APABILA bercerita tentang blog hiburan, peminat dan pemerhati perlu memahami niat dan mesej yang ingin disampaikan oleh para pengendalinya. Apakah blog tersebut ditubuhkan hanya sekadar suka-suka ataupun mempunyai tujuan yang tertentu?
Ini kerana dalam industri kini, blog hiburan juga memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan berita-cerita gosip berkenaan seseorang artis tetapi juga sebagai medium yang dapat mempromosikan lagi industri tersebut.
Ini bermakna, jika sisi negatif blog hiburan melibatkan kisah-kisah panas dan gosip yang berkaitan industri dan artis, sisi positifnya pastilah ia memberi promosi terhadap artis terbabit selain produk-produk penerbitan seperti drama, filem dan juga majlis anugerah.
Menurut pengendali blog hiburan tempatan rotikaya.com, Mohd. Ismail Baharudin, kehadiran blog-blog hiburan turut menyumbang kepada pembangunan industri hiburan sedia ada.
"Jika 10 tahun dahulu, peminat industri ini hanya mampu mendapatkan maklumat daripada media arus perdana seperti akhbar dan majalah, kini mereka mempunyai pilihan iaitu media alternatif, blog antaranya.
"Tidak dinafikan etika penulisan sering menjadi persoalan utama. Akan tetapi masyarakat umum harus faham, dalam dunia blog, kepantasan berita itu dan juga tahap sensasinya memainkan peranan utama.
"Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna semua laporan yang ditulis tidak mempunyai bukti, cuma mungkin beberapa isu itu terus disiarkan sebelum mendapat kesahihan kerana jika menunggu kesahihan, ia mungkin memakan masa," jelasnya.
Tambah Ismail, menjadi individu biasa dan bukannya berlatar belakangkan kewartawanan juga merupakan satu bonus kepada pengendali blog. Ini kerana mereka tidak terikat dengan etika serta peraturan sedia ada seperti wartawan akhbar.
"Selain itu, pengendali blog juga cenderung untuk menulis secara sensasi kerana mereka merupakan penyunting kepada berita sendiri. Selain cerita sensasi, apa lagi yang peminat mahukan?
"Seseorang artis itu perlulah bijak untuk menggunakan medium yang ada kerana blog bukan hanya memaparkan kisah negatif tetapi ia juga menyumbang kepada perjalanan karier mereka," katanya.
Sementara itu, pengendali kepada blog hiburan budiey.com, Budiey pula menegaskan bukan kesemua blog hiburan menjadikan kisah sensasi dan negatif artis sebagai paparan utama mereka tetapi banyak juga kisah-kisah positif.
"Tidak dinafikan, banyak blog hiburan masa kini menggunakan isu-isu sensasi artis itu untuk menaikkan jumlah pembaca mereka tetapi bukan kesemuanya.
"Oleh yang sedemikian, pembaca itu sendiri juga perlu memainkan peranan sama ada untuk menerima berita tersebut secara terus ataupun mendapatkan maklumat tambahan daripada sumber-sumber berbeza," jelasnya.
No comments:
Post a Comment