SKRIN komputer sebelum diletakkan dalam sarung seperti buku untuk kelihatan seperti iPad. |
BEIJING - Seorang lelaki di China, Liu Xinying menunjukkan cara-cara memasang sendiri komputer tablet menyerupai gajet popular keluaran Apple, iPad tetapi melibatkan kos yang lebih murah.
Dalam klip video 20 minit di laman perkongsian video China, Youku, lelaki itu menunjukkan cara bagaimana untuk memasang komputer tablet mirip iPad itu dengan menggunakan beberapa peralatan komputer, sebuah skrin sentuh bersama sebuah sarung serta papan kekunci.
Pada penghujung klip video berkenaan yang berjudul DIY IPAD 3, Xinying menunjukkan komputer tablet berkenaan yang sudah siap dipasang.
Komputer tablet pasang sendiri itu agak tebal dan berfungsi seperti iPad tetapi ia dijana sistem operasi Windows keluaran Microsoft.
Berita mengenai kehebatan lelaki itu seterusnya tersebar di beberapa laman web luar negara dan laman teknologi China selain laman jaringan sosial tempatan, Weibo.
Apabila dihubungi, pemuda berusia 21 tahun dari wilayah Shandong, timur China itu berkata, sejak klip video itu disiarkan di Youku pada bulan lalu dia terpaksa menolak lebih 12 permintaan orang ramai yang mahukannya membuat komputer pasang siap tersebut.
"Saya membuat komputer pasang sendiri ini untuk keseronokan sahaja," kata Xinying yang bekerja di sebuah kedai komputer di bandar raya Jinan.
"Kos untuk membuat komputer ini bersamaan 2,000 yuan (RM933)," tambahnya.
Kos tersebut adalah jauh lebih murah berbanding versi iPad 2 termurah di China yang dijual pada harga sekitar 3,688 yuan (RM1,721) manakala model iPad 64 gigabit iaitu yang paling mahal di negara berkenaan pula berharga 5,288 yuan (RM2,467). - AFP
No comments:
Post a Comment