ketika ekspedisinya di Taman Negara Kubah, Matang dekat sini.
Pensyarah yang juga penyelidik dari Institut Biodiversiti dan Perlindungan Alam Sekitar, Prof Dr Indraneil Das, menyifatkan penemuannya pada September 2004 itu adalah yang terbaru di dunia dengan katak berkenaan ketika ini dikenali dengan nama saintifik ‘microhyla nepenthicola’.Secara perbandingan saiz spesies ini tidak sampai sebesar syiling 20 sen menjadikannya katak terkecil di dunia pernah ditemui di kawasan hutan hujan tropika termasuk di Hutan Hujan Amazon yang diakui sebagai mempunyai pelbagai spesies katak.
“Saya menemui spesies ini secara tidak sengaja selepas terdengar bunyi katak mengawan sebelum cuba menjejaknya, namun tidak menyangka apabila mendapati bunyi itu dikeluarkan katak yang saiznya terlalu kecil tetapi sebenarnya sudah cukup dewasa.
“Katak ini melengkapkan kitaran hidupnya dalam tempoh beberapa bulan saja, bertelur di atas daun, memberikan anak-anaknya makan dan hidup di kawasan sekitar yang sangat terhad sebelum mati,” katanya ketika ditemui di Unimas, semalam.
Beliau dibantu pembantunya, Dr Alexander Haas, kemudian terpaksa melakukan beberapa ekspedisi susulan bagi mengutip lebih banyak spesies itu sukar ditemui. Pasukan penyelidik yang ditaja Yayasan Volkswagen itu kemudian terpaksa melakukan tugas penyelidikan berkaitan bidang biodiversiti sebelum menghasilkan jurnal berkaitan spesies katak berkenaan yang diterbitkan pada Ogos 2010.
“Setakat ini kami percaya spesies ini boleh ditemui di kawasan Pulau Borneo saja berikutan kelembapan tanah selain pokok Kerangas yang menjadi tempat habitatnya.
“Kita masih menunggu reaksi penyelidik antarabangsa sebaik jurnal mengenai penemuan ini diterbitkan ‘zootaxa’, namun setakat ini memang kami yakin ia spesies katak terkecil di dunia,” katanya. Selain meneruskan kajian mengenai spesies katak ini, Dr Das dan Dr Hass sedang menyiapkan jurnal terbaru mereka bertajuk Spesies Katak Hilang yang dijangka diterbitkan dalam tempoh terdekat.
No comments:
Post a Comment